Topik diikuti
Pergi ke BHkuUndian semula berjaya, naik taraf HIP 2 blok HDB Tiong Bahru diteruskan
Undian semula berjaya, naik taraf HIP 2 blok HDB Tiong Bahru diteruskan
Dua blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Tiong Bahru yang hampir tidak mencapai undian yang mencukupi bagi Program Peningkatan Rumah (HIP) pada 2025 akan menjalani kerja naik taraf selepas undian semula yang berjaya.
Anggota Parlimen (AP) GRC Tanjong Pagar, Encik Foo Cexiang, berkata dalam satu hantaran Facebook pada 27 Oktober bahawa undian semula telah diadakan pada 25 Oktober dan kedua-dua blok – Blok 34, Kim Cheng Street; dan Blok 35, Lim Liak Street – telah mencapai 75 peratus.
Blok 34 memperoleh 75 peratus undi menyokong HIP, manakala Blok 35 memperoleh 87 peratus.
Dalam keputusan undian yang diterbitkan pada November 2025, Blok 34 kekurangan dua undi untuk mencapai undian mencukupi (67 peratus), manakala Blok 35 kekurangan satu undi (73 peratus).
Blok 34 mempunyai 24 unit dan Blok 35 mempunyai 15 unit.
Kedua-dua blok itu adalah antara 29 blok di kawasan kejiranan tersebut yang penduduknya mengundi sama ada atau tidak mahu meneruskan HIP. Undian berjaya di 27 blok yang lain.
Kesemua blok itu merupakan flat empat tingkat tanpa lif yang dibina pada 1949 oleh syarikat Singapore Improvement Trust, pendahulu HDB.
HIP dilancarkan pada 2007 untuk memperindah kawasan perumahan lama dan menangani masalah penyelenggaraan yang lazim, seperti konkrit yang mengelupas.
Ia hanya dijalankan jika sekurang-kurangnya 75 peratus isi rumah warga Singapura yang layak dalam sesebuah blok mengundi menyokongnya. Isi rumah penduduk tetap (PR) tidak layak mengundi.
Encik Foo berkata selepas undian yang tidak berjaya itu, HDB dan Rangkaian Penduduk (RN) Seng Poh terus menghubungi penduduk kedua-dua blok yang tidak dapat dihubungi, serta pemilik unit yang disewakan yang tidak memberi maklum balas dalam pengundian itu.
HIP diteruskan di 27 blok yang lain supaya “ia dapat dijadikan contoh dan memberi keyakinan lebih besar kepada mereka yang masih ragu-ragu”.
“Kami mempunyai penduduk yang unitnya telah siap menjalani HIP menawar membuka rumah mereka kepada penduduk di kedua-dua blok itu untuk menunjukkan hasil kerja yang baik dan memberi mereka keyakinan lebih besar.
“Kami berjaya menghubungi beberapa penduduk yang sebelum ini tidak dapat kami (hubungi),” tambahnya.
Pada Julai 2026, satu tinjauan awal menunjukkan kedua-dua blok itu berupaya mencapai undian 75 peratus, dan HDB bersetuju mengadakan undian semula, kata Encik Foo, yang juga Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan).
Kerja HIP untuk Blok 34 dan 35 akan bermula pada November, dan dijangka siap menjelang akhir Januari 2027.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata pada Januari bahawa pihak berkuasa sedang mengkaji sama ada untuk mengumpulkan blok HDB yang mempunyai lebih sedikit unit bagi tujuan pengundian HIP, supaya cukup isi rumah mengambil bahagian dalam proses pengundian.
Enam blok HDB gagal memperoleh 75 peratus undi yang diperlukan untuk menjalani HIP sepanjang 10 tahun lalu, katanya dalam satu jawapan bertulis di Parlimen.