Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsaha Persatuan Bahasa Melayu NUS galak belia suara isu masyarakat melalui sastera
Usaha Persatuan Bahasa Melayu NUS galak belia suara isu masyarakat melalui sastera
Antologi digital ‘Kalam Pena’, antara lain, himpun karya tentang keterangkuman golongan keperluan khas dan tekanan capai kesempurnaan dalam hidup moden
Usaha Persatuan Bahasa Melayu NUS galak belia suara isu masyarakat melalui sastera
Lebih 250 pelajar dari peringkat sekolah rendah hingga prauniversiti diberi peluang mengupas isu kemanusiaan, identiti dan cabaran kehidupan moden menerusi pantun, cerpen serta puisi yang kini dihimpunkan dalam antologi digital, Kalam Pendeta.
Antologi tersebut dilancarkan sempena Acara Sayembara 2026 bertemakan ‘Ukir’, yang berlangsung pada 23 Mei, di Persada Budaya, Wisma Geylang Serai (WGS).
Penerbitan itu mengetengahkan suara generasi muda Singapura menerusi karya yang menyentuh pelbagai isu masyarakat, termasuk keterangkuman golongan berkeperluan khas dan tekanan untuk mencapai kesempurnaan dalam kehidupan moden.
Antara karya yang mencuri perhatian ialah persembahan pemenang kategori kreatif sekolah menengah, Sekolah Menengah Changkat Changi, yang mengangkat tema kemanusiaan dan penerimaan terhadap golongan berkeperluan khas.
Melalui karya tersebut, pelajar mengetengahkan kepentingan pendidikan sebagai alat memperkasa golongan yang sering dipinggirkan, selain menggalakkan masyarakat melihat mereka dengan rasa hormat dan penerimaan, bukan sekadar simpati.
Guru pembimbing pasukan itu, Encik Djohan Abdul Rahman, berkata karya berkenaan lahir daripada keprihatinan pelajar terhadap pelbagai konflik dan isu sosial yang mereka saksikan setiap hari.
“Pelajar-pelajar ingin mengembalikan semangat kemanusiaan yang semakin terhakis. Mereka mahu mengajak masyarakat melihat kepentingan empati dan sifat berperikemanusiaan dalam mengekalkan keharmonian,” katanya.
Sementara itu, juara keseluruhan kategori prauniversiti, Maktab Rendah Tampines Meridian pula mengetengahkan puisi yang mengkritik tekanan masyarakat moden untuk sentiasa menjadi sempurna dan mengejar status elit.
Karya tersebut mengingatkan kejayaan sebenar bukan terletak pada mengatasi orang lain, tetapi pada keupayaan seseorang menemukan ketenangan jiwa, kesyukuran dan panduan agama dalam kehidupan.
Guru pembimbing pasukan itu, Encik Ishak Latiff, berkata tema ‘Ukir’ dekat dengan generasi muda kerana mereka sedang berada dalam fasa membentuk identiti dan masa depan masing-masing.
“Tema ini mengingatkan mereka identiti tidak datang bergolek, tetapi perlu dibentuk dengan usaha, kesabaran dan ketekunan,” katanya.
Menurut Penyelaras Projek Bisikan Pena, sebuah unit di bawah naungan PBMUKS bagi 2026, Encik Afeef Ikhwan Muhammad Ariffin, tema ‘Ukir’ dipilih bagi mengajak peserta memikirkan kesan berkekalan yang boleh ditinggalkan terhadap masyarakat.
“Ukiran bukan sekadar objek budaya. Ia melambangkan kesan yang kekal.
“Kami mahu peserta berfikir tentang bagaimana mereka boleh meninggalkan impak yang berkekalan kepada masyarakat melalui idea dan karya mereka,” katanya.
Beliau berkata platform seperti Sayembara memberi ruang kepada belia menyuarakan pandangan mereka mengenai isu yang dekat dengan kehidupan mereka melalui wadah kreatif.
Bagi pengasas Pantunism, Encik Shahril Samri, penerbitan semula Kalam Pendeta, membuktikan bahasa dan sastera Melayu masih mempunyai tempat dalam kalangan generasi muda.
“Antologi ini bukan sekadar himpunan karya, tetapi bukti suara generasi muda itu wujud, bernilai dan harus diraikan,” katanya.
Menurut beliau, platform seperti Sayembara bukan sahaja melahirkan pencinta bahasa dan sastera, malah membantu membentuk generasi muda yang berani berfikir, berkarya dan menyumbang kepada masyarakat.
“Kita bukan sahaja mahu anak muda menjadi penonton budaya, tetapi juga pencipta budaya,” tambahnya.
Antologi digital, Kalam Pendeta, menghimpunkan karya pemenang dan karya terpilih daripada kategori Pantun, Cerpen dan Puisi, sekali gus memastikan idea dan pandangan generasi muda terus dapat diakses dan dihargai masyarakat.
- BISIKAN PENA & SAYEMBARA 2026
- Tema: Ukir
- Anjuran: Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS)
- Tarikh Acara Sayembara: 23 Mei 2026
- Tempat: Persada Budaya, Wisma Geylang Serai
- Penyertaan 2026
- • Pantun: 68 peserta daripada 14 sekolah (Darjah 5 & 6) • Cerpen: 133 peserta daripada 37 sekolah (umur 13-16 tahun) • Puisi Kategori A: 48 peserta daripada 11 sekolah (umur 13-16 tahun) • Puisi Kategori B: 24 peserta daripada 5 sekolah (umur 17-22 tahun) • Jumlah keseluruhan: 273 peserta daripada 67 sekolah
- Siri Bengkel Bisikan Pena
- 31 Januari 2026 – Cerpen Subtema: Mengukir Jati Diri Fasilitator: Encik Farihan Bahron
- 7 Februari 2026 – Puisi Subtema: Mengukir Anjakan Paradigma Masyarakat Fasilitator penulisan: Encik Isa Kamari Fasilitator penyampaian: Cikgu Asnida Daud
- 14 Februari 2026 – Pantun Subtema: Mengukir Harapan Bangsa Fasilitator: Encik Shahril Samri (Pantunism)
- 2 Mei 2026 – Forum ‘Ada apa dengan sastera’ Tetamu Undangan: Dr Azhar Ibrahim, Encik Hidayat Nordin, Cik Alyeesha Kaif
- Sorotan Sayembara 2026
- • Pelancaran semula antologi digital Kalam Pendeta • Forum akademik mengenai perkembangan sastera Melayu • Persembahan puisi oleh lima finalis terbaik Kategori A dan lima finalis terbaik Kategori B • Segmen Sajak Spontan bagi memilih penerima anugerah Pemuisi Harapan
- Antologi Kalam Pendeta • Menghimpunkan karya pemenang dan karya terpilih kategori Pantun, Cerpen dan Puisi • Memuatkan 10 cerpen terbaik pertandingan tahun ini • Diterbitkan semula dalam format digital selepas beberapa tahun tidak diterbitkan
