Untung datang dan pergi, jenama kekal di bazar
Di sebalik kadar sewa yang tinggi dan persaingan yang sengit, bazar Ramadan kekal lebih daripada sekadar tapak perniagaan musiman.
Malah, ia juga menjadi landasan penting untuk membina jenama untuk jangka panjang.
Bagi sebilangan peniaga, kemeriahan musim perayaan bukan hanya tentang meraih keuntungan sepanjang tempoh bazar, malah peluang meletakkan jenama mereka dalam kedudukan kukuh dalam masyarakat.
Beberapa penganjur bazar yang dihubungi Berita Minggu (BM) berkongsi ramai perniagaan kecil melihat musim ini sebagai satu bentuk pelaburan, bukan semata-mata ‘durian runtuh’ yang terjamin.
Dengan ribuan pengunjung setiap malam, bazar memberikan pendedahan yang amat bernilai, khususnya bagi jenama baru yang ingin menempah nama.
Balang.SG, yang telah menyertai industri perniagaan bazar sejak 2022, berkata ruang perniagaan itu memberi mereka landasan yang baik untuk membina jenama mereka.
Namun, pengasas bersama Balang.SG, Encik Syabil Marzuq Sulaiman, akur usaha membina jenama memerlukan lebih daripada sekadar produk menarik, sebaliknya bergantung pada mutu, pengalaman pelanggan dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.
“Di bazar, pelanggan ada banyak pilihan. Kalau kita tidak jaga mutu dan pengalaman pelanggan, mereka boleh terus pergi ke gerai sebelah.
“Jadi kita sentiasa lihat bagaimana kita boleh perbaiki diri daripada cara kita berkhidmat, susun operasi sehinggalah kepada imej jenama kita supaya sentiasa segar dan relevan,” kata Encik Syabil yang kini mempunyai kedai yang terletak di WIS@Changi.
Menurut Pengurus Projek Kanan MegaXpress International, Cik Vivienna Hamzah, kehadiran perniagaan-perniagaan ini secara fizikal di bazar memberi mereka peluang bersemuka dan membina hubungan dengan pelanggan.
“Ini penting terutamanya dalam masyarakat Islam kita.
“Pelanggan boleh lihat sendiri pemilik di sebalik jenama tersebut, tanya tentang bahan yang digunakan untuk masakan, sumber barangan mereka serta kisah bagaimana perniagaan mereka bermula.
“Melalui interaksi ini, ia membina kepercayaan dengan cara yang sukar ditiru oleh wadah dalam talian,” kata Cik Vivienna.
Namun, realiti kos operasi yang semakin meningkat tetap menjadi antara pertimbangan utama.
Seorang lagi penganjur acara, Cik Haryani Othman, berkata kebanyakan vendor, sama ada perniagaan kecil mahupun yang besar, masih menyertai bazar dengan matlamat keuntungan yang jelas.
“Saya percaya kebanyakan perniagaan ini didorong oleh keuntungan, terutamanya perniagaan kecil kerana mereka tidak mempunyai kedai yang fizikal.
“Bagi perniagaan lebih besar, mungkin mereka datang untuk kesedaran jenama dan mengadakan promosi.
“Tetapi yang penting adalah semua yang masuk bazar mahukan pulangan pelaburan,” kata pemilik bersama MakBesar itu.
Walaupun makanan tular seperti Golden Bao, birria tacos, roti awan dan kunafa mendapat sambutan hangat, bazar di kawasan kejiranan masih menampilkan pelbagai hidangan tradisional seperti nasi beriani, nasi Padang dan bubur lambuk.
Menurut penganjur acara bazar di sini, kejayaan bazar tidak seharusnya diukur melalui jumlah jualan harian semata-mata.
Menurut Cik Vivienna, pertumbuhan pengikut media sosial, pelanggan berulang, maklum balas positif dan peluang kerjasama baru juga mencerminkan potensi jangka panjang.
“Kami telah melihat vendor memperoleh pelanggan berulang yang kemudiannya membeli dalam talian, menerima pesanan katering dan kembali lebih kukuh pada tahun berikutnya dengan lebih ramai pengikut setia,” katanya.
“Bagi sesetengah orang, bazar menjadi tapak pelancaran untuk pertumbuhan jangka panjang dan bukannya acara sekali sahaja,” tambahnya.
Satu laporan oleh Sayap Penyelidikan AMP Singapura, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima) pada 2025 mendapati bazar turut berfungsi sebagai ruang sosial masyarakat.
Kajian tersebut dijalankan di beberapa lokasi seperti Tampines, Yishun, Admiralty dan Jurong West.

