Walaupun tiada latar belakang kejuruteraan, Cik Zeenath Jaleel melihat potensi besar dalam sektor ini, hingga mendorongnya untuk menubuhkan syarikat kejuruteraannya sendiri, Laminar.
Sembilan tahun pengalaman langsung di Oman, bersama syarikat perundingan Konstanz Global yang kini ditutup, membentuk pemahaman mendalamnya tentang selok-belok perniagaan – daripada pengurusan kontrak dan kewangan hingga kepada operasi dan staf.
Dalam satu pameran kerjaya di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) semasa beliau di universiti, Cik Zeenath telah bertemu dengan seorang peniaga di Singapura, yang kemudian membawanya ke Oman untuk bekerja dan memanfaatkan kefasihannya dalam berbahasa Arab.
Namun, permulaannya di Oman penuh cabaran, terutamanya untuk menyesuaikan diri dalam bidang perundingan perniagaan yang didominasi lelaki, ditambah pula tanpa pengalaman industri.
Keadaan ini menimbulkan keraguan besar tentang keupayaannya untuk bertahan dan maju dalam persekitaran perniagaan yang asing dan mencabar itu.
Titik perubahan berlaku selepas bertemu Cik Nasreen Khalid, seorang usahawan industri berpengalaman yang kemudian menjadi mentor dan mengajarnya asas-asas perniagaan.
Melalui bimbingan ini, Cik Zeenath, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Perniagaan, bukan sahaja dapat menguasai kemahiran teknikal dan pengetahuan industri, tetapi juga membina keyakinan diri untuk bersaing dengan setara dalam persekitaran kerja yang kompetitif.
Berbekalkan pengalaman sembilan tahun di Oman, beliau tekad untuk memulakan perniagaan sendiri di Singapura, dengan menubuhkan Laminar, sebuah syarikat kejuruteraan.
Setelah bertahun-tahun bekerja untuk orang lain, beliau menyedari impiannya untuk memiliki perniagaan sendiri.
Pada peringkat awal, Cik Zeenath mengakui, dalam dua tahun pertama di Singapura, syarikatnya bergelut untuk bersaing dengan firma yang telah bertapak lebih tiga dekad.
“Industri ini sangat tradisional dan berasaskan reputasi, dan sebagai pendatang baru tanpa rangkaian, mendapatkan kontrak adalah sukar,” jelasnya.
Cik Zeenath, kini berusia 42 tahun, sentiasa menyesuaikan strategi perniagaannya, termasuk mengusahakan kerjasama dengan pembekal dari Korea.
“Sebelum saya mulakan perniagaan saya di Singapura, saya telah ke Korea dan menandatangani memorandum persefahaman untuk mendapatkan bahan. Tetapi percubaan menyertai tender di Singapura tidak berhasil pada tahun pertama, kerana tender kejuruteraan di Singapura lebih mengutamakan produk dari China berbanding Korea,” katanya, sambil menegaskan perbezaan harga sebagai halangan utama.
Syarikatnya memperoleh kelebihan tidak terduga semasa pandemik Covid-19. Ketika pesaing terganggu kerana mengurus krisis, Cik Zeenath beralih kepada pembekal dari China.
“Perniagaan terus berjalan walaupun tanpa pejabat, dan tiada siapa mempertikaikan cara kami. Kami sangat responsif,” ulasnya.
Menjelang akhir 2019, syarikatnya telah menyelesaikan kira-kira 2,000 projek kecil, dan pada awal 2020, ia memenangi projek awam, menandakan kemasukan rasmi ke pasaran Singapura.
Bermula dengan injap untuk sistem air, Laminar kemudian melebarkan sayap ke projek gas dan membangunkan mesin hot tapping mereka sendiri, yang membolehkan pembaikan paip tanpa perlu menutup bekalan air atau gas.
Cik Zeenath menekankan pendekatan perniagaan yang cekap dan berdikari.
“Saya tidak mengambil pinjaman; saya meminjam daripada keluarga dan rakan untuk setiap projek dan membayarnya kembali. Sehingga kini, saya tiada liabiliti,” katanya.
Bagi pemasaran dan pembangunan perniagaan Laminar, Cik Zeenath dan pasukannya memberi tumpuan kepada kepantasan respons dan keunggulan teknikal.
“Walaupun tanpa projek dalam dua tahun pertama, kami sentiasa menghubungi pelanggan. Jurutera kami mempamerkan lukisan dan spesifikasi yang terperinci. Apabila syarikat lain bergerak perlahan, kami menjadi lebih gigih, dan nama kami mula menembusi pasaran,” tambahnya.
Usahanya membuahkan hasil manis.
Syarikat itu diiktiraf dengan anugerah SME (Syarikat Kecil dan Sederhana) 500 Singapura oleh Persatuan Perdagangan dan Perniagaan Singapura (ATC) atas kecemerlangan pengurusan, mencatat pendapatan $494,000 pada 2024, yang meningkat kepada $575,000 menjelang September 2025.
Dibesarkan dalam keluarga ibu tunggal dan kini sudah berumah tangga tetapi belum mempunyai anak, Cik Zeenath belajar erti ketabahan dan keazaman daripada ibunya.
“Orang menjangka sesuatu perkara akan gagal, tetapi saya hanya mencontohi orang yang berjaya dan belajar daripada mereka. Kebanyakan mereka memberikan dorongan,” katanya.
Cik Zeenath berharap perniagaan yang dibinanya sendiri membuktikan bahawa dengan keazaman, keyakinan diri, dan kebolehan menyesuaikan diri, sesiapa sahaja boleh membina perniagaan impian mereka.
“Saya tahu jika saya kehilangan syarikat ini, saya mampu memulakannya semula,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg