Topik diikuti
Pergi ke BHkuDaripada usikan ibu, gelaran ‘profesor’ kini hampir jadi nyata
Bakal lanjut pengajian Sarjana Falsafah (MPhil) dalam Sejarah Dunia di Universiti Cambridge
Daripada usikan ibu, gelaran ‘profesor’ kini hampir jadi nyata
Apa yang dilafazkan seorang ibu itu ibarat doa.
Bagi Encik Muhamad Mamfizam Ismail, gelaran ‘profesor’ yang diberikan ibunya sejak kecil kini kian hampir menjadi kenyataan.
Jauh sebelum menara gading terlintas di fikiran, beliau sudah mesra disapa dengan gelaran itu.
Mungkin kerana penampilannya yang berkaca mata, gemar membaca, dan kerap meluangkan masa berjam-jam di hadapan komputer keluarga.
Ketika itu, ia sekadar gelaran manja. Hari ini, gelaran tersebut semakin hampir menjadi kenyataan.
Anak bongsu dua beradik itu menemui cintanya terhadap sejarah bukan menerusi buku teks yang tebal, tetapi ketika mengatur bala tentera dan membina tamadun dalam permainan video seperti ‘Total War’ dan ‘Civilization’.
Mahasiswa pertama dalam keluarganya, Encik Mamfizam, yang pernah menganggap universiti sebagai impian yang jauh daripada jangkauan, kini bakal melanjutkan pengajian Sarjana Falsafah (MPhil) dalam Sejarah Dunia di Universiti Cambridge.
Beliau merupakan penerima Biasiswa Allauddin Masjid Khalid 2026, sekali gus penerima kedua sejak biasiswa itu dilancarkan pada April 2023.
Bagi Encik Mamfizam, 26 tahun, perjalanan itu tidak pernah dirancang sejak awal.
Ayahnya bekerja sebagai pelukis semburan industri, manakala ibunya, yang kini separuh bersara, pernah bertugas sebagai pegawai keselamatan di Lapangan Terbang Changi selama hampir sedekad.
Walaupun bergelar mahasiswa pertama dalam keluarga, Encik Mamfizam berkata ibu bapanya tidak pernah meletakkan tekanan besar untuknya mengejar kecemerlangan dalam bidang akademik.
Malah, pesanan ibunya cukup mudah – lulus Matematik iaitu subjek yang sering menjadi cabarannya ketika kecil.
“Universiti terasa seperti sesuatu yang jauh kerana tiada seorang pun dalam keluarga saya, termasuk saudara-mara, pernah melalui laluan maktab rendah,” katanya.
Oleh itu, menjadi orang pertama dalam keluarga ke universiti ibarat meneroka sesuatu yang tidak diketahui, tambahnya.
Namun, minatnya dalam bidang sejarah terus berkembang daripada permainan video kepada bilik darjah, seiring bantuan guru yang memberi galakan kepadanya di sekolah menengah dan maktab rendah.
Ketika mengikuti program pertukaran di Amerika Syarikat pula, pertemuannya dengan Profesor Cemil Aydin di University of North Carolina membuka jalan kepada bidang penyelidikannya hari ini.
Di Cambridge, Encik Mamfizam akan mendalami kajian mengenai kebangkitan Islam dan autoriti agama, khususnya bagaimana idea tersebut tersebar merentasi Dunia Islam ke Malaysia sekitar 1970-an dan 1980-an.
Kajian itu berkembang daripada tesis sarjana mudanya di Universiti Nasional Singapura (NUS), yang meneliti pemikiran dua tokoh bersaudara, Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan Syed Hussein Alatas, dalam memahami kebangkitan Islam di Malaysia.
Namun, cintanya terhadap sejarah tidak terhenti dalam dunia akademik.
Sejak 2023, beliau turut menjadi penyelidik sukarela bersama Ambin Ubin, merakam sejarah lisan penduduk Pulau Ubin.
Minat itu lahir daripada satu kehilangan peribadi.
Selepas datuk dan neneknya meninggal dunia, Encik Mamfizam menyedari banyak kisah mengenai asal usul keluarganya tidak sempat dirakam.
“Kalau saya tidak sempat melakukannya untuk keluarga sendiri, saya boleh membantu orang lain melakukannya untuk keluarga mereka,” katanya.
Beliau menyifatkan usaha tersebut sebagai satu “perlumbaan dengan masa”, sedang penduduk semakin berusia dan kisah mereka berisiko hilang apabila mereka tiada lagi.
Di sebalik pencapaiannya, Encik Mamfizam berkata cabaran terbesarnya kekal sama, mempercayai kemampuan diri sendiri.
Daripada seorang pelajar yang pernah tertanya-tanya sama ada beliau mampu bertahan di maktab rendah, beliau kini bakal memasuki apa yang disifatkannya sebagai “lautan terbesar” di Cambridge.
Selepas tamat pengajian, beliau berharap dapat mengajar dan membimbing anak muda lain agar turut berani bermimpi.
Pesannya kepada ‘profesor cilik’ yang pernah duduk berjam-jam di hadapan komputer juga ringkas:
“Teruskan. Mungkin sekarang susah, tetapi percayalah bahawa anda sebenarnya baik-baik sahaja.”
