Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Usikan manja Shahfiq di pagi Syawal amat dirindui

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Keluarga juara peraduan adubakat Anugerah 2017, Allahyarham Mohd Shahfiq Irman yang maut dalam kejadian nahas rempuhan lori kontena di JB, kenang sambutan Hari Raya bersama arwah.

Usikan manja Shahfiq di pagi Syawal amat dirindui

Apr 13, 2024 | 06:05 PM



Sebak terasa di dada seorang ibu, mengenang usikan dan gelak tawa manja anaknya yang menceriakan keluarga setiap pagi Syawal pertama.

Allahyarham Mohd Shahfiq Irman akan sering berseloroh dengan ibunya, Cik Norris Sanat, apabila mereka berdua adalah yang terakhir bersiap sedia dalam kalangan keluarga di pagi Raya.

Namun, tanpa kehadiran dan sekilas bayangan wajah Allahyarham Shahfiq di sisi, sambutan Hari Raya tahun ini agak sunyi buat Cik Norris sekeluarga.

“Ia pastinya berbeza tahun ini,” kata Cik Norris ketika dihubungi Berita Minggu (BM).


“Arwah akan sentiasa menjadi orang terakhir yang bersiap selain saya. Jadi beliau akan selalu mengusik saya kerana saya selalu tergesa-gesa dan menyuruhnya untuk siap cepat apabila saya sendiri juga belum siap.

“Beliaulah penyejuk hati…Arwah dapat menyejukkan hati saya kalau saya sedang marah. Dengan senyuman manis beliau, suara yang lembut dan sakat manjanya. 

“Allah sahaja yang tahu betapa kosong hati kami sekeluarga tanpa beliau di sisi kami pagi Raya ini,” tambah Cik Norris dengan nada sebak.

Allahyarham Shahfiq, anak kedua daripada empat adik beradik, merupakan juara peraduan adubakat Anugerah 2017.


Beliau bersama seorang rakannya, Allahyarham Mohd Firman Nordin, merupakan dua penunggang motosikal Singapura yang maut dalam nahas rempuhan lori kontena di Lebuhraya Utara-Selatan di Johor pada dinihari 23 Mac.

Mereka terkorban ketika sedang berkonvoi bersama enam teman lain untuk bersahur di seberang Tambak.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila salah seorang penunggang konvoi mengalami masalah tayar pancit dalam perjalanan dan telah berhenti di kawasan rehat Yong Peng.

Lantaran itu, baki tujuh penunggang telah menghentikan motosikal mereka di lorong kecemasan untuk menunggu beliau, sebelum sebuah lori kontena yang hilang kawalan merempuh kumpulan berkenaan.

Akibat kejadian itu, empat lagi mengalami cedera parah.

Kehilangan mengejut anak tersayangnya itu masih lagi dirasai Cik Norris.

Hampir setiap hari sewaktu Ramadan lalu, beliau akan menziarahi kubur Allahyarham Shahfiq, mengimbau kembali detik-detik yang pernah mereka lalui bersama.

Dalam pada itu, Cik Norris juga akan sentiasa berhubung dan bertanyakan khabar tunang arwah anaknya itu

Allahyarham Shahfiq, seorang bekas pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan lulusan Maktab Seni Lasalle, seharusnya bernikah pada 7 Disember.

“Saya akan melawat kubur arwah setiap hari tanpa rasa jemu. Itulah satu-satunya cara saya boleh berasa dekat dengannya kerana beliau selalu menghubungi saya setiap hari semasa hayatnya.

“Saya akan ke kubur bersama tunang arwah dan anak bongsu saya. Alhamdulillah, tempat kerja saya sangat memahami situasi yang saya hadapi dan membenarkan saya mengambil cuti separuh hari supaya saya dapat ke kubur melawat arwah,” tambahnya.

Cik Norris berkongsi bahawa mereka seisi keluarga telah menziarahi kubur Allahyarham Shahfiq selepas solat Hari Raya Aidilfitri pada 10 April dengan memakai pakaian Hari Raya yang dipilih arwah untuk keluarganya tahun ini sebelum kejadian tragis itu.

Kerana kesedihan yang masih menyelubungi, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun ini mereka sekeluarga hanya beraya bersama keluarga terdekat pada Hari Raya pertama.

“Tiada lagi perayaan meriah seperti biasa. Kami hanya bermaafan di rumah bersama kedua ibu bapa dan nenek. 

“Selepas itu, kami hanya ke rumah kakak ipar saya. Mereka sekeluarga banyak membantu kami terutama dalam menguruskan jenazah arwah,” kongsi beliau.

Cik Norris juga mengambil kesempatan meluahkan penghargaan beliau kepada mereka yang tidak putus mendoakan anaknya sehingga hari ini.

Beliau berkata: “Alhamdulillah, ramai juga orang yang datang melawat arwah hingga ke hari ini. Saya amat berterima kasih pada mereka.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >