Topik diikuti
Pergi ke BHkuTunai hasrat ibu nikah pasangan, beri bimbingan awal perkukuh rumah tangga
Tunai hasrat ibu nikah pasangan, beri bimbingan awal perkukuh rumah tangga
Tunai hasrat ibu nikah pasangan, beri bimbingan awal perkukuh rumah tangga
Demi menunaikan hasrat ibu yang ingin melihatnya menikahkan pasangan Muslim, Ustaz Muhammad Ridwan Sarmidi Putra, memilih untuk berkhidmat sebagai Naib Kadi.
Berbekalkan pengalaman bertugas di Masjid Al-Islah selama 12 tahun, dengan beliau kerap diajukan soalan tentang perkahwinan dan alam berumah tangga, Ustaz Muhammad Ridwan, 38 tahun, berasa dirinya mempunyai asas yang kukuh untuk menggalas amanah baru itu.
Baginya, ia merupakan satu tanggungjawab penting dalam membantu masyarakat.
Ustaz Muhammad Ridwan merupakan antara 62 Kadi dan Naib Kadi yang dilantik atau dilantik semula dalam Majlis Pelantikan dan Penghargaan Kadi dan Naib Kadi, di Hotel Fairmont Singapore, yang dianjurkan Pejabat Pendaftaran Perkahwinan Orang Islam (ROMM), pada 10 Jun.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), beliau berkata: “Peranan Naib Kadi adalah memimpin dan membimbing pasangan dalam perjalanan rumah tangga mereka.
“Berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang Ustaz, saya melihat dua tahun pertama perkahwinan merupakan tempoh yang mencabar. Jadi, kehadiran kami sebagai pembimbing amat penting.”
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, hadir pada acara berkenaan sebagai tetamu terhormat, dan berucap tentang kepentingan peranan Kadi dan Naib Kadi yang membimbing dan menemani pasangan suami isteri melalui fasa awal perkahwinan.
Beliau berkata: “Selain menyempurnakan pernikahan, mereka (Kadi dan Naib Kadi) membantu pasangan melayari alam rumah tangga dengan penuh keyakinan, kejelasan dan keprihatinan.”
Antara tanggungjawab seorang Naib Kadi adalah menjalankan sesi temu bual bersama pasangan sebelum mereka melangsungkan perkahwinan.
“Sebagai Naib Kadi, kami mahu mewujudkan suasana yang membuatkan pasangan rasa tenang dan terbuka untuk berkongsi.
“Jika mereka ada persoalan, mereka tidak rasa segan untuk bertanya. Kesan pertama amat penting kerana ia membantu membuka hati mereka.”
Bagi melengkapkan dirinya dengan kemahiran kaunseling, Ustaz Muhammad Ridwan, mengikuti Kursus Asas Kaunseling Islam, anjuran Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), selama dua bulan yang diadakan dua kali seminggu, dengan setiap sesi berlangsung antara empat dengan lima jam.
Beliau turut mengikuti kursus asas kaunseling selama tiga hari di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) sekitar dua atau tiga tahun lalu.
“Sebagai Naib Kadi, kami berharap masyarakat dapat membina institusi keluarga yang baik.
“Saya melihat statistik perceraian dalam kalangan umat Islam semakin meningkat dan kami mahu membantu mengurangkannya.
“Apabila kami membina hubungan dan kepercayaan dengan pasangan, kami boleh mengenal pasti tanda-tanda awal yang boleh membawa kepada perceraian dan seterusnya menyalurkan mereka kepada agensi yang sesuai untuk proses perdamaian atau bantuan lanjut.
“Apabila kami kesan sesuatu yang membimbangkan, sudah tentu kami mahu membantu sebelum keadaan menjadi lebih serius,” jelasnya.
Sementara itu, pasangan Encik Radzi Barian Arlandito, dan Cik Risa Kamilah Shigemi, merupakan antara mereka yang pernah mendapatkan bimbingan seorang Kadi apabila Cik Risa menghadapi cabaran mendapatkan restu ibu bapanya ketika mahu memeluk Islam.
Bagi pasangan berusia 30 tahun itu, cinta dan agama merupakan dua perkara yang saling berkait rapat.
Cik Risa, seorang warga Jepun yang ketika itu tidak mempunyai pengetahuan mengenai Islam, bertemu Encik Radzi, enam tahun lalu dan mereka memutuskan untuk bernikah dua tahun kemudian.
Namun, hasrat mereka berdepan cabaran apabila pasangan itu perlu meyakinkan ibu bapa Cik Risa supaya merestui keputusannya memeluk Islam.
Dengan bimbingan Kadi mereka, Ustaz Mohammed Nazim Rahuma Dulla, pasangan itu berkata sesi kaunseling dan nasihat yang diberikan membantu mereka bersabar serta mendalami ilmu agama selama setahun sebelum berkongsi pemahaman tersebut dengan keluarga Cik Risa.
Setahun kemudian, ketika pulang ke Jepun untuk bertemu keluarganya, Encik Radzi meminta izin daripada bapa Cik Risa dengan bertanya “Adakah saya mendapat restu anda?”, sebelum menerima jawapan yang melegakan, “Sudah tentu”.
Pengalaman itu memperlihatkan peranan penting seorang Kadi yang mungkin tidak selalu disedari, khususnya pada peringkat awal perkahwinan dalam membimbing pasangan mengharungi cabaran mengikut ajaran Islam.
Melalui bimbingan dan kaunseling yang diterima, pasangan itu berkata mereka lebih tenang dan mempunyai panduan ketika berdepan saat-saat mencabar, sekali gus menonjolkan peranan Kadi dalam membantu membina asas rumah tangga yang kukuh.
