Tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap enam doktor yang membuat tuntutan MediShield Hayat yang tidak wajar, seperti membuat tuntutan berlebihan dan menyediakan rawatan yang tidak diperlukan pesakit.
Dua daripada enam doktor itu menghadapi penggantungan akreditasi MediSave dan MediShield Hayat selama enam bulan disebabkan ketidakpatuhan serius, manakala baki empat doktor akan jalani latihan mandatori.
Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan pada 5 Ogos menyatakan tindakan tersebut diambil menyusuli pembentukan Pejabat Pengurusan Tuntutan pada 2022, dan permulaan Rangka Kerja Peningkatan dan Penguatkuasaan pada 1 April 2023.
MediShield Hayat adalah pelan insurans kesihatan asas nasional untuk membantu membayar bil hospital yang besar dan rawatan pesakit luar mahal yang terpilih, seperti dialisis dan kemoterapi.
Dua doktor yang menghadapi penggantungan akreditasi MediSave dan MediShield Hayat itu ialah:
- Dr Teo Ching Ching Melissa, pakar bedah am yang merupakan pengarah dan pemegang saham tunggal The Surgical Oncology Clinic di 1 Farrer Park Station Road, dan klinik Melissa Teo Surgery di 38 Irrawaddy Road, Pusat Pakar Mount Elizabeth Novena; dan
- Dr Lim Pei Yee Natasha, pakar mata yang merupakan pengarah dan pemegang saham tunggal Pusat Mata Natasha Lim di 101 Irrawaddy Road, Royal Square@Novena.
Akreditasi dua doktor itu digantung selama enam bulan mulai 5 Ogos, dan mereka perlu jalani latihan mandatori sebelum penggantungan boleh ditarik balik.
Jurucakap MOH berkata panel pakar dilantik MOH dan Majlis MediShield Hayat mendapati Dr Teo telah membuat tuntutan berlebihan dengan menyerahkan enam kod Senarai Prosedur Pembedahan (TOSP) dalam satu tuntutan.
Panel tersebut menilai bahawa empat daripada enam kod tersebut tidak diperlukan, kerana prosedur yang dilakukan boleh diliputi secukupnya dengan dua kod.
Bil keseluruhan adalah sekitar $170,000, dengan tuntutan tidak wajar berjumlah kira-kira $90,000.
Kod-kod Senarai Prosedur Pembedahan (TOSP) mengklasifikasikan sekitar 2,400 prosedur pembedahan dan had tuntutan yang boleh dibuat bagi MediSave dan MediShield Hayat.
Lebih tinggi nombor dalam senarai, lebih rumit prosedur pembedahan dan lebih tinggi had bayaran pakar bedah yang boleh dituntut.
Jurucakap MOH berkata pengamal perubatan harus gunakan hanya satu kod TOSP jika ia dengan secukupnya menjelaskan prosedur yang dilakukan.
Dr Teo sebelum ini pernah diberi amaran oleh MOH pada Jun 2023 mengenai ketidakpatuhan serupa.
Dr Lim pula didapati telah membuat tuntutan bagi pembedahan katarak, namun panel mendapati tuntutan tersebut tidak wajar kerana pesakit tiada masalah katarak atau alami katarak sederhana yang tidak memerlukan pembedahan.
Dr Lim juga membuat tuntutan bagi dua rawatan pembedahan ektasia kornea, tetapi panel mendapati pesakit tidak mengalami keadaan tersebut. Dia kemudian menjelaskan rawatan tersebut dilakukan untuk mengelakkan ektasia kornea, namun panel memutuskan rawatan itu bukan standard penjagaan.
Bil keseluruhan bagi kesemua prosedur tersebut berjumlah sekitar $52,000 - kesemuanya tidak wajar.
Dr Lim juga cuba mendapatkan semula jumlah yang dituntut secara tidak wajar daripada salah seorang pesakitnya, meskipun MOH arahkannya agar tidak berbuat demikian.
Jurucakap MOH berkata Dr Teo, Dr Lim dan klinik mereka akan dipantau dengan ketat bagi tuntutan pada masa depan, dan akreditasi mereka boleh dibatalkan pada masa depan jika ketidakpatuhan berulang ditemui.
“Kedua-dua doktor telah diarahkan supaya memaklumkan kepada pesakit sebelum menyediakan rawatan bahawa rawatan yang dilakukan oleh mereka pada atau selepas 5 Ogos 2024 dan sehingga penggantungan mereka ditarik balik tidak layak bagi tuntutan di bawah skim MediSave dan MediShield Hayat, dan untuk membuat sebarang aturan alternatif untuk mereka seperti yang diperlukan,” kata jurucakap itu.
Baki empat doktor pula didapati melakukan prosedur yang tidak diperlukan pesakit, menggunakan beberapa kod TOSP, dan memasukkan pesakit ke hospital walaupun ia tidak perlu.
Mereka perlu menjalani latihan mandatori untuk membiasakan diri dengan garis panduan semasa MOH, dan akan dipantau ketat bagi tuntutan masa depan.
Akreditasi mereka juga boleh digantung atau dibatalkan jika ketidakpatuhan berulang berlaku.
Ketua Pengarah Kesihatan, Profesor Kenneth Mak, berkata MOH sedang mengambil tindakan lebih tegas terhadap pengamal perubatan yang membuat tuntutan MediSave dan MediShield Hayat yang tidak wajar.
“Apabila doktor membuat tuntutan yang tidak wajar, kami mengambil serius perkara ini kerana ia boleh menyebabkan kemudaratan kewangan dan fizikal kepada pesakit. Perbuatan sedemikian juga tidak konsisten dengan teras etika perubatan - kebaikan, bukan kejahatan dan keadilan.
“Walaupun doktor yang bersalah ini merupakan sebahagian kecil daripada profesion perubatan, tindakan mereka boleh memberi implikasi negatif terhadap reputasi profesion perubatan.
“Oleh itu, kami perlu memberi isyarat jelas kepada profesion perubatan bahawa kami mengharapkan semua doktor kami mematuhi piawaian tinggi bukan sahaja dalam penjagaan klinikal, malah dalam perwatakan mereka,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg