Pengendali darat utama di Lapangan Terbang Changi, Sats, menikmati keuntungan yang melonjak lebih sembilan kali ganda kepada $64.1 juta bagi enam bulan kedua yang berakhir pada 31 Mac 2024, berbanding $6 juta yang diraih bagi tempoh sama sebelumnya.
Keuntungan tersebut diraih di tengah-tengah pemulihan teguh dalam sektor penerbangan selepas pandemik, selain pemerolehan syarikat pengendalian kargo udara sedunia, World Flight Services (WFS) oleh Sats pada April 2023 pada harga $1.8 bilion, menurut syarikat tersenarai itu dalam satu pemfailan kawal selia pada 29 Mei.
Pendapatan Sats bagi tempoh enam bulan tersebut meningkat lebih dua kali ganda kepada $2.7 bilion, daripada $953.8 juta bagi tempoh sama setahun lalu, pada umumnya didorong oleh penyepaduan operasi dengan WFS yang meluaskan pasaran Sats, selain menghasilkan sinergi rangkaian.
Bagi seluruh tahun yang berakhir pada 31 Mac 2024, syarikat khidmat penerbangan dan makanan itu kembali meraih keuntungan bersih sebanyak $56.4 juta, berbanding kerugian bersih sebanyak $26.5 juta yang dialami bagi tempoh setahun sehingga 31 Mac 2023.
Pendapatan seluruh tahun Sats sehingga 31 Mac 2024 meningkat lebih tiga kali ganda kepada $5.1 bilion, daripada $1.8 bilion bagi tempoh setahun sebelumnya.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sats, Encik Kerry Mok, sebagai pemain di peringkat sedunia, Sats berhasrat merebut pelbagai peluang pertumbuhan dalam sektor penerbangan di seluruh dunia yang memberi nilai menarik bagi pemegang kepentingan syarikat itu.
“Mencapai prestasi kukuh dalam pasaran tempatan kami akan membolehkan kami mengulangi kecekapan utama kumpulan ini dalam pasaran utama di seluruh dunia, dan dengan itu, membina daya tahan perniagaan dan kemampanan kewangan,” ujar beliau.
Dengan trafik penumpang udara di seluruh dunia dijangka pulih sepenuhnya ke paras 2019 menjelang akhir 2024, dan trafik kargo diramal berkembang sebanyak 4.5 peratus tahun ini, Sats dijangka meraih manfaat daripada trend tersebut, dirangsang oleh sektor e-dagang yang rancak.
Di samping itu, permintaan juga kian meningkat bagi perkhidmatan khusus daripada khidmat kargo udara yang menjana pendapatan lebih baik.
Sats akan terus memberi tumpuan untuk mengurangkan hutang syarikat itu dan mengoptimum kedudukan kewangan bagi mengukuhkan kunci kira-kira syarikat itu, selain melabur semula bagi pertumbuhan mampan, dan memberi nilai menarik kepada pemegang saham, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Singapura.
“
“Mencapai prestasi kukuh dalam pasaran tempatan kami akan membolehkan kami mengulangi kecekapan utama kumpulan ini dalam pasaran utama di seluruh dunia, dan dengan itu, membina daya tahan perniagaan dan kemampanan kewangan.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg