Acara pengumpulan dana untuk Masjid Darul Makmur melalui acara Jamuan Amal atau Charity Lunch 2024 yang diadakan pada 14 Julai, di Hotel Fairmont mendapat sambutan begitu baik sekali.
Menurut Pengurus Masjid Darul Makmur, Ustaz Ruhaizan Abdullah, pihaknya amat teruja dengan sokongan yang diterima selama ini, dan berjaya mengumpul lebih $200,00 daripada acara tersebut.
“Setakat ini, $11.4 juta lebih telah dikumpul, dan kami sedang mencari baki dana $3.6 juta untuk projek peningkatan yang menelan belanja sekitar $15 juta.
“Kami menerima sokongan menggalakkan daripada masyarakat dan usaha pengumpulan dana yang sedang dijalankan buat masa ini perlu dipertingkatkan agar jumlah dana yang kami sasarkan dapat dicapai pada hujung tahun ini (2024),” jelas Ustaz Ruhaizan.
Masjid Darul Makmur juga menerima sambutan dan sokongan baik dari masjid-masjid setempat yang lain, yang turut menghulur sumbangan. Derma tertinggi diberikan oleh Masjid Assyafaah, iaitu sebanyak $50,000.
Sokongan daripada kumpulan akar umbi di GRC Nee Soon juga telah membantu dalam acara amal itu dengan menghulurkan derma untuk kos peningkatan Masjid Darul Makmur.
Masjid juga amat berterima kasih kepada Countryside Clinic & Surgery yang diterajui Dr Zailan Ahmad, atas sumbangan $30,000 dalam acara itu bagi menampung kos naik taraf masjid.
“Warga kerja Masjid Darul Makmur ingin merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang telah mendapatkan tiket untuk menyokong acara Jamuan Amal yang diadakan minggu lalu (14 Julai).
“Kami sentiasa mendoakan kesejahteraan semua penderma dan mereka yang menyokong usaha peningkatan Masjid Darul Makmur,” ujar Ustaz Ruhaizan.
Antara acara pengumpulan dana seterusnya bagi peningkatan Masjid Darul Makmur ialah pada September 2024 ini di Singapore Expo. Dengan beberapa program ceramah, bengkel dan juga majlis Khatam Al-Quran yang akan dipimpin oleh asatizah undangan dari Malaysia, Ustaz Uwais Qorny.
DERMA
Sumbangan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melalui:
1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf/Infak).
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Rujukan: Wakaf/Infak).
3. Cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.
4. Hadir di pejabat sementara masjid di Masjid Assyafaah di 1 Admiralty Lane, Singapura 757620 (pada waktu pejabat).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg