Mengukuhkan keharmonian antara agama memerlukan usaha seluruh masyarakat dan organisasi, komuniti serta individu turut memainkan peranan yang penting, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean.
Dalam ucapannya semasa Anugerah Silang Agama Teladan yang kedua anjuran Jamiyah Singapura pada 19 Oktober, Encik Teo berharap rakyat Singapura akan melihat membina jambatan persefahaman dan rasa hormat dalam masyarakat sebagai tanggungjawab sivik dan ekspresi identiti Singapura.
“Kita telah bekerja keras bersama-sama, selama beberapa dekad, untuk membina dan mengekalkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu. Dan ia adalah usaha berterusan.
“Perbezaan pandangan adalah sebahagian daripada kehidupan dalam masyarakat berbilang kaum, berbilang beragama. Kita perlu belajar untuk menghormati, menampung dan menyesuaikan diri,” ujar beliau.
Semasa acara itu, yang diadakan di Hotel Grand Copthorne Waterfront, Presiden Singapore Buddhist Lodge, Encik Tan Lee Huak, menerima Anugerah Antara Agama Teladan 2024 atas sumbangan cemerlang beliau terhadap keharmonian agama di Singapura.
Master Benjamin Tan, pemimpin dinamik dalam Persekutuan Tao Singapura, pula diberi penghormatan dengan Anugerah Kepimpinan Belia Antara Agama 2024 kerana pendekatan inovatif beliau terhadap penglibatan antara agama belia.
Encik Tan, yang tidak dapat hadir pada acara itu kerana berada di luar negara dan memberi ucapan melalui rakaman video, berkata:
“Saya berharap pada masa depan yang terdekat, kita dapat membuat impak yang besar dalam kalangan masyarakat dan menyumbang kepada perpaduan negara dan keharmonian kaum dan agama.”
Semasa ditemui, Master Tan menyentuh tentang pentingnya melibatkan belia dalam usaha silang agama terutama dalam zaman pendigitalan kini.
“Mereka yang lebih muda lebih canggih dalam bidang teknologi dan mahir dalam menggunakan media sosial, dan kita perlu memanfaatkan kemahiran mereka untuk mewujudkan kesedaran dan membantu dalam usaha mereka menyebar persefahaman,” terang beliau.
Menurut Presiden Jamiyah Singapura, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar, dalam suasana dunia yang berpecah-belah ekoran salah faham dan ketegangan global, anugerah yang dianjurkan itu adalah sumbangan kecil yang mencerminkan mesej harapan.
“Anugerah ini mengiktiraf individu luar biasa yang usaha mereka melangkaui toleransi perbezaan semata-mata untuk membina jambatan secara aktif, untuk mewujudkan persefahaman dan kerjasama antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan,” katanya.
Acara yang dihadiri oleh 500 rakan kongsi dan organisasi berasaskan kepercayaan, memberi pengiktirafan kepada dua individu yang telah menyumbang dengan usaha luar biasa mengukuhkan struktur masyarakat berbilang agama Singapura.
Acara itu turut menampilkan ‘Dialog Antara Agama: Suara Belia’, yang mana golongan muda dan pemimpin agama dari pelbagai latar belakang terlibat dalam perbincangan mengenai topik seperti kepimpinan belia dalam memupuk dialog antara agama, penyelesaian kreatif untuk cabaran sosial dan melayari perbualan yang sukar dalam ruang antara agama.
Dialog itu menggariskan komitmen Jamiyah untuk memupuk generasi pemimpin antara agama akan datang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg