Setiap Jumaat, Masjid Al-Firdaus di Choa Chu Kang dan Masjid Maarof di Jurong West biasanya menerima banyak sumbangan makanan daripada organisasi dan individu yang murah hati.
Walaupun tindakan memberi sangat digalakkan, kakitangan dan relawan masjid bertahun-tahun berasa bimbang jika mereka akan menghadapi sebarang bentuk liabiliti sekiranya ada jemaah yang jatuh sakit atau hilang nyawa akibat pengambilan makanan yang diberikan.
Tidak seperti makanan yang disediakan di restoran atau oleh syarikat katering makanan berlesen yang mesti dimakan dalam masa yang ditetapkan, makanan yang disumbangkan oleh orang ramai boleh datang daripada pelbagai sumber, termasuk perniagaan dari rumah (HBB) atau makanan yang dimasak sendiri oleh jemaah.
Adakalanya, beberapa badan juga akan menderma makanan kepada masjid untuk mengelak pembaziran, yang mungkin telah melepasi tempoh penggunaan yang disyorkan, kata Anggota Parlimen (AP) Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang).
Dua masjid itu terletak dalam GRC tersebut.
Bagaimanapun, kebimbangan itu tidak lama lagi akan terangkat setelah Rang Undang-Undang Pendermaan Makanan oleh Penderma Baik Hati, atau Good Samaritan Food Donation Bill, diluluskan di Parlimen pada 7 Ogos.
Rang undang-undang tersebut pada dasarnya bertujuan melindungi penderma makanan daripada tanggungjawab sivil dan kesalahan jenayah berkaitan sebarang kematian atau kecederaan yang berpunca daripada makanan yang didermakan di bawah beberapa syarat.
“Ia menjadi isu asas selama bertahun-tahun kerana dari satu sudut, kita tidak mahu membazir makanan dan ingin menggalak orang ramai memberi sumbangan. Penderma pula bimbang tentang sebarang tindak balas atau sebarang pendedahan kepada liabiliti.
“Apabila makanan disumbangkan, masjid akan berhati-hati meminta sumbernya serta butiran hubungan penderma. Pihak masjid juga tidak tahu sama ada jemaah akan makan secara langsung atau pada kemudian hari,” kata Encik Zhulkarnain.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Pengerusi Masjid Al-Firdaus dan Masjid Maarof, Encik Ridwan Alwi, berkata beliau mengalu-alukan kelulusan rang undang-undang baru itu kerana ia akan memberikan kelegaan kepada semua masjid di Singapura yang menerima banyak sumbangan makanan setiap minggu terutama ketika solat Jumaat dan Ramadan.
Beliau juga berharap rang undang-undang tersebut akan menggalak lebih ramai jemaah, individu dan perniagaan untuk menderma makanan kepada masjid, tanpa perlu bimbang tentang sebarang tindakan undang-undang, selagi usaha wajar telah diambil.
Sebelum rang undang-undang tersebut diluluskan, Encik Ridwan berkata setiap masjid akan mempunyai proses tersendiri untuk mencatat senarai penderma, tertakluk kepada operasi setiap masjid.
“Bagi Masjid Maarof dan Masjid Al-Firdaus, sekurang-kurangnya kami akan bertanyakan nama dan nombor telefon mereka.
“Di Masjid Maarof, terdapat borang pengisytiharan yang mereka perlu tanda-tangani menyatakan bahawa mereka bertanggungjawab atas apa sahaja yang berlaku. Jadi, ia adalah penafian yang mengatakan bahawa masjid tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa yang berlaku apabila mereka meletakkan makanan di rak makanan.
“Bagi Masjid Al-Firdaus, kerana kami menerima banyak sumbangan makanan menjelang solat Jumaat, justeru kami hanya mampu mencatat nama, nombor telefon dan mengambil gambar mereka,” kata Encik Ridwan.
Pada hari yang bukan cuti umum, Encik Ridwan berkata Masjid Al-Firdaus boleh menampung sehingga 1,000 jemaah, yang kebanyakannya merupakan pekerja asing, manakala Masjid Maarof boleh menampung sehingga 3,000 jemaah, kebanyakannya merupakan penduduk di kawasan tersebut.
Beliau menambah, bagi Masjid Firdaus, terdapat tekanan tambahan kepada kakitangan setiap minggu kerana ramai penderma ingin menderma makanan kepada pekerja migran.
Ini mencabar bagi masjid untuk merekod dan memastikan sumber makanan.
Kini, dengan kelulusan rang undang-undang tersebut, penderma makanan tidak usah bimbang kerana mereka hanya perlu memenuhi empat syarat untuk dilindungi daripada tindakan undang-undang seandainya penerima mendapat keracunan makanan selepas makan makanan sumbangan mereka.
Ini termasuk mendapatkan pengecualian atau penafian liabiliti daripada pengguna; mendapatkan indemniti daripada penderma; menjalankan usaha wajar terhadap penderma, jika boleh, dan menyediakan latihan kepada sukarelawan; dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan penerima mengenai makanan yang didermakan.
Namun, Encik Zhulkarnain berkata amat penting juga buat penderma berhemat dan mengambil langkah berjaga-jaga apabila menderma atau menerima sumbangan makanan.
“Saya mengalu-alukan rang undang-undang ini kerana ia mempunyai dua peranan. Satu, ia membolehkan pengecualian liabiliti jenayah dan sivil di pihak badan amal atau orang ramai.
“Kedua, ia menggalak lebih ramai orang menderma kerana jika mereka mempunyai makanan tambahan yang tidak mahu dibazirkan, mereka boleh memberikannya kepada badan kebajikan tanpa rasa takut,” kata Encik Zhulkarnain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg