Lebih 10,000 helai pakaian Lifewear daripada Uniqlo Singapura akan disumbangkan kepada pekerja asing, syarikat itu mengumumkan pada 18 Disember.
Di bawah inisiatif ‘The Heart Of LifeWear’, syarikat itu berikrar untuk menderma 1 juta pakaian LifeWear kepada mereka yang memerlukan, termasuk pelarian, kanak-kanak dan pekerja penting di seluruh dunia.
Uniqlo menyokong pekerja asing dengan HealthServe, sebuah badan bukan mencari keuntungan yang memenangi anugerah dengan lebih 18 tahun pengalaman dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan sokongan sosial kepada pekerja asing.
Bersama HealthServe dan organisasi lain, Uniqlo akan mengedarkan barangan AIRism dan Heattech serba baru kepada pekerja hijrahan, dan mereka boleh menggunakan produk AIRism di Singapura dan menghantarkan pakaian haba Heattech kepada keluarga mereka di mana cuaca lebih sejuk.
Pengarah kanan bahagian Kelestarian Uniqlo Cik Hwee Lee berkata syarikat itu mahu memastikan pekerja asing mempunyai akses kepada pakaian berfungsi yang selesa.
“Ia adalah cara sederhana kami dan pelanggan kami menunjukkan rasa penghargaan atas sumbangan mereka kepada kemajuan Singapura,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif HealthServe, Encik Alvin Choo, menambah: “Mereka bekerja tanpa jemu untuk menyumbang kepada pembangunan negara kami, dan kami memuji Uniqlo kerana mengiktiraf masyarakat pekerja asing dengan pakaian berkualiti tinggi dan berfungsi.”
Uniqlo sebelum ini telah menyediakan hampir 5,000 produk pakaian Lifewear baru kepada pekerja asing yang dihantar ke kemudahan kuarantin pada tahun 2020 semasa pandemik Covid-19.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg