Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semangat ukhuwah membara Masjid-Masjid Daerah Timur sedia khidmat cemerlang

Jan 31, 2025 | 5:30 AM
Pengerusi Masjid-Masjid Daerah Timur komited berkhidmat untuk jemaah. Gambar diambil pada 2024. (Tiada dalam gambar: Allahyarham Haji Alla’udin Mohamed, Pengerusi Masjid Khalid, dan Ustaz Haji Dr Mohamed Ali, Pengerusi Masjid Khadijah.)
Pengerusi Masjid-Masjid Daerah Timur komited berkhidmat untuk jemaah. Gambar diambil pada 2024. (Tiada dalam gambar: Allahyarham Haji Alla’udin Mohamed, Pengerusi Masjid Khalid, dan Ustaz Haji Dr Mohamed Ali, Pengerusi Masjid Khadijah.) - Foto MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

Bersatu teguh, bercerai roboh. 

Pepatah itu mencerminkan semangat ukhuwah yang menyatukan Masjid-Masjid Daerah Timur di Singapura.

Bukan sahaja mereka kerap bekerjasama antara satu sama lain demi menyampaikan kegiatan yang terbaik buat jemaah. Malah, mereka kerap mempelajari daripada satu sama lain agar mereka dapat memperbaiki kegiatan yang dijalankan, menurut Superintenden Daerah Masjid (Daerah Timur), Encik Abdul Rahman Bakar, 54 tahun.

Beliau dan pasukannya memantau 18 Masjid-Masjid Daerah Timur – antaranya masjid-masjid yang dianggap besar seperti Masjid Darul Ghufran, Masjid Al-Ansar dan Masjid Al-Mawaddah yang dapat menampung lebih 3,000 jemaah pada satu-satu masa, selain masjid lama bersejarah kampung seperti Masjid Kampung Siglap, Masjid Abdul Aleem Siddique, Masjid Al Abdul Razak dan Masjid Mydin. 

Untuk tahun 2025, pasukan pejabat daerah Timur daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bersama pemimpin-pemimpin masjid telah melakar pelan strategik bagi menajamkan lagi operasi serta program yang diselenggarakan bagi tiga tahun mendatang.

Langkah itu dibuat bagi mempertingkatkan lagi program dan inisiatif untuk masyarakat dalam sembilan bahagian – pembangunan kepimpinan belia, warga emas, pengajian Al-Quran, kecemerlangan perkhidmatan dan pertubuhan, pembangunan modal insan, penubuhan pasukan komunikasi pemasaran berpusat, mengukuhkan keluarga, kebaikan sosial dan pendigitalan.

“Setiap Masjid Daerah Timur mempunyai kepakaran atau pengkhususan sendiri dalam mengendalikan sesebuah program buat jemaah. Oleh itu, mereka cuba memanfaatkan kekuatan dan kelebihan masjid masing-masing semasa menganjurkan program dan kerap bekerjasama untuk kemaslahatan jemaah,” jelas Encik Abdul Rahman. 

Memberi contoh, beliau berkongsi bagaimana Masjid-Masjid Daerah Timur bekerjasama untuk mengukuhkan lagi program pengajian Al-Quran di sini.

Memandangkan Masjid Kampung Siglap sudah mempunyai pusat tahfiz Darul Quran Singapura dan menawarkan program Al-Quran daripada peringkat asas hingga ijazah sarjana muda, Masjid-Masjid Daerah Timur merancang mahu bekerjasama dengan Darul Quran Singapura Masjid Kampung Siglap untuk menawarkan program pengajian Al-Quran lanjutan dalam tempoh tiga tahun ini. 

“Kami sedar bahawa setiap masjid menawarkan program pengajian asas Al-Quran tetapi kami juga mempunyai pelajar yang secara khusus mahu menjadi guru mengaji dan mendalami pengajian Al-Quran. Maka, kami mahu membantu pelajar tersebut mencapai aspirasi mereka dengan memperbaiki program pengajian Al-Quran di masjid-masjid daerah timur,” kata Encik Abdul Rahman.

Selain itu, Masjid-Masjid Daerah Timur merancang akan menggalak benefisiari zakat mereka agar turut serta dalam program Quranbit anjuran Masjid Wak Tanjong.

Program Quranbit merupakan satu program yang memberi tumpuan dalam pembelajaran Al-Quran mengikut keselesaan pelajar dengan memanfaatkan teknologi terkini. 

Setiap hari, pelajar akan berinteraksi dengan seorang asatizah secara langsung dan menghantar bacaannya melalui WhatsApp atau Telegram melalui penggunaan ciri rakaman suara aplikasi tersebut. Asatizah yang mengajar pelajar itu kemudian dapat memberi penilaian beliau secara terperinci dan akan memberi maklum balas dalam tempoh 24 jam. 

Dalam pada itu, Masjid-Masjid Daerah Timur bermatlamat menawarkan pembelajaran Islam bagi memenuhi keperluan pelbagai masyarakat Islam di sini.

