Kumpulan hartanah tempatan, UOL Group, telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf selepas sekumpulan peserta majlis makan malam dan tarian (D&D) mereka baru-baru ini dilihat hadir ke majlis itu berpalitkan solekan hitam dan rambut palsu Afro.
Gambar yang memaparkan lapan peserta dengan latar belakang majlis itu telah dimuat naik di platform perkongsian video, TikTok, pada 24 November.
Klip video tersebut telah mendapat lebih 25,000 tontonan setakat 6.30 petang pada 25 November dan kemudiannya dikongsi di platform media sosial, X.
Satu lagi gambar yang dimuat naik di X menunjukkan mereka berdiri di atas pentas untuk majlis bertajuk ‘UOL & PPHG Annual Dinner & Dance x Remixed Party 2024’ (Makan Malam dan Tarian Tahunan UOL & PPHG x Parti ‘Remixed’ 2024).
PPHG merujuk kepada Pan Pacific Hotels Group.
Sebagai jawapan kepada pertanyaan daripada The Straits Times (ST), jurucakap UOL Group berkata bahawa syarikat itu sedar tentang insiden tersebut, dan “dengan ikhlas memohon maaf atas sebarang salah silap yang mungkin berlaku”.
Jurucakap itu juga tidak mengulas lebih lanjut mengenai peserta majlis itu – sama ada mereka merupakan kakitangan UOL atau PPHG dan jika sebarang tindakan telah diambil terhadap mereka.
Menurut ST, majlis tersebut diadakan pada 14 November dengan tema ‘The Rhythm of the Night’ (Irama Malam).
Warganet mengkritik solekan hitam peserta itu, dengan sebahagian berpendapat bahawa mereka perlu dipertanggungjawabkan atas tindakan tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg