Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsaha harus dipergiat supaya lebih banyak perspektif, aspirasi golongan muda didengari
Usaha harus dipergiat supaya lebih banyak perspektif, aspirasi golongan muda didengari
Usaha harus dipergiat supaya lebih banyak perspektif, aspirasi golongan muda didengari
Usaha harus dipergiat supaya pelbagai perspektif dan aspirasi golongan muda Singapura dikenal pasti dan dimanfaatkan bagi mengorak dasar negara pada masa hadapan.
Ini sedang golongan muda di sini kian aktif dalam mengetengahkan suara mereka, kata aktivis dan penasihat akar umbi Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang ditemui Berita Harian selepas Persidangan dan Anugerah PAP 2026 pada 25 Oktober di Ekspo Singapura.
Mereka menyatakan demikian sebagai respons kepada gesaan yang dibuat oleh Perdana Menteri, yang juga Setiausaha Agung PAP, Encik Lawrence Wong, dalam ucapannya di acara itu.
Penasihat Akar Umbi bagi kawasan Fengshan, Cik Hazlina Abdul Halim, berkata beliau melihat lebih ramai golongan muda yang menghantar pesanan langsung kepadanya, di samping penglibatan lebih tinggi dalam forum atau sesi dialog, bagi mereka menyuarakan aspirasi dan perspektif ke arah pembinaan negara.
Beliau berkata: “Ini adalah sesuatu yang perlu diteruskan kerana suara-suara ini meluntur masa hadapan (negara ini), sama ada dari segi dasar atau perbincangan.
“Saya amat berharap agar lebih ramai rakyat Singapura terus menyedari nilai pandangan mereka, serta berani untuk menyuarakannya secara hormat, demi matlamat membina negara.”
Lantaran itu, beliau menggalakkan golongan muda dan golongan lain, termasuk masyarakat Melayu/Islam, untuk merebut peluang seperti menabur bakti dalam kegiatan kesukarelawanan.
Beliau berkata demikian menyusuli ucapan Encik Wong kepada sekitar 3,000 aktivis dan pemimpin akar umbi yang hadir di acara itu.
Encik Wong berkata golongan muda Singapura membesar dalam keadaan dan sekitaran Singapura yang berbeza jika dibandingkan dengan golongan lebih berusia.
Berkongsi pendapat serupa dengan Cik Hazlina, Penasihat Akar Umbi bagi Sengkang Central, Dr Elmie Nekmat, berkata beliau melihat ramai golongan muda, sama ada di peringkat akar umbi mahupun parti, tampil menyumbang suara bagi memacu hala tuju negara ini.
“Ramai aktivis muda daripada pelbagai latar belakang tampil ke hadapan untuk menyumbangkan suara dan tenaga.
“Ini menunjukkan kepentingan untuk bekerjasama dengan rakyat Singapura dan mendengar pendapat mereka secara lebih terperinci,” ujarnya.
Dalam ucapannya, Encik Wong mengatakan yang rakyat Singapura lebih berusia yang telah melalui tempoh transformasi Singapura, mengetahui berdasarkan pengalaman peribadi bagaimana kehidupan mereka bertambah baik.
“Generasi muda Singapura kini membesar dalam suasana Singapura yang sangat berbeza. Mereka tidak mempunyai kenangan atau pengalaman yang sama.
“Kami (PAP) tidak boleh mengharapkan mereka untuk merasakan ikatan yang sama dengan PAP semata-mata berdasarkan pencapaian pada masa lalu.
“Oleh itu, kami mesti mendekati mereka mengikut cara mereka sendiri, dan membuktikan melalui tindakan bahawa kami mampu membawa perubahan positif dalam kehidupan mereka.”
Dalam hal ini, kegiatan dan dasar yang diterapkan untuk menjangkau golongan muda perlu diberi perhatian agar ia relevan dan selaras dengan apa yang diinginkan mereka, kata Penasihat Akar Umbi Ayer Rajah, Cik Cassandra Lee.
Menurutnya, sesi mendengar maklum balas penduduk muda merupakan satu cara yang telah diterapkan oleh pasukan beliau untuk mengetahui isu-isu yang membelenggu ibu bapa muda.
Beliau, yang juga ketua kawasan Barat Daya bagi Sayap Wanita PAP, berkata:
“Kami mempunyai pelbagai sesi mendengar (maklum balas). Kami mendengar daripada ibu bapa muda tentang tekanan pendidikan dan tekanan berhubung menyara keluarga supaya dasar kami mencerminkan matlamat golongan ini.”