Sebagai contoh, Masjid Darul Ghufran menyediakan khidmat tenaga pengajar asatizah yang mempunyai kelayakan Sistem Pengiktirafan Asatizah (ARS) untuk  menawarkan kelas mengaji di rumah penduduk Tampines yang sukar keluar rumah atas sebab kesihatan.

Sementara lima masjid iaitu Masjid Haji Mohd Salleh, Masjid Al-Istighfar, Masjid Darul Aman, Masjid Darul Ghufran dan Masjid Sallim Mattar, bekerjasama dengan FITRAH, sebuah badan yang menawarkan khidmat kaunseling kepada pesalah, dengan menawarkan pembelajaran Islam kepada peserta projek Reben Kuning.

Golongan berkeperluan khas juga boleh mengikuti pembelajaran Islam daripada Masjid Al-Istighfar dan Masjid Sallim Mattar, manakala Masjid Al-Islah menawarkan kelas agama buat golongan yang mengalami kurang pendengaran. 

Terdapat juga program pembelajaran Islam buat warga Bangladesh dan pekerja domestik anjuran Masjid Wak Tanjong, Masjid Alkaff Kampung Melayu, Masjid Darul Ghufran dan Masjid Haji Mohd Salleh.

Kakitangan masjid juga berpeluang mempertingkatkan diri menerusi pelbagai program peningkatan yang diadakan.

Sebagai contoh, beberapa Pegawai Dakwah Masjid (MRO) daripada Masjid Daerah Timur menyertai lawatan sambil belajar ke Mahkamah Syariah pada tahun lalu untuk menimba pengetahuan lebih mendalam tentang pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah.

“Berdasarkan maklum balas MRO, mereka kadangkala menghadapi keadaan di mana jemaah bertanyakan soalan-soalan berkenaan isu kekeluargaan atau perkahwinan tetapi mereka kurang berpengetahuan dalam hal demikian.

“Maka, pengalaman lawatan ke Mahkamah Syariah itu mendedahkan mereka kepada proses perundangan syariah,” kata Encik Abdul Rahman. 

Ia juga sama penting untuk membekalkan Pegawai Pembangunan Belia (YDO) dengan pengetahuan supaya mereka terdorong untuk memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat terutamanya golongan belia. 

Justeru, para YDO telah menyertai bengkel tentang kerja-kerja kemanusiaan di samping mengunjungi Kampung Orang Asli Serendah dan Sekolah Al-Ikhlas, yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) untuk kanak-kanak pelarian Rohingya dan Myanmar di Selangor tahun lalu.

Lawatan itu telah mendorong YDO untuk memberi tumpuan kepada tiga perkara pada tahun ini iaitu menyumbang kembali kepada masyarakat, pembelajaran Islam dan latihan kepimpinan, kata Encik Abdul Rahman. 

“Kami menganggap tugas di masjid sebagai satu amanah yang kami galas untuk pembangunan sosial dan agama masyarakat. Apa sahaja program yang kami lakarkan, kami berharap dapat memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Oleh itu, kami cuba sedaya upaya untuk bekerjasama demi mencapai misi dan matlamat bersama,” tambahnya.


Sekilas (Box this)

ANTARA PROGRAM ANJURAN MASJID DAERAH TIMUR

1. Pusat tahfiz Darul Quran Singapura Masjid Kampung Siglap  

Ditubuhkan pada 1998, pusat tahfiz ini beri tumpuan kepada pengajian Al-Quran dan berperanan sebagai wadah utama bagi masyarakat Islam mendalami ilmu Al-Quran. Ia menawarkan program Al-Quran daripada peringkat asas hingga ijazah sarjana muda (pendidikan Islam) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris di Malaysia. 

2. Program Quranbit anjuran Masjid Wak Tanjong 

Pelajar boleh menghantar bacaannya melalui WhatsApp atau Telegram dengan menggunakan ciri rakaman suaranya kepada seorang asatizah. Asatizah akan memberi maklum balas dalam tempoh 24 jam. 

3. Program lawatan pembelajaran ke Mahkamah Syariah buat Pegawai Dakwah Masjid (MRO) 

Ia mendedahkan Pegawai Dakwah Masjid kepada proses perundangan syariah supaya mereka lebih bersedia menghadapi pertanyaan jemaah yang menghadapi isu-isu berkaitan kekeluargaan dan perkahwinan. 

4. Bengkel mengenai kerja kemanusiaan di Selangor buat Pegawai Pembangunan Belia (YDO) dan belia

Ia mendedahkan Pegawai Pembangunan Belia dan para belia kepada proses di sebalik kerja-kerja bantuan kemanusiaan. Mereka berpeluang mengunjungi perkarangan petempatan Kampung Orang Asli Serendah dan Sekolah Al-Ikhlas. Antara pelajaran yang diperoleh termasuk pentingnya pendidikan, bergotong-royong dalam membantu mereka yang memerlukan dan juga menghormati kebudayaan dan sumber alam. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg