Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsia persaraan meningkat: Cara beri peluang pekerja muda jadi pemimpin
Seiring peningkatan umur persaraan, perlu nilai semula struktur kerjaya, pembaharuan kepimpinan dan sistem ganjaran pekerja
Usia persaraan meningkat: Cara beri peluang pekerja muda jadi pemimpin
Keputusan pemerintah menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun dan umur pengambilan bekerja semula kepada 70 tahun pada 2029 – setahun lebih awal daripada jadual – mendapat pelbagai maklum balas.
Ramai mengalu-alukan langkah itu.
Memandangkan rakyat Singapura hidup lebih lama dan sihat, mereka yang ingin terus bekerja wajar diberi peluang.
Tempoh kerjaya lebih panjang membolehkan pekerja berusia menambah simpanan persaraan dan menyumbang pengalaman dan kepakaran kepada ekonomi.
Namun, kebimbangan turut timbul.
Jika eksekutif kanan kekal sehingga lewat usia 60-an, adakah peluang kepimpinan pekerja muda berkurangan? Adakah gaji tinggi mereka membebankan majikan?
Walaupun tempoh bekerja lebih panjang memberi manfaat kepada individu dan masyarakat, usaha mengekalkan pekerja berpengalaman boleh menjejas peluang generasi seterusnya.
Penyelesaian terbaik yang menguntungkan semua pihak memerlukan anjakan minda bahawa kemajuan kerjaya bukan sekadar kenaikan pangkat secara berterusan, dan melepaskan jawatan kepimpinan bermakna meninggalkan syarikat.
Kemajuan dicapai, cabaran masih ada
Singapura telah mengambil langkah menjadikan amalan pekerjaan dan ganjaran lebih anjal.
Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) sejak sekian lama menyarankan agar gaji yang berasaskan tempoh perkhidmatan digantikan dengan ganjaran berdasarkan tanggungjawab, kemahiran dan prestasi.
Rangka kerja pengambilan bekerja semula turut memberi kelonggaran.
Walaupun undang-undang melindungi pekerja daripada dipaksa bersara sebelum waktunya, majikan boleh mencapai persetujuan dengan pekerja yang layak mengenai perubahan tanggungjawab pekerjaan dan ganjaran.
Namun, aturan ini belum menyelesaikan isu pembaharuan kepimpinan.
Dalam organisasi dengan struktur jawatan yang agak tetap, bilangan jawatan pengurusan kanan terhad.
Apabila penyandang kekal lebih lama, pekerja muda mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk dinaikkan pangkat.
Penyelesaiannya bukan meminta pekerja berusia bersara awal kerana pengalaman mereka amat berharga.
Sebaliknya, kita perlu membezakan antara mengekalkan seseorang sebagai pekerja dengan mengekalkannya dalam jawatan kepimpinan tertentu.
Jadikan pertukaran kepimpinan amalan biasa
Satu pendekatan adalah menjadikan pelantikan untuk tempoh tetap atau pertukaran berkala sebagai amalan biasa bagi jawatan kepimpinan tertentu.
Dunia akademik menawarkan contoh yang baik. Di universiti, dekan dan ketua jabatan lazimnya dilantik untuk tempoh tertentu.
Seorang profesor boleh berkhidmat sebagai dekan sebelum kembali mengajar dan menjalankan penyelidikan, sambil memberi laluan kepada rakan sekerja lain untuk mengambil alih jawatan kepimpinan itu.
Bekas dekan tidak perlu bersara, meninggalkan universiti atau menjadi penasihat.
Mereka boleh terus menyumbang sebagai profesor tanpa stigma dipandang rendah kerana peralihan sedemikian merupakan amalan biasa dalam dunia akademik.
Prinsip yang sama boleh diterapkan secara meluas.
Eksekutif kanan boleh beralih daripada menerajui bahagian atau jabatan kepada menyelia projek utama, membangunkan perniagaan baharu atau mengurus fungsi khusus, sementara rakan sekerja mengambil alih kepimpinan.
Namun, bukan semua jawatan sesuai untuk tempoh tetap.
Kesinambungan penting apabila kepakaran atau hubungan jangka panjang diperlukan.
Perubahan kepimpinan juga tidak harus berdasarkan usia semata-mata.
Organisasi boleh merancang pembaharuan kepimpinan secara berkala.
Amalan ini membawa sudut pandang baharu sambil mengekalkan pengalaman pemimpin terdahulu.
Yang penting, melepaskan jawatan kanan harus dianggap sebagai peralihan biasa, bukan kegagalan.
Nilai semula kemajuan kerjaya dan ganjaran
Majikan perlu menilai semula tanggapan bahawa kemajuan kerjaya semestinya bermakna kenaikan ke jawatan lebih tinggi dalam organisasi.
Apabila tempoh bekerja meningkat, laluan kerjaya kurang mengikut satu laluan yang tetap.
Pekerja boleh beralih antara peranan kepimpinan, kepakaran dan projek mengikut peringkat kerjaya.
Pengurus berpengalaman boleh melepaskan tanggungjawab mengurus pasukan besar tetapi terus menyumbang melalui kepakaran teknikal, pembangunan perniagaan atau perubahan organisasi.
Pekerja muda pula boleh diberi peluang mengetuai projek atau pasukan tanpa menunggu kekosongan jawatan kanan.
Ini memerlukan struktur organisasi yang lebih anjal, lapisan pengurusan yang kurang dan mendatar serta pengiktirafan terhadap laluan kerjaya pakar.
Amalan ganjaran juga perlu berubah.
Dalam organisasi dengan belanjawan gaji terhad, mengekalkan eksekutif kanan bergaji tinggi boleh mengurangkan peruntukan untuk kenaikan gaji pekerja muda.
Penyelesaiannya bukan memaksa pekerja kanan bersara awal, sebaliknya menetapkan ganjaran berdasarkan sumbangan semasa, bukan tempoh perkhidmatan lalu.
Ini tidak bermakna pekerja berusia mesti menerima gaji rendah. Mereka yang melaksanakan tugas mencabar dan menyumbang nilai besar wajar diberi ganjaran setimpal.
Begitu juga, peralihan kepada jawatan dengan tanggungjawab lebih ringan tidak harus dianggap sebagai penurunan kedudukan, walaupun melibatkan pelarasan gaji.
Perubahan ini memerlukan perubahan budaya organisasi, bukan sekadar semakan dasar sumber manusia.
Bimbingan dua hala
Kekuatan pekerja berusia dan muda boleh saling melengkapi.
Pekerja berusia membawa pengetahuan organisasi, pertimbangan profesional dan pengalaman.
Pekerja muda pula menawarkan perspektif baharu, pengetahuan teknologi terkini dan kesediaan mempersoalkan amalan lama.
Bimbingan sering dicadangkan sebagai cara pekerja berusia menyumbang. Namun, perkongsian pengetahuan tidak harus berlaku sehala.
Dengan perkembangan teknologi pesat, khususnya kecerdasan buatan (AI), pekerja muda juga mempunyai pengetahuan berharga untuk dikongsi.
Bimbingan daripada pekerja muda kepada pekerja kanan, khususnya memahami teknologi dan kaedah kerja baharu, amat berguna.
Organisasi juga boleh menggandingkan pekerja berlainan generasi dalam projek, menggabungkan pengalaman dan idea baharu.
Ini memerlukan sikap saling menghormati dan kesediaan belajar tanpa mengira usia.
Keanjalan demi kerjaya lebih panjang
Memanjangkan tempoh bekerja tidak bermakna semua orang perlu bekerja dengan cara sama sehingga usia 70 tahun.
Keadaan dan keutamaan pekerja berusia berbeza. Ada yang mahu bekerja sepenuh masa, manakala yang lain memilih minggu bekerja lebih pendek atau beban kerja yang lebih anjal.
Justeru, Program Flexi-Load yang diumumkan baru-baru ini untuk membantu majikan menawarkan aturan kerja lebih anjal kepada pekerja kanan amat dialu-alukan.
Keanjalan tidak terhad kepada kerja sambilan. Pekerja berpengalaman boleh bekerja tiga atau empat hari seminggu sambil menerima projek tambahan apabila diperlukan.
Majikan dapat mengekalkan kepakaran sambil menyesuaikan beban kerja dengan keperluan perniagaan.
Bukan semua pekerjaan boleh disusun semula, dan firma kecil mungkin mempunyai pilihan terhad.
Namun, reka bentuk kerja anjal boleh memanfaatkan kedua-dua pihak.
Aturan ini perlu disokong pelaburan latihan berterusan supaya pekerja semua peringkat usia dapat memperbaharui kemahiran mengikut perkembangan industri dan teknologi.
Langkah Singapura memanjangkan tempoh bekerja penting bagi menangani peningkatan jangka hayat dan pertumbuhan tenaga kerja yang perlahan.
Namun, perubahan had umur sahaja tidak mencukupi. Struktur kerjaya, pembaharuan kepimpinan dan sistem ganjaran perlu dinilai semula.
Cabarannya adalah untuk membina organisasi yang dapat memperbaharui kepimpinan tanpa kehilangan pengalaman berharga.
Kerjaya lebih panjang harus membuka lebih banyak peluang kepada semua, bukan memanjangkan penantian mereka yang ingin meningkat dalam kerjaya.
Penulis ialah Pengarah Eksekutif, Institut Pembelajaran Dewasa, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), yang juga Anggota Parlimen Dilantik (NMP). Rencana ini kali pertama diterbitkan dalam ‘The Straits Times’.
