Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tuntutan gaji tidak dibayar melonjak; $12j dikembali kepada pekerja

Naik 26% kepada 6,123 pada 2022, tuntutan terhadap syarikat gagal dalam niaga, hadapi masalah kewangan, namun kebanyakan kes selesai segera
Jul 25, 2023 | 5:39 PM
LEBIH RAMAI PEKERJA TUNTUT GAJI: Dengan keadaan ekonomi yang mencabar, bilangan keseluruhan tuntutan pekerjaan dan rayuan yang dikemukakan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM) meningkat.
LEBIH RAMAI PEKERJA TUNTUT GAJI: Dengan keadaan ekonomi yang mencabar, bilangan keseluruhan tuntutan pekerjaan dan rayuan yang dikemukakan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM) meningkat. - Foto ST

Lebih ramai pekerja – tempatan dan migran – memfail tuntutan gaji pada 2022 berbanding tahun sebelumnya.

Sebilangan besar tuntutan itu telah diselesaikan dalam masa yang cepat dan jumlah yang didapatkan semula bagi pekerja itu meningkat hampir 40 peratus dari tahun sebelumnya kepada $12 juta.

Tuntutan gaji melonjak 26 peratus kepada 6,123 daripada 4,848 pada 2021, dengan lebih banyak tuntutan dibuat oleh kumpulan terhadap syarikat yang mengalami kegagalan perniagaan atau masalah kewangan.

Demikian menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM), lapor The Straits Times pada Selasa.

Di tengah-tengah keadaan ekonomi yang mencabar, bilangan keseluruhan tuntutan dan rayuan pekerjaan yang dikemukakan kepada MOM dan TADM meningkat kepada 1.97 bagi setiap 1,000 pekerja pada 2022, bertambah daripada 1.73 bagi setiap 1,000 pekerja pada 2021, menurut Laporan Piawaian Pekerjaan tahunan.

Pekerja tempatan, yang merujuk kepada warga dan Penduduk Tetap (PR) Singapura, membentuk 57 peratus daripada keseluruhan 7,140 tuntutan dan rayuan pekerjaan yang diterima oleh MOM dan TADM pada 2022.

Baki 43 peratus dibuat oleh kakitangan migran.

Sebahagian besar tuntutan dan rayuan pekerjaan terdiri daripada tuntutan gaji, seperti gaji pokok, gaji sebagai ganti notis atau gaji kerja lembur.

Tuntutan pemecatan merangkumi sebahagian besar bakinya.

Bilangan tuntutan gaji tertunggak meningkat pada 2022 bagi kededua golongan, pekerja tempatan dan migran.

Dalam kalangan warga Singapura, kadarnya ialah 1.29 bagi setiap 1,000 pekerja pada 2022, meningkat daripada 1.16 bagi setiap 1,000 pekerja pada 2021.

Bagi pekerja migran, kadar itu ialah 2.53 bagi setiap 1,000 pekerja pada 2022, meningkat daripada 2.1 bagi setiap 1,000 pekerja pada 2021.

Bagaimanapun, laporan MOM dan TADM menyatakan jumlah insiden tuntutan gaji tertunggak dan pemecatan salah kekal di bawah paras sebelum Covid-19.

Pada 2022, tuntutan gaji dibuat oleh 1.68 daripada setiap 1,000 pekerja, turun daripada 2.68 setiap 1,000 pekerja pada 2019.

Begitu juga tuntutan pemecatan salah telah dibuat oleh sebanyak 0.26 setiap 1,000 pekerja pada 2022, turun daripada 0.29 setiap 1,000 pekerja pada 2019.

Laporan itu juga mendapati 86 peratus tuntutan gaji telah diselesaikan melalui pengantaraan di TADM pada 2022.

Baki 14 peratus telah dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pekerjaan (ECT) untuk adjudikasi.

Daripada tuntutan gaji yang diselesaikan dengan pengantaraan di TADM, 90 peratus telah diselesaikan dalam tempoh dua bulan, lebih rendah sedikit daripada 92 peratus pada 2021.

Selain itu, 93 peratus daripada semua pekerja yang mengemukakan tuntutan gaji pada 2022 memperoleh semula gaji tertunggak, sama ada di TADM atau ECT.

Sebanyak 4 peratus lagi memperoleh hanya sebahagian daripada gaji mereka, melalui pembayaran penyelesaian daripada penanggung insurans bon keselamatan atau bantuan kewangan bagi pekerja bergaji rendah di bawah Dana Bantuan Jangka Pendek atau Dana Bantuan Pekerja Migran.

“Baki 3 peratus tidak mendapat sebarang gaji dan kebanyakan mereka berpendapatan tinggi,” kata laporan itu.

Semua majikan yang tidak membayar balik sepenuhnya gaji pekerja mereka telah digantung keistimewaan pas kerja mereka oleh MOM, tambahnya.

Sementara itu, menulis di Facebook, Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Patrick Tay, berkata meskipun bilangan tuntutan gaji dan tuntutan pemecatan salah lebih tinggi dari tahun lepas, keadilan di tempat kerja telah bertambah baik dari semasa ke semasa dengan bilangan kes yang ditangani Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan yang Adil dan Progresif (Tafep) berkurangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg