Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usahawan wanita tembusi industri kejuruteraan meski tanpa latar belakang teknikal

Timba pengalaman di Oman, kini syarikat yang diasasnya raih Anugerah SME 500
Dec 30, 2025 | 5:05 PM
Cik Zeenath Jaleel, diiktiraf sebagai penerima Anugerah SME 500 oleh ahli majlis Persatuan Perdagangan dan Perniagaan Singapura (ATC), Dato Seri Ashraf Bakar, bagi pencapaian Laminar, syarikat kejuruteraan yang diasaskannya, dan telah menunjukkan prestasi cemerlang, berinovasi, dan mencatat pertumbuhan konsisten dalam industri.
Cik Zeenath Jaleel, diiktiraf sebagai penerima Anugerah SME 500 oleh ahli majlis Persatuan Perdagangan dan Perniagaan Singapura (ATC), Dato Seri Ashraf Bakar, bagi pencapaian Laminar, syarikat kejuruteraan yang diasaskannya, dan telah menunjukkan prestasi cemerlang, berinovasi, dan mencatat pertumbuhan konsisten dalam industri. - Foto ihsan ZEENATH JALEEL

Walaupun tiada latar belakang dalam bidang kejuruteraan, Cik Zeenath Jaleel, melihat potensi besar dalam sektor itu.

Berbekalkan pengalaman bertugas sembilan tahun di Oman – mendalami selok-belok urus niaga daripada pengurusan kontrak dan kewangan hingga operasi dan staf – beliau bertekad memulakan perniagaan sendiri di Singapura, dengan menubuhkan Laminar, sebuah syarikat kejuruteraan.

Pada peringkat awal, Cik Zeenath, lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Perniagaan itu mengakui, dalam dua tahun pertama di Singapura, syarikatnya bergelut untuk bersaing dengan firma yang telah bertapak lebih tiga dekad.

“Industri ini sangat tradisional dan berasaskan reputasi, dan sebagai pendatang baru tanpa rangkaian, mendapatkan kontrak adalah sukar,” jelasnya.

Cik Zeenath, 42 tahun, menyesuaikan strategi perniagaannya, termasuk mengusahakan kerjasama dengan pembekal dari Korea.

“Sebelum saya mulakan perniagaan saya di Singapura, saya telah ke Korea dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk mendapatkan bahan.

“Tetapi percubaan menyertai tender di Singapura tidak berhasil pada tahun pertama, kerana tender kejuruteraan di Singapura lebih mengutamakan produk dari China berbanding Korea,” katanya yang turut menyentuh tentang perbezaan harga.

Namun, syarikatnya memperoleh kelebihan tidak terduga semasa pandemik Covid-19 melanda.

Ketika pesaing terganggu kerana mengurus krisis, Cik Zeenath beralih kepada pembekal dari China.

“Perniagaan terus berjalan walaupun tanpa pejabat, dan tiada siapa mempertikaikan cara kami. Kami sangat responsif,” ulas bekas pelajar madrasah itu.

Menjelang akhir 2019, syarikatnya telah menyelesaikan kira-kira 2,000 projek kecil, dan pada awal 2020, ia memenangi projek awam, menandakan kemasukan rasmi ke pasaran Singapura.

Bermula dengan injap untuk sistem air, Laminar kemudian melebarkan sayap ke projek gas dan membangunkan mesin hot tapping mereka sendiri, yang membolehkan pembaikan paip tanpa perlu menutup bekalan air atau gas.

Pertemuan beliau dengan usahawan industri berpengalaman, Cik Nasreen Khalid, yang kemudian menjadi mentor dan mengajarnya asas perniagaan merupakan antara detik penting.

Melalui bimbingan itu, Cik Zeenath, bukan sahaja dapat menguasai kemahiran teknikal dan pengetahuan industri, bahkan turut membina keyakinan diri untuk bersaing dalam persekitaran kerja yang berdaya saing.

Cik Zeenath menekankan pendekatan perniagaan yang cekap dan berdikari.

Bagi pemasaran dan pembangunan perniagaan Laminar, Cik Zeenath dan pasukannya memberi tumpuan kepada kepantasan tindak balas dan keunggulan teknikal.

“Walaupun tanpa projek dalam dua tahun pertama, kami sentiasa menghubungi pelanggan.

“Jurutera kami mempamerkan lukisan dan spesifikasi yang terperinci.

“Apabila syarikat lain bergerak perlahan, kami menjadi lebih gigih, dan nama kami mula menembusi pasaran,” tambahnya yang memahami erti ketabahan dalam keluarga ibu tunggal.

Segala usahanya itu kini membuahkan hasil.

Syarikat itu diiktiraf dengan anugerah SME (Syarikat Kecil dan Sederhana) 500 Singapura oleh Persatuan Perdagangan dan Perniagaan Singapura (ATC) atas kecemerlangan pengurusan, mencatat pendapatan $494,000 pada 2024, yang meningkat kepada $575,000 menjelang September 2025.

Beliau diiktiraf anugerah tersebut pada acara SME Summit Singapura 2025 pada 3 Disember, yang diadakan di Marina Bay Sands Expo dan Pusat Persidangan.

“Orang menjangka sesuatu perkara akan gagal, tetapi saya hanya mencontohi orang yang berjaya dan belajar daripada mereka. Kebanyakan mereka memberikan dorongan,” katanya.

Cik Zeenath berharap perniagaan yang dibinanya sendiri membuktikan berkat keazaman, keyakinan diri, dan kebolehan menyesuaikan diri, sesiapa sahaja boleh membina perniagaan impian mereka.

“Saya tahu jika saya kehilangan syarikat ini, saya mampu memulakannya semula,” ujar beliau yang sudah mendirikan rumah tangga tetapi belum mempunyai anak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg