Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ubat hidung tersumbat Zyrtec-D tidak lagi dijual di kebanyakan pasaran, termasuk S’pura

Dec 30, 2024 | 8:51 PM
Syarikat farmaseutikal GSK telah menghentikan pengeluaran Zyrtec-D. Peruncit dan pakar penjagaan kesihatan di seluruh dunia telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut pada Ogos 2023.
Syarikat farmaseutikal GSK telah menghentikan pengeluaran Zyrtec-D. Peruncit dan pakar penjagaan kesihatan di seluruh dunia telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut pada Ogos 2023. - Foto ZYRTEC.COM

Ubat antihistamin untuk merawat alahan, Zyrtec-D, tidak lagi dikeluarkan dan tidak dijual di klinik dan farmasi, di kebanyakan pasaran termasuk Singapura.

Ini menyusuli keputusan pengeluar ubat tersebut, GSK, untuk menghentikan pengeluaran Zyrtec-D.  

Syarikat farmaseutikal itu memaklumkan kepada peruncit dan pakar penjagaan kesihatan di seluruh dunia mengenai keputusan tersebut pada Ogos 2023.

Ubat ini mengandungi pseudoephedrine, yang bertindak sebagai dekongestan, iaitu bahan yang dapat mengurangkan simptom hidung tersumbat atau resdung.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, timbul kebimbangan yang mengaitkan pseudoephedrine dengan sindrom posterior reversible encephalopathy (PRES) dan sindrom reversible cerebral vasoconstriction (RCVS).

PRES boleh menyebabkan masalah penglihatan, sawan dan sakit kepala, serta memberi kesan kepada pemikiran, manakala simptom RCVS mirip dengan strok, kerana ia disebabkan oleh saluran darah yang menjadi tegang dan sempit secara tiba-tiba.

Pseudoephedrine dijual di pasaran di bawah pelbagai jenama, seperti Sudafed, Congestaclear dan Pseudocot, dan terdapat puluhan ubat lain yang mengandungi pseudoephedrine sebagai salah satu ramuannya, seperti Zyrtec-D, lapor The Straits Times (ST).

GSK berkata langkah ini adalah sebahagian daripada “proses berterusan untuk mengoptimumkan portfolio ubat-ubatan” mereka.

Pada Mac, GSK menghantar surat kepada pakar kesihatan di Singapura untuk memaklumkan mereka tentang risiko PRES dan RCVS.

Surat itu menyatakan bahawa terdapat beberapa kes pesakit luar negara yang menghidapi PRES dan RCVS setelah mengambil ubat yang mengandungi pseudoephedrine

Mujur kebanyakan kes dapat diselesaikan selepas pesakit berhenti mengambil ubat itu dan mendapatkan rawatan sesuai.

Penguasa Sains Kesihatan (HSA), yang mengawal selia ubatan dan produk perubatan Singapura, berkata produk yang mengandungi pseudoephedrine telah didaftarkan di sini sejak 1989, dengan 31 produk masih didaftarkan.

Seorang jurucakap GSK memberitahu ST bahawa lembaga keselamatan global syarikat itu telah membuat kesimpulan bahawa pseudoephedrine boleh dikaitkan dengan risiko menghidapi PRES dan RCVS, namun tiada kes sebegitu yang dikaitkan dengan Zyrtec-D di Singapura.

Bentuk Zyrtec lain yang tidak mengandungi dekongestan itu masih dijual di pasaran.

Agensi Perubatan Eropah (EMA) memberi amaran mengenai risiko ini pada Januari dan menghendaki ubatan yang mengandungi pseudoephedrine untuk memaparkan amaran.

EMA turut menasihati orang yang mempunyai tekanan darah tinggi yang kronik, serta mereka yang menghidap penyakit buah pinggang kronik atau kegagalan buah pinggang, untuk tidak mengambil ubat yang mengandungi pseudoephedrine kerana ia boleh meningkatkan faktor untuk menghidap PRES atau RCVS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg