Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ular sawa ‘patuk’ kenderaan di Teck Whye

Apr 29, 2024 | 8:12 PM
Ular sawa yang dikatakan sepanjang dua meter mematuk kenderaan yang melalui jalan dua hala berdekatan Blok 136 Teck Whye Lane pada 27 April, lewat malam.
Ular sawa yang dikatakan sepanjang dua meter mematuk kenderaan yang melalui jalan dua hala berdekatan Blok 136 Teck Whye Lane pada 27 April, lewat malam. - Foto CALVIN YEO

Seekor ular yang berkeliaran di atas jalan raya di Teck Whye dilihat mematuk kenderaan yang melalui jalan tersebut pada lewat malam 27 April.

Ditukil dalam akhbar The Straits Times (ST), seorang pemandu Encik Calvin Yeo berkata beliau sedang berada dalam kenderaan di jalan raya terbabit bersama anak lelakinya apabila beliau mengesan ular itu berkeliaran di atas jalan dua hala.

Beliau menambah ular tersebut kelihatan mematuk tayar kenderaan yang lalu di jalan raya dua hala berdekatan Blok 136 Teck Whye Lane itu.

Apabila memandu dekat dengan ular tersebut, beliau anggarkan haiwan itu sekitar dua meter panjang.

Beliau berkata: “Ia pertama kali saya melihat ular sebesar itu di kawasan bandar. Ia amat menakutkan dan agresif.

“Perut ular itu kelihatan membuncit, seperti ia baru saja makan haiwan sebesar seekor kucing.”

Kenderaan yang melalui jalan itu memperlahankan kelajuan bagi mengelakkan daripada melanggar ular itu, tambahnya.

Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) menjelaskan ular sawa itu kelihatan lesu kerana ia baru sahaja habis memakan haiwan.

Ketua eksekutif bersama bagi Acres, Encik Kalaivanan Balakrishnan, berkata: “Disebabkan kelesuan, ular menjadi terdedah dan secara amnya akan lebih bersifat defensif.

“Ini barangkali menjelaskan tingkah laku ular itu dalam bersikap defensif terhadap kenderaan yang lalu lalang.”

Beliau menambah bahawa reptilia itu mungkin cuba mencari tempat selamat dan rasa tertekan dengan keadaan lalu lintas.

Dua pekerja Acres menyelamatkan ular sawa itu. Ular itu telah diperiksa sekiranya mengalami kecederaan dan akan dilepaskan ke habitat yang sesuai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg