Presiden Mahkamah Syariah, Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy, dilantik menjadi Presiden Kanan Mahkamah Syariah pada 1 Februari.
Pelantikannya bermakna Ustaz Irwan adalah Presiden Kanan Mahkamah Syariah pertama yang merupakan seorang asatizah tersenarai di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) dan pada masa yang sama, dipanggil ke Bar Singapura bagi meraih pentauliahan sebagai peguam pada 2023.
Beliau akan menggantikan Cik Guy Ghazali, yang menamatkan penggalnya pada 31 Januari. Cik Guy, 42 tahun, akan beralih ke jawatan baru dalam Perkhidmatan Undang-Undang Singapura.
Meneruskan legasi yang ditinggalkan mantan Presiden Kanan yang lain, Ustaz Irwan, 40 tahun berkongsi kepada Berita Harian (BH) tugas itu merupakan satu amanah yang berat untuk dipikul.
“Jawatan ini telah disandang oleh ulama-ulama Singapura terlebih dahulu dan juga seorang hakim daerah, Cik Guy Ghazali.
“Maka, saya berasa bimbang namun pada masa yang sama bersemangat menerapkan apa yang telah saya pelajari daripada latihan saya sebagai seorang penuntut perundangan Islam dan juga perundangan sivil Singapura,” ujar beliau.
Ustaz Irwan berharap dapat berkongsi perspektif perundangan keluarga Islam yang progresif, relevan untuk keluarga moden Singapura, dan setaraf dengan mahkamah keluarga Singapura.
Beliau juga ingin tingkat kefahaman masyarakat mengenai proses Mahkamah Syariah agar hak mereka tetap terpelihara serta dapat memahami etika dan tujuan agama berkaitan perundangan keluarga Islam Singapura.
Beliau juga ingin pastikan pasangan yang melalui proses perceraian di Mahkamah Syariah dapat menyelamatkan rumahtangga mereka atau sekurang-kurangnya “kesan perceraian dapat dikurang sejauh mungkin, bukan hanya buat pasangan tetapi juga anak-anak pasangan tersebut.”
Presiden Kanan memimpin Mahkamah Syariah dan mengawasi presiden lain, dengan tugas utama mendengar prosiding dan menyelesaikannya.
Mereka memainkan peranan penting dalam membangun perundangan keluarga Islam, memajukan pendidikan undang-undang, dan menyokong pembangunan keupayaan Mahkamah Syariah.
Bermula pada 1 Februari, terdapat tiga Presiden sepenuh masa di Mahkamah Syariah.
Dua lagi presiden termasuk Ustaz Muhammad Fazalee Ja’afar dan Ustaz Dr Feirul Maliq Intajalle, yang juga merupakan pegawai dari Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Sejak menyertai Mahkamah Syariah, Ustaz Irwan telah memimpin daya utama untuk meningkatkan penglibatan dengan golongan asatizah dan menjalankan sesi bersama pelajar madrasah dan pegawai masjid mengenai peranan Mahkamah Syariah.
Beliau juga membangunkan dan mengendalikan modul latihan “Islam dalam konteks Singapura” untuk graduan universiti agama yang mengikuti program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS).
Ustaz Irwan juga telah berkongsi ilmu di Mahkamah Syariah mengenai perceraian Islam seperti jenis talak, alasan perceraian, dan etika pengucapan talak.
Sebelum bertugas sebagai Presiden Mahkamah Syariah pada Mei 2023 dari Muis, Ustaz Irwan, memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Dasar dan Penyelidikan Agama) di Pejabat Mufti.
Beliau juga sudah menjadi Ahli Bersekutu Jawatankuasa Fatwa Muis sejak 2021.
Dalam satu kenyataan pada 31 Januari, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) menggariskan usaha Cik Guy, yang telah menjawat jawatan tersebut sejak Oktober 2020.
Beliau telah membimbing Mahkamah Syariah menyumbang kepada pendidikan undang-undang di luar mahkamah dan membangunkan wadah tersendiri untuk berkongsi ilmu.
Ini termasuk Persidangan Mahkamah Syariah (SYC) 65 pada 2023 serta Forum Amalan SYC yang julung kali diadakan pada 2024.
“Acara-acara itu memudahkan pembelajaran merentasi disiplin dalam kalangan karyawan undang-undang, sains sosial, dan keagamaan dengan matlamat bersama menyokong keluarga Muslim yang melalui proses perceraian,” jelas kenyataan tersebut.
Di bawah kepimpinannya, Cik Guy menerajui pelbagai daya utama untuk memperkukuh sokongan dalam kes perceraian, termasuk penubuhan unit dan rangka kerja kaunseling Mahkamah Syariah pada 2022.
Proses Temu Bual Bersama Kanak-Kanak diperkenalkan bagi memastikan kebajikan mereka, sementara Skim Wakil Kanak-Kanak pada 2023 membolehkan karyawan sains sosial membantu menyampaikan pandangan kanak-kanak dalam prosiding mahkamah.
Pendekatan pelbagai disiplin turut diterapkan dalam latihan hakam melalui rangka kerja HIKMAH pada 2023, membekalkan asatizah dengan kemahiran yang diperlukan.
Selain itu, Mahkamah Syariah terus memajukan perundangan keluarga Islam melalui penerbitan Singapore Syariah Appeal Reports (SSAR), dengan Jilid 8 pada 2022 dan 9 pada 2024 yang membincangkan isu-isu perundangan terkini.
Presiden Kanan Mahkamah Syariah terdahulu:
Ustaz Sallim Jasman (1999), Ustaz Mohamad Haji Rais (2006), Ustaz Alfian Yasrif Kuchit (2017), Cik Guy Ghazali (2020)
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg