Memperkasa belia dengan kemahiran celik digital, pemikiran kritikal dan kesedaran etika kini menjadi semakin penting, lebih-lebih lagi dengan kecerdasan buatan (AI) membentuk landskap ancaman dan muncul dalam beberapa kes radikalisasi diri melibatkan golongan belia di Singapura.
Demikian menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa berucap di sesi dialog tertutup bersama pelajar madrasah dan sekolah Rancangan Bantuan Khas (SAP) pada 17 November.
Seminar yang diadakan di Madrasah Aljunied Al-Islamiah di Victoria Lane itu bertujuan memberi inspirasi kepada para peserta untuk memahami potensi dan risiko AI.
Ini di samping memperkukuh nilai-nilai Islam seperti tanggungjawab dan kearifan.
Seramai 160 pelajar menengah peringkat atas dan prauniversiti dari Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah, Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah dan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah hadir di seminar tersebut.
Pelajar daripada tiga Sekolah Rancangan Bantuan Khas (SAP), iaitu Sekolah Tinggi Dunman (DHS), Sekolah Tinggi Chung Cheng, dan Institusi Hwa Chong, juga turut serta dalam seminar yang bertemakan ‘#Klik untuk Berubah: Belia, AI, dan Ekstremisme dalam Talian’.
Bermula sejak 2010, seminar dwitahunan tersebut dianjurkan bersama oleh Madrasah Aljunied dan Madrasah Wak Tanjong, dan disokong oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Berucap sebelum sesi dialog tertutup diadakan, Dr Faishal menekankan bagaimana kumpulan ekstremis dan pihak berniat jahat semakin menggunakan alat berasaskan AI untuk menyebarkan ideologi pengganasan dan menyasarkan golongan belia yang terdedah.
“Kumpulan ekstremis dan pelaku berniat jahat kini menggunakan alat berasaskan AI untuk menghasilkan propaganda yang meyakinkan, menyebarkan maklumat salah dan menyamar sebagai suara yang dipercayai.
“AI boleh meluaskan penyebaran dan kecanggihan kandungan radikal, menjadikannya lebih sukar untuk dikenal pasti dan dipadamkan, dan lebih sukar lagi bagi minda muda untuk membezakan antara kebenaran dengan manipulasi,” jelas beliau, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).
Beliau menukil beberapa contoh penggunaan tidak baik oleh belia yang membawa kepada tindakan pengganasan, antaranya kes seorang remaja berusia 17 tahun yang ditahan pada Ogos 2024.
Remaja itu menggunakan chatbot AI untuk mengambil bai’ah, atau berikrar taat setia kepada kumpulan ISIS.
Dalam kes lain, seorang remaja 17 tahun yang memegang ideologi sayap kanan pula menyelidik pembelian senjata dalam talian dan meneroka pencetakan 3D untuk mendapatkan bahagian alat senjata.
Dr Faishal berkata sejak 2015, terdapat lebih 12 kes membabitkan belia Singapura bawah usia 21 tahun menjadi radikal, dengan yang termuda berusia hanya 14 tahun.
Menyifatkan kes-kes sedemikian sebagai “bukan kisah jauh” daripada Singapura, Dr Faishal berkata mereka yang ditangkap merupakan anak muda Singapura terdedah kepada kandungan ekstremis dalam talian dan menjadi radikal.
“Kadangkala, ia bermula dengan pencarian identiti dan rasa bersatu hati, atau rasa simpati terhadap penderitaan di kawasan konflik.
“Namun, dalam talian, mereka menemui naratif yang direka untuk mengeksploitasi emosi dan menyebarkan keganasan.”
“Kita campur tangan bukan untuk menjejaskan masa depan belia, tetapi untuk membawa mereka kembali ke arus utama dan menyelamatkan mereka daripada mencederakan diri sendiri dan orang lain,” kata Dr Faishal.
Seminar tersebut turut menampilkan pertandingan video pendek yang membolehkan para pelajar madrasah meluahkan secara kreatif cara AI boleh dimanfaatkan untuk mengekang ekstremisme dalam talian.
Menurut satu kenyataan media pada 17 November, Madrasah Aljunied berkata kegiatan tersebut bertujuan memupuk penghasilan kandungan yang bertanggungjawab, mengasah pemikiran kritikal dan memberi pengaruh positif dalam talian.
Menyentuh tentang usaha ini, Dr Faishal berkata pertandingan video pendek itu adalah satu pendekatan yang membentuk belia berdaya tahan dan beretika.
“Ini adalah satu langkah yang sangat progresif dan positif untuk pembangunan belia kita, serta bagi masyarakat dan negara kita.
“Melalui kegiatan seperti ini, kita memupuk ketahanan, menggalak keamanan dan memberi inspirasi pengaruh positif dalam talian, menangkis naratif kebencian dengan kisah-kisah empati, tanggungjawab dan harapan,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg