Dua kadi mapan, Ustaz Pasuni Maulan dan Ustaz Sallim Jasman, diberi Anugerah Kadi Sepanjang Hayat bagi mengiktiraf komitmen mereka yang padu dalam memperkukuh hubungan keluarga melebihi akad nikah selama beberapa dekad.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam satu majlis menyambut ulang tahun program ‘Bersamamu’ yang kelima di Hotel Equarius pada 30 Ogos.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Secara bersama, Ustaz Pasuni, 79 tahun, dan Ustaz Sallim, 80 tahun, telah menyumbang khidmat sekitar 100 tahun kepada masyarakat Islam.
Semasa ditemui wartawan, Ustaz Pasuni, yang menjadi Kadi lebih 50 tahun, berkata: “Saya amat bersyukur dengan sokongan yang diberikan terhadap program ‘Bersamamu’ oleh Menteri Dr Faishal Ibrahim dan kementerian-kementerian yang berada di bawah mereka.
“Saya harap kita akan dapat memperkuatkan masyarakat Islam dan menjadikan masyarakat kita penyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara yang kita sayang.”
Antara bakti Ustaz Pasuni ialah memperkenalkan rekod perkahwinan dalam komputer dan menubuhkan kursus penyediaan perkahwinan sebagai amalan biasa di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).
Ustaz Sallim pula dilantik sebagai Kadi pada 1970. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pendaftar ROMM hingga 1994.
Apabila ditanya tentang nasihat bagi pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga, beliau berkata: “Cinta itu tidak cukup. Ia memerlukan kasih sayang, persefahaman, dan terutamanya, bimbingan masyarakat.
“Selain menjadi sumber sokongan kepada pasangan, peranan kadi dan naib kadi adalah memberi nasihat berguna mengenai perkahwinan dan keibubapaan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg