Kanak-kanak dan remaja berusia antara 10 dengan 19 tahun yang mengalami isu kesihatan mental tahap ringan hingga rendah sederhana akan diberi lebih banyak sokongan menerusi satu inisiatif terbaru.
Inisiatif yang dilancarkan pada 20 Jun itu bertujuan melatih kaunselor sekolah dan pekerja sosial untuk mengesan tanda awal kesihatan mental dan menangani keresahan sebelum ia menjadi lebih serius.
Tanda awal yang dimaksudkan termasuk kesukaran tidur, berdepan konflik keluarga dan kebimbangan berkaitan prestasi akademik.
Inisiatif yang dikenali sebagai, Youth Connect Psychological Interventions, itu dihasilkan bersama oleh pakar psikologi klinikal dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) serta Universiti James Cook Singapura (JCU), dengan kerjasama kaunselor sekolah dan agensi khidmat sosial belia.
Ia ditubuhkan susulan kajian KKH – yang diterbitkan pada Februari – melibatkan 221 pesakit berusia antara 10 dengan 19 tahun.
Mereka dirujuk ke Jabatan Kecemasan pada 2021 kerana cuba mencederakan atau membunuh diri.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh KKH dan Yayasan Temasek pada 20 Jun, mereka menjelaskan tentang kajian itu dan berkata:
“Dalam tempoh setahun sebelum cubaan tersebut (mencederakan atau membunuh diri), 19.5 peratus pernah mendapatkan rawatan di hospital atau poliklinik di bawah SingHealth sekurang-kurangnya sekali bagi tanda fizikal yang tidak dapat dijelaskan secara perubatan.
“Ini termasuk sakit kepala atau sakit perut, yang mungkin berpunca daripada tekanan mental atau emosi yang mendalam.”
Selain itu, 15.4 peratus daripada mereka juga mendapatkan rawatan bagi penyakit ringan yang biasa, katanya.
Lebih separuh daripada pesakit yang cuba mencederakan diri atau membunuh diri berkata mereka keliru atau tidak pasti sama ada mereka benar-benar ingin mengakhiri kehidupan mereka.
“Ini menunjukkan bahawa keputusan mereka mungkin dipengaruhi oleh dorongan serta tidak mampu untuk mengurus emosi mereka,” ujar kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah inisiatif yang dilaksanakan di bawah program Youth Connect Yayasan Temasek, turut disokong oleh saringan di Jabatan Kecemasan KKH.
Ia bertanggungjawab menyelaras penjagaan bagi golongan muda itu bersama pihak sekolah dan masyarakat.
Sejak Oktober 2024, lebih 300 kaunselor sekolah dan pengamal kesihatan mental masyarakat telah menerima latihan.
Pada masa akan datang, lebih ramai kaunselor dan pekerja sosial di agensi tidak mengaut untung akan dilengkapi dengan kemahiran bagi mengenal pasti dan memberikan sokongan tepat pada masanya kepada golongan muda berisiko berusia antara 10 hingga 19 tahun.
Perunding kanan di Jabatan Kecemasan KKH, yang turut mengetuai inisiatif tersebut, Dr Angelina Ang, menekankan kepentingan penglibatan masyarakat dalam kesihatan mental belia.
“Dengan melatih karyawan perkhidmatan sosial yang beroperasi di sekolah dan masyarakat untuk mengenal pasti serta menangani tekanan psikososial, kami mewujudkan ruang selamat dan mesra, bagi golongan muda berasa dihargai dan didengari.
“Sokongan awal berasaskan masyarakat ini membolehkan campur tangan tepat pada masanya untuk simptom ringan hingga sederhana – meningkatkan hasil jangka panjang dan mengurangkan keperluan untuk perkhidmatan rawatan tertiari yang memerlukan sumber yang lebih banyak pada masa akan datang,” ujarnya.
Menurut akhbar The Straits Times (ST), harga yang perlu dibayar jika tanda-tanda seperti itu diabaikan adalah sangat tinggi, kata Dr Ang.
Menukil laporan pada 2023 oleh Sekolah Perubatan Duke-NUS dan Institut Kesihatan Mental, Dr Ang berkata anggaran kos untuk merawat seorang kanak-kanak yang mengalami kemurungan dan kebimbangan di sini sekitar $10,250.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, yang turut menghadiri majlis pelancaran itu berkata Program Youth Connect membolehkan sistem penjagaan yang lancar bagi mengurangkan risiko golongan muda terlepas perhatian.
“Pelancaran hari ini lebih daripada sekadar program baru untuk sokongan kesihatan mental.
“Ia melambangkan komitmen bersama kita – tanpa mengira bidang kerja – untuk menyokong golongan muda yang kita temui, dengan cara yang paling sesuai bagi mereka,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg