Perniagaan dan individu mungkin tidak lama lagi boleh mendermakan makanan tanpa perlu rasa bimbang mereka dipersalahkan sekiranya penerimanya mengalami keracunan makanan setelah menikmati makanan tersebut, dengan syarat penderma mematuhi protokol kebersihan dan keselamatan yang ketat.
Hal ini boleh berlaku sekiranya Rang Undang-Undang Pendermaan Makanan oleh Penderma Baik Hati atau ‘Good Samaritan Food Donation Bill’ yang diusulkan sekumpulan Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) diterima dan diluluskan Dewan.
Bercakap semasa bacaan kedua rang undang-undang tersebut di Parlimen pada 6 Ogos, AP GRC Nee Soon, Encik Louis Ng, berkata usulan ini bertujuan melindungi penderma makanan daripada tanggungjawab sivil dan kesalahan jenayah berkenaan sebarang kematian atau kecederaan yang berpunca daripada makanan yang didermakan di bawah beberapa syarat.
Rang undang-undang itu akan terus dibahaskan di Parlimen pada 7 Ogos.
Encik Ng menerajui Jawatankuasa Semakan Perundangan Penderma Baik Hati yang telah mengadakan konsultasi bersama restoran, hotel, perusahaan sosial, penghasil makanan, peruncit dan syarikat penghantaran selama empat tahun sebelum rang undang-undang itu dibentangkan.
Anggota jawatankuasa lain termasuk Cik Poh Li San (GRC Sembawang), Cik Hany Soh (GRC Marsiling-Yew Tee); Encik Edward Chia (GRC Holland-Bukit Timah); dan pemain industri seperti BreadTalk, DBS Bank, Food from the Heart dan FairPrice.
Rang undang-undang itu kali pertama dibentangkan di Parlimen pada Julai oleh Encik Ng, Cik Poh, Cik Soh dan Encik Chia untuk menggalakkan lebih ramai mendermakan makanan.
Rang undang-undang ini dibentangkan sebagai Rang Undang-Undang Persendirian, yang bermakna AP biasa, bukan pemegang jawatan politik, yang memperkenalkan rang tersebut.
Di bawah rang undang-undang itu, penderma makanan mesti memenuhi empat syarat demi memastikan makanan yang didermakan selamat dan bersih untuk tidak dipertanggungjawabkan.
Ini termasuk memastikan makanan selamat dan sesuai pada ketika ia didermakan, dan penderma mesti memaklumkan penerima tentang sebarang keperluan khusus untuk menangani makanan supaya ia kekal selamat untuk dimakan.
Selain itu, penderma mesti memberitahu penerima tentang sebarang had masa di mana makanan itu kekal selamat dan sesuai.
Penderma juga perlu mengambil semua langkah-langkah untuk mematuhi syarat keselamatan dan kebersihan makanan sehingga makanan didermakan.
Encik Ng bagaimanapun berkata perlindungan daripada tanggungjawab itu tidak bererti Agensi Makanan Singapura (SFA) tiada kuasa menyiasat sebarang isu keselamatan makanan.
“Jika sebarang isu keselamatan makanan timbul berhubung makanan yang didermakan, SFA tetap boleh menyiasat dan mengambil tindakan penguatkuasaan.
“Perbezaannya ialah penderma makanan hanya perlu menunjukkan kepada SFA bahawa mereka telah memenuhi empat syarat tersebut, dan SFA tidak akan meletakkan sebarang tanggungjawab ke atas penderma makanan,” kata beliau.
“Syarat ini tidak bertujuan membebankan penderma makanan.
“Sebaliknya, jawatankuasa percaya bahawa syarat ini akan memberi manfaat kepada ekosistem pendermaan makanan di Singapura.
“Penerima derma akan yakin bahawa makanan yang didermakan adalah selamat.
“Perlindungan tersebut juga menghalang potensi penepian tanggungjawab yang disalah gunakan,” tambah Encik Ng.
Semasa bahas rang undang-undang itu, beberapa AP telah mengemukakan soalan dan saranan.
Antaranya, Encik Yip Hon Weng (GRC Yio Chu Kang) berkata sebagai masyarakat berbilang budaya, terdapat pelbagai keperluan pemakanan yang perlu dihormati, terutamanya mereka yang memiliki keperluan agama dan budaya.
Misalnya, masyarakat Islam memerlukan makanan halal manakala penganut Hindu dan ramai penganut Buddha tidak makan daging lembu.
“Oleh itu, saya menggesa pemerintah menggariskan garis panduan untuk diikuti penderma, demi mencegah ketidakpatuhan yang tidak disengajakan terhadap pelbagai piawaian pemakanan ini.
“Pelabelan bahan-bahan yang jelas dan tepat, terutamanya berhubung bahan-bahan yang berpotensi ‘sensitif’ seperti produk daging lembu atau babi, adalah penting dalam memperkasa penerima membuat pilihan dengan lebih maklum,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg