Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Undang-undang guna simbol negara dilonggar pada 1 Ogos, kawalan lebih ketat dilaksana

Jul 31, 2023 | 5:23 PM
MULA BERKUAT KUASA: Mulai 1 Ogos, Akta Simbol Negara yang bertujuan menggalak penggunaan simbol negara dan simbol Presiden yang sesuai akan berkuat kuasa.
MULA BERKUAT KUASA: Mulai 1 Ogos, Akta Simbol Negara yang bertujuan menggalak penggunaan simbol negara dan simbol Presiden yang sesuai akan berkuat kuasa. - Foto ST

Kawalan lebih ketat akan dilaksana untuk melindungi salah guna simbol negara apabila undang-undang penggunaan diperlonggar pada 1 Ogos, kata Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Mulai 1 Ogos, akta baru yang bertujuan menggalak penggunaan simbol negara dan simbol Presiden yang sesuai akan berkuat kuasa.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, MCCY menyatakan Akta Simbol Negara, yang diluluskan di Parlimen pada September 2022, akan mengganti Akta Senjata, Bendera dan Lagu Kebangsaan Singapura (Safna) yang sedia ada.

“Perubahan utama yang telah dibuat di bawah peraturan ini termasuk pelonggaran peraturan yang mengawal penggunaan bendera negara, perlindungan yang lebih kukuh untuk melindungi daripada penyalahgunaan, dan penjelasan mengenai penggunaan simbol secara hormat,” menurut kenyataan itu.

Ini termasuk membenarkan rakyat Singapura dan perniagaan untuk menggunakan bendera negara atau imejnya untuk kegunaan komersial atau hiasan semasa tempoh Hari Kebangsaan dari 1 Julai hingga 30 September, atau untuk menggunakan bendera negara atau imejnya pada pakaian untuk tujuan bukan komersial sepanjang tahun asalkan ia digunakan dengan hormat.

Untuk kegunaan sedemikian, mereka tidak perlu lagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.

Dengan perubahan ini, Menteri juga boleh membenarkan bendera negara dipamerkan di luar tempoh Hari Kebangsaan tanpa tiang bendera dan pencahayaan pada waktu malam seperti yang dipamerkan di flat HDB. Sebelum ini, sebarang perubahan pada tempoh paparan memerlukan perundangan itu dipinda.

“Perubahan ini adalah sebagai tindak balas kepada seruan rakyat Singapura untuk mengibarkan Bendera Negara dari rumah mereka pada acara-acara kepentingan negara selepas Hari Kebangsaan, sebagai menunjukkan kebanggaan dan perpaduan negara,” kata MCCY.

Akta baru itu juga mengambil kira kemajuan teknologi yang memudahkan penggunaan salinan digital simbol negara.

Untuk meningkatkan perlindungan terhadap penyalahgunaan simbol negara, peraturan baru itu akan meluaskan skop untuk meliputi digital dan jenis pengeluaran semula simbol negara yang lain, dan untuk memberikan panduan yang sesuai tentang penggunaannya.

“Penghasilan dan paparan bendera dengan reka bentuk bendera negara yang diubah suai atau diputarbelitkan akan dilarang. Begitu juga, pengubahsuaian reka bentuk gencana negara dan gencana Presiden tidak akan dibenarkan.

“Peraturan lagu kebangsaan telah dikemas kini untuk memasukkan cara lain untuk menghasilkan rekod muzik, seperti buatan lagu digital. Orang yang ingin menggunakan lagu kebangsaan untuk tujuan komersial perlu mendapatkan kelulusan Menteri,” tambah kenyataan itu.

Tambahan pula, sebuah mekanisme perintah henti atau ‘stop order’, akan diperkenalkan, yang membolehkan perintah henti disampaikan kepada individu yang telah menggunakan bendera negara, lagu kebangsaan atau ikrar negara secara tidak hormat.

Ia juga memberikan kejelasan tentang penggunaan yang tidak sopan dan akan memberi pengguna peluang untuk membetulkan tindakan mereka sebelum tindakan selanjutnya diambil. Individu yang diberi perintah berhenti boleh merayu kepada Menteri.

Menurut MCCY, peraturan itu juga telah menentukan hukuman maksimum untuk pelbagai kategori kesalahan berdasarkan tahap keseriusan, dengan penalti maksimum $30,000 dan hukuman penjara enam bulan bagi mereka yang didapati bersalah atas kesalahan tersebut.

Perubahan Utama:

  1. Menteri diberi kuasa untuk membenarkan bendera negara dipamerkan di luar tanpa tiang bendera atau pencahayaan malam pada bila-bila masa melebihi tempoh dari Julai hingga September.
  2. Tidak dibenarkan menghasilkan atau mempamerkan bendera negara yang diherotkan atau diubah suai, termasuk meletak grafik atau perkataan di grafik tersebut
  3. Tidak memerlukan kebenaran Menteri untuk penggunaan bendera negara, dan imejnya, untuk tujuan komersial atau untuk hiasan semasa tempoh Hari Kebangsaan, selagi penggunaan itu tidak menimbulkan rasa tidak hormat terhadap bendera negara.
  4. Tidak memerlukan kebenaran Menteri untuk penggunaan bendera negara, dan imejnya, pada pakaian sepanjang tahun dengan syarat penggunaan itu bukan komersial dan menghormati.
  5. Tidak dibenarkan membuat rekod muzik, termasuk penyusunan semula Lagu Kebangsaan, yang melanggar peraturan.
  6. Kebenaran Menteri diperlukan untuk menggunakan lagu kebangsaan secara komersial
  7. Apabila ikrar negara dilafazkan, hendaklah sentiasa dilafazkan dengan penuh.
  8. Penggunaan Ikrar Negara untuk tujuan komersial tidak dibenarkan melainkan kebenaran diberikan oleh Menteri.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg