Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perbicaraan kes ‘ustaz’ sebar ajaran sesat, bolehkan ‘nikah batin’ bermula

Jun 24, 2024 | 8:23 PM
Mohd Razif Radi, 66 tahun, didakwa mengajar doktrin yang bertentangan dengan undang-undang Islam.
Mohd Razif Radi, 66 tahun, didakwa mengajar doktrin yang bertentangan dengan undang-undang Islam. - Foto ST

Seorang lelaki yang tidak pernah diiktiraf sebagai guru agama Islam atau mengajar Al-Quran telah dibicarakan pada 24 Jun kerana mengajar doktrin yang menyeleweng dari ajaran Islam, selain membenarkan perjudian dan “nikah batin” untuk orang Islam. 

Mohd Razif Radi, warga Singapura berusia 66 tahun, mahu dibicarakan bagi satu pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) kerana menyebar ajaran yang bertentangan dengan undang-undang Islam.

Dia dituduh berbuat demikian dari 2004 hingga 2020 dengan menyampaikan tiga ajaran palsu: Perjudian boleh dibenarkan, lelaki dan perempuan boleh berkahwin secara sah melalui perkahwinan batin, dan dia mampu memanggil roh “Mbah”.

“Mbah” kononnya “nabi terakhir” atau dari keturunan nabi.

Menurut kenyataan fakta yang dipersetujui, yang dikongsi antara pihak pendakwaan dan pihak pembelaan, Razif menubuhkan sebuah kedai makan dikenali sebagai Lina’s Cafe di 7 Jalan Pisang pada sekitar 2017 bersama seorang wanita bernama Marlinah Ahmad.

Menurut laporan sebelum ini, Razif didakwa mengusahakan sekolah agama yang tidak berdaftar di kafe itu.

Sebelum perbicaraan bermula, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Hidayat Amir membuat dua permohonan: Pertama, tiga saksi pendakwaan memberi bukti menerusi lintasan kamera dan bukan secara terbuka dalam mahkamah, dan kedua, agar semua saksi pendakwaan tidak dinamakan untuk melindungi identiti mereka.

Encik Hidayat berkata, saksi-saksi pendakwaan telah menyatakan “perasaan tertekan” kerana memberi keterangan di khalayak ramai kerana “sifat sensitif” keterangan mereka, yang akan “melangkaui isu agama dan budaya yang sudah sensitif dari awal”.

Ini termasuk topik nikah batin dan kesannya terhadap ahli keluarga mereka.

“Mereka tidak bersalah,” kata Encik Hidayat. “Kesaksian mereka, jika didengar di khalayak ramai, akan menyebabkan trauma semula (dan) memalukan.”

Peguam Razif, Encik Simon Tan dari Attorneys Inc, meminta perintah yang sama diberikan kepada saksi pihak peguam bela.

Beliau berkata ini adalah “perkara yang sangat, sangat sensitif” yang “selalunya akan memberi kesan kepada kedudukan mereka dalam masyarakat Islam”.

Encik Tan menambah bahawa kebanyakan saksi adalah wanita, yang mungkin mempunyai “rasa gentar dan takut” jika keterangan mereka “dikemukakan di mahkamah” termasuk di hadapan bekas pasangan mereka.

Encik Tan berkata saksi pembelaan “telah dipulaukan dalam masyarakat Islam”.

Pihak pendakwa membantah agar semua saksi pembelaan tidak dinamakan untuk melindungi identiti mereka.

Hakim terlebih dahulu membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar semua saksi mereka tidak dinamakan untuk melindungi identiti mereka dengan beberapa bukti didengar dalam kamera.

Beliau memberitahu pihak