Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ustaz Dr Feirul Maliq dilantik Presiden Mahkamah Syariah mulai 3 Okt

Oct 2, 2024 | 1:15 PM
Ustaz Dr Feirul Maliq Intajalle mengambil alih jawatan selaku Presiden Mahkamah Syariah daripada Ustazah Raihanah Halid (kededuanya dalam gambar atas) berkuat kuasa 3 Oktober.
Ustaz Dr Feirul Maliq Intajalle mengambil alih jawatan selaku Presiden Mahkamah Syariah daripada Ustazah Raihanah Halid (kededuanya dalam gambar atas) berkuat kuasa 3 Oktober. - Foto MCCY

Pegawai bagi kelompok Pembangunan dan Dasar Keagamaan (Dasar) Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Ustaz Dr Feirul Maliq Intajalle, dilantik sebagai Presiden Mahkamah Syariah berkuat kuasa 3 Oktober.

Dalam satu kenyataan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada 2 Oktober, Ustaz Dr Feirul, 38 tahun, akan mengambil alih jawatan itu daripada Ustazah Raihanah Halid, yang telah menyandang jawatan tersebut sejak Disember 2016.

Kenyataan itu menambah bahawa Ustazah Raihanah akan kembali ke Muis sebagai Timbalan Pengarah, Pembangunan dan Dasar Keagamaan (Fatwa) mulai 1 Januari 2025 selepas tamat tempoh beliau dipinjamkan kepada Mahkamah Syariah.

Sebagai Presiden Mahkamah Syariah, Ustaz Dr Feirul akan menjalankan peranan adjudikasi dan mengetuai prosiding Mahkamah Syariah.

Selain daripada tugasan penghakiman, Presiden Mahkamah Syariah memacu kepimpinan Mahkamah Syariah, penglibatan bersama pihak berkepentingan, pendidikan undang-undang, pendidikan awam serta usaha mendekati masyarakat berkaitan dengan kemajuan dan pentadbiran undang-undang keluarga Islam di Singapura, tambah MCCY.

Presiden Mahkamah Syariah turut menyumbang kepada pembangunan perundangan undang-undang keluarga Islam melalui hasil penghakiman yang diterbitkan dalam Laporan Rayuan Syariah Singapura.

Dua lagi presiden semasa di Mahkamah Syariah termasuk Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy dan Ustaz Muhammad Fazalee Ja’afar, dengan Cik Guy Ghazali sebagai Presiden Kanan.

Ustaz Dr Feirul berkelulusan ijazah Sarjana Muda Syariah (Kepujian dengan Cemerlang) dari Universiti Malaya (UM) pada 2008.

Pada 2015, beliau memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Undang-Undang Pewarisan Islam dari UM.

MCCY menambah beliau bukan muka baru di Mahkamah Syariah, setelah berkhidmat sebagai hakam (pendamai hal perkahwinan) pada 2013 dan selepas itu sebagai Presiden ad hoc dari 2016 hingga 2019.

Ustazah Raihanah, 42 tahun, diiktiraf sebagai pemikir dalam undang-undang keluarga Islam, dengan kepakarannya dalam undang-undang pusaka orang Islam dan telah mainkan peranan penting dalam inisiatif perundangan dan pendidikan awam Mahkamah Syariah, jelas MCCY.

Beliau telah menjalankan banyak latihan mengenai undang-undang Islam untuk cendekiawan undang-undang dan sains sosial serta untuk asatizah – seperti di Kursus Amalan Undang-undang Islam, Persidangan Keluarga dan Forum Amalan Mahkamah Syariah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg