Topik diikuti
Pergi ke BHku4 masjid tawar khidmat sokongan asatizah buat keluarga Melayu/Islam
4 masjid tawar khidmat sokongan asatizah buat keluarga Melayu/Islam
Buku panduan keluarga hasil kerjasama ROMM dan Berita Harian turut dilancarkan
4 masjid tawar khidmat sokongan asatizah buat keluarga Melayu/Islam
Pasangan suami isteri dan keluarga Melayu/Islam kini boleh mendapatkan sokongan dan rujukan berkaitan kekeluargaan yang lebih mudah diakses di empat masjid mulai Julai ini.
Ini selepas empat asatizah yang terlatih telah dipilih untuk menawarkan khidmat sokongan menyeluruh itu bagi pasangan dan keluarga mereka – bermula daripada alam perkahwinan sehingga menjadi ibu bapa.
Ia sebagai sebahagian daripada ekosistem Bersamamu yang diperluaskan bagi menyokong pasangan sepanjang perjalanan perkahwinan dan tahun-tahun awal kehidupan berkeluarga mereka
Empat asatizah yang juga kadi dan naib kadi yang digelar Pegawai Pembangunan Keluarga (FDO) ini akan ditempatkan di Masjid Al-Falah di Orchard Road, Masjid Al-Khair di Choa Chu Kang, Masjid Darul Ghufran di Tampines dan Masjid An-Nur di Marsiling.
Mendedahkan demikian semasa Majlis Pelantikan dan Penghargaan Kadi dan Naib Kadi di Hotel Fairmont pada 10 Jun, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata peranan kadi dan naib kadi bukan sekadar menikahkan pasangan.
“Seperti yang diumumkan pada Jawatankuasa Perbekalan tahun ini (5 Mac), kami akan menempatkan Pegawai Pembangunan Keluarga di empat masjid utama di seluruh Singapura: Masjid Al-Falah di Daerah Selatan, Masjid Al-Khair di Daerah Barat, Masjid Darul Ghufran di Daerah Timur, dan Masjid An-Nur di Daerah Utara.
“Setiap masjid peneraju akan bekerjasama dengan masjid lain dalam daerahnya untuk mengembangkan program pembangunan keluarga kepada pasangan.
“Inilah sebabnya kadi dan naib kadi memainkan peranan yang amat penting. Selain menyempurnakan pernikahan, anda membantu pasangan melayari alam rumah tangga dengan penuh keyakinan, kejelasan dan keprihatinan.
“Apabila kita memperkukuh perkahwinan sejak awal, kita memperkukuh keluarga. Dan apabila keluarga kukuh, masyarakat dan negara juga menjadi lebih kuat,” katanya.
Beliau memberi contoh, Ustaz Muhammad Shafaat Mohd Syonan dari Masjid Darul Ghufran, yang akan menjalankan dua peranan sebagai Pegawai Pembangunan Keluarga dan naib kadi, memberikan sokongan holistik kepada pasangan di Daerah Timur.
Menurut Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), pegawai FDO adalah mereka yang terdiri daripada barisan kadi dan naib kadi sedia ada yang dilantik untuk memikul peranan tambahan dalam membimbing pasangan dan keluarga.
Naib kadi, Ustaz Muhammad Shafaat, yang turut dilantik sebagai FDO, berkata kedua-dua peranan itu saling melengkapi dalam memperkukuh silaturrahim antara pasangan.
“Kami sebagai naib kadi sering kali menjadi antara individu pertama yang didampingi pasangan apabila mereka berdepan masalah rumah tangga. Namun, peranan kami bukan untuk tergesa-gesa mencari penyelesaian, sebaliknya memahami terlebih dahulu dinamik perkahwinan mereka, cabaran yang dihadapi dan punca sesuatu masalah itu timbul.
“Dengan peranan sebagai Pegawai Pembangunan Keluarga baru ini, kami dapat mendampingi pasangan dengan lebih rapat sebelum dan selepas majlis pernikahan,” kata beliau.
Secara keseluruhannya seramai 62 kadi dan naib kadi dilantik pada majlis tersebut, dengan 23 daripadanya merupakan pelantikan baru manakala 39 lagi dilantik semula.
Empat kadi dan naib kadi turut diberi penghargaan khas atas sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan mereka, iaitu Ustaz Nor Razak Bakar, Ustaz Yusop Hashim, Ustaz Mohamed Asysallehan dan Ustaz Ya’acob Ishak.
Sejak diperkenalkan pada 2019, Bersamamu telah memberi manfaat kepada lebih 36,000 pasangan Islam.
Pada masa yang sama, program Arif – yang bertujuan untuk mempersiapkan pasangan bagi alam keibubapaan serta memperkukuh kesejahteraan ibu dan pembangunan kanak-kanak – juga akan dijadikan sebagai komponen tetap di bawah ekosistem Bersamamu mulai Jun 2026.
Pasangan yang dikenal pasti sebagai mereka yang memerlukan sokongan tambahan juga akan ditawarkan lebih banyak sesi bimbingan secara bersemuka selepas pernikahan bagi memastikan mereka menerima sokongan yang lebih rapat, tersusun dan bersasar.
Pada majlis yang sama, buku Tenunan Kasih: Kompilasi Hikmah Mahligai Bahagia Bersamamu Selamanya yang menggabungkan pandangan, pengalaman dan nasihat daripada kadi, naib kadi serta asatizah wanita Pergas mengenai perkahwinan dan kehidupan berkeluarga, turut dilancarkan.
Buku setebal 281 halaman itu merupakan kerjasama ROMM dengan Berita Harian dan mengambil masa sekitar setahun untuk dihasilkan. Namun buku itu tidak dijual tetapi disediakan dalam bentuk elektronik bagi rujukan awam.
Mengulas mengenai pelbagai inisiatif yang diumumkan itu, Dr Faishal berkata:
“Inilah semangat Bersamamu, iaitu untuk menyokong pasangan sejak awal, memperkukuh perkahwinan dan membantu keluarga membina asas yang kukuh sejak dari permulaan lagi.
“Ia juga mencerminkan pendekatan Kita Dahulu, atau ‘We First’ yang kita amalkan, di mana masyarakat berganding bahu dan saling menyokong antara satu sama lain demi kesejahteraan bersama.”
