Usahawan wanita Islam di Singapura berpeluang mendapat akses kepada rangkaian antarabangsa dan peluang perniagaan yang lebih luas di Afrika Selatan menerusi kerjasama baharu antara Ikon Women Singapura dengan She Millionare, sebuah organisasi berpangkalan di Afrika Selatan.

Kedua-dua organisasi itu menandatangani memorandum persefahaman (MOU) pada 11 September di De Villa Ballroom, Centrium Square, bagi memperkukuh kerjasama, jaringan serta pertukaran pengetahuan antara perniagaan yang diterajui wanita di Singapura dengan rakan kongsi sejagat She Millionare.

Ikon Women Singapura merupakan sebuah organisasi yang menyokong dan memperkasa perniagaan yang diterajui wanita, manakala She Millionare ialah sebuah organisasi antarabangsa berpangkalan di Afrika Selatan yang turut memperjuangkan sokongan kepada usahawan wanita.

Acara itu turut mengetengahkan peranan diplomasi ekonomi, dengan diplomat Pertubuhan Diplomatik Dunia (WDO) Namibia merangkap pejuang perniagaan, Cik Ndahafa Hapulile, berkongsi tentang cara pemilik perniagaan ‘bersedia untuk pelaburan’ atau lebih bersiap sedia untuk menarik pelabur.

Ini termasuk memahami persekitaran perniagaan dan undang-undang negara yang ingin diterokai oleh usahawan, sekali gus membantu mereka mengharungi proses memasuki pasaran baharu.

“Kita datang daripada budaya yang berbeza, setiap orang adalah unik. Oleh itu, kita mesti mencari persamaan antara kita. Perkara utama yang menyatukan kita ialah nilai hormat dan integriti.

“Nilai-nilai ini merupakan persamaan yang menyatukan kita walaupun kita datang daripada budaya yang berbeza,” kata Cik Ndahafa dalam ucapannya pada acara tersebut.

Pengasas Ikon Women Singapura dan pemilik beberapa perniagaan, termasuk Spa Jelita, Cik Fadilah Majid, berkongsi dengan Berita Harian (BH) bahawa MOU itu akan membolehkan perniagaan yang diterajui wanita dan juga anggota Ikon Women Singapura memanfaatkan rangkaian sejagat She Millionare yang lebih luas.

Beliau menambah bahawa She Millionare mempunyai pendekatan sejagat dan bakal mengembangkan operasinya ke China, di mana satu lagi majlis penandatanganan MOU akan diadakan pada akhir September.

Senada dengan itu, pengasas She Millionare, Dr Mandy Sigauke, turut berkongsi dengan BH: “Kami belajar antara satu sama lain. Rakyat Singapura boleh belajar daripada kami dan kami pula akan belajar daripada mereka.

“Singapura merupakan antara negara yang paling strategik untuk kami mempelajari kemajuan teknologi serta pengalaman pemilik perniagaan di negara ini.

“Pada masa yang sama, terdapat banyak perniagaan milik wanita di Afrika yang mempunyai kebijaksanaan dan sumber untuk dikongsi.”

Majlis menandatangani MOU itu disusuli upacara penghargaan oleh She Millionare, dengan seramai 16 peserta menerima plak sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian mereka.

Antara yang menerima pengiktirafan itu ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif PROWISE Consultancy & ACE ASIA Pte Ltd, Dr Rasimah Jar, yang memberi tumpuan kepada hubungan dan pembangunan insan, termasuk perkahwinan, pendidikan keluarga serta bimbingan hubungan.

Berkongsi dengan BH mengenai pengiktirafan tersebut, Dr Rasimah berkata: “Pada tahap ini, pengiktirafan membawa tanggungjawab.

“Jika pencapaian saya dapat membantu seorang wanita lain, khususnya wanita yang lebih muda, melihat potensi dirinya dari sudut yang berbeza dan berkata, ‘Masih banyak yang boleh saya capai’, maka pengiktirafan itu mempunyai tujuan yang lebih besar daripada diri saya sendiri.”