Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jamuan amal Masjid Darul Makmur kumpul lebih $200,000

Jul 14, 2024 | 7:19 PM
Naib pengerusi Masjid Assyafaah, Encik Salleh Moideen (paling kiri), memberikan sumbangan $50,000 kepada pengerusi Masjid Darul Makmur, Encik Izuan Mohamed Rais, dalam satu jamuan amal ‘Charity Lunch 2024’ di Hotel Fairmont pada 14 Julai. Turut hadir ialah (mulai dua dari kiri) Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K.Shanmugam; Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Cik Carrie Tan; Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura dan mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob; Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Encik Louis Ng; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; dan Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Encik Derrick Goh.
Naib pengerusi Masjid Assyafaah, Encik Salleh Moideen (paling kiri), memberikan sumbangan $50,000 kepada pengerusi Masjid Darul Makmur, Encik Izuan Mohamed Rais, dalam satu jamuan amal ‘Charity Lunch 2024’ di Hotel Fairmont pada 14 Julai. Turut hadir ialah (mulai dua dari kiri) Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K.Shanmugam; Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Cik Carrie Tan; Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura dan mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob; Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Encik Louis Ng; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; dan Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Encik Derrick Goh. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Masjid Darul Makmur telah mengumpul dana sebanyak $201,500 menerusi satu jamuan amal, Charity Lunch 2024, yang diadakan di Hotel Fairmont pada 14 Julai, bagi membiayai projek peningkatan masjid di Yishun itu.

Jumlah dana itu mencapai sasaran $200,000 yang ditetapkan sebelum ini bagi acara tersebut.

Ia dikumpul hasil sumbangan yang diterima daripada individu, pihak korporat, masjid dan badan agama lain.

Sumbangan turut diterima daripada orang ramai yang menghadiri jamuan tengah hari amal itu manakala derma dengan menggunakan kod QR juga boleh dibuat menerusi penstriman langsung daripada laman Facebook.

Dengan tema Kemakmuran Dalam Perpaduan, seramai 900 orang menghadiri acara yang kali pertama diadakan itu. Angka para hadirin melebihi jangkaan, menurut penganjur.

Sebanyak 63 meja – yang setiap satu dapat menampung 10 orang – disediakan pada awalnya, namun lagi 27 meja telah ditambah. Harga setiap meja di jamuan itu bermula dari $2,000 hingga $10,000.

Mengulas sambutan menggalakkan daripada masyarakat bagi acara amal itu, Naib Pengerusi Masjid Darul Makmur, Encik Abdul Hadi Abu Bakar, berkata:

“Kami tahu ramai di luar sana ingin membantu masjid mengumpul dana. Jadi, melihat sokongan mereka, kami juga terdorong untuk menyediakan sehingga 90 meja. Kami bersyukur bahawa masyarakat ingin terus menyokong projek kami ini.”

Secara keseluruhan, projek peningkatan Masjid Darul Makmur dianggarkan menelan belanja sehingga $15 juta. Selepas jamuan amal itu, sebanyak $11.4 juta telah berjaya dikumpul.

Kerja peningkatan itu kini berada pada fasa pertengahan dan dijangka siap mengikut jadual – suku kedua 2025.

Pada 14 Julai, antara penderma bagi projek itu termasuk Countryside Clinic & Surgery, Masjid Assyafah, Masjid Al Istightar, Masjid Yusof Ishak, Kuil Holy Tree Sri Balasubramaniar dan Allahyarham Encik Jais Salleh.

Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, yang diundang sebagai tetamu kehormat acara, memuji semangat perpaduan daripada masyarakat bukan Islam yang tampil menghulurkan sokongan.

Beliau juga menggalak masyarakat Melayu/Islam untuk terus memberi sumbangan supaya masjid di sini dapat dipertingkatkan bagi kebaikan semua.

Selain itu, Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K.Shanmugam; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Encik Louis Ng, Encik Derrick Goh dan Cik Carrie Tan, turut hadir memeriahkan acara.

Jamuan amal selama dua jam itu turut dijayakan oleh penyanyi dan pemuzik popular seperti Ramli Sarip, Taufik Batisah, Hady Mirza, Addy Cradle dan Riduan Yusoff, bersama pengacara dan personaliti radio, AB Shaik dan Mariam Mas’od.

Encik Abdul Hadi menambah Masjid Darul Makmur akan terus menjalankan program mengumpul dana seperti menganjurkan ceramah dan mengendalikan reruai dalam satu acara di Singapore Expo kelak.

Masjid berusia 37 tahun itu memerlukan kerja peningkatan berskala besar agar ia dapat memberi keselesaan kepada jemaah yang semakin bertambah.

Ini lebih terdesak lagi disebabkan banyak flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru yang telah siap dibina dan juga sedang dibangunkan di kawasan kejiranan Yishun dan Canberra, serta estet baru di kawasan Chencharu.

Buat masa ini, masjid tersebut dapat menampung sekitar 3,000 jemaah pada setiap waktu dan projek peningkatan ini akan menambah ruang solat bagi menampung lebih daripada 4,600 jemaah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg