Bagi Cik Nursyahidah Abdul Rahim dan suami, Encik Amir Zaki Zainal, rawatan kesuburan persenyawaan in vitro (IVF) adalah ikhtiar yang diambil pasangan itu sejak Januari 2025 bagi mendapatkan zuriat setelah mendirikan rumah tangga selama empat tahun.
Mentelah, Cik Nursyahidah pernah keguguran pada tahun kedua perkahwinan ketika janin berusia tiga minggu, sekali gus rawatan IVF salah satu cara yang dapat membantu meningkatkan peluang menimang cahaya mata.
Ketika ditemui Berita Harian, Cik Nursyahidah, 40 tahun, berkongsi: “Memandangkan umur saya sudah mencecah 40 tahun dan dikira capai usia ibu sudah lanjut, saya tidak boleh hamil secara semula jadi. Maka, kenalah usaha dengan cara lain iaitu IVF.
“Dari segi emosi, dengan hormon yang bercelaru dan keperluan mengimbangi pekerjaan serta tanggungjawab lain, ini sedikit sebanyak dapat memberi tekanan yang agak tidak terkawal jadi itu antara cabaran saya.”
Sokongan emosi inilah antara perkara yang dipelajari Encik Amir, 42 tahun, selepas menghadiri sesi berkenaan kesuburan, keimanan dan keintiman dalam perkahwinan sebagai sebahagian daripada Forum ‘Bersamamu’.
Secara khususnya, Encik Amir sedar peri penting menyokong isterinya secara emosi, memandangkan rawatan IVF perit kerana isterinya perlu membuat suntikan secara berkala.
Forum tersebut dianjurkan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) di Singapore Expo pada 1 Jun, dan dihadiri Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, selaku tetamu terhormat.
Bertajuk Perkahwinan: Perjalanan Cinta Hakiki, forum itu menyajikan beberapa sesi perkongsian sampingan bagi membantu pasangan membina asas keluarga yang kukuh – termasuk keintiman dan kesuburan.
Sokongan emosi merupakan antara inti pati yang disampaikan anggota panel bagi sesi tersebut – misalnya menyantuni isteri dengan penuh hemah.
Ia disampaikan Ketua dan Perunding Kanan bagi Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Profesor Madya Suzanna Sulaiman; pengarah pusat pembelajaran Al Wafa’, Ustazah Nadia Hanim Abdul Rahman; dan Pengarah Eksekutif Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM), Encik Didicazli Ismail.
Ketua Kaunselor Projek Arif, AMP Singapura, Ustaz Ahmad Khushairi Abidin, merupakan moderator sesi itu.
Forum utama disampaikan Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid; penceramah, Ustazah Shameem Sultanah dan Pakar Terapi Kanan di Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Nabilah Bagarib.
Selebriti kebudayaan, Cik Marina Yusoff, tampil selaku moderator majlis.
Anggota panel menyifatkan cinta hakiki sebagai satu perkara yang harus dibina secara bersama dan perlu berpaksikan kepada keterlibatan kedua-dua pihak, antara lain.
Dalam pada itu, peserta turut mengajukan soalan kepada anggota panel, dengan cara menguruskan pertelingkahan antara suami dengan isteri secara hormat menjadi keprihatinan utama, setelah soalan tersebut mendapat undian tertinggi daripada peserta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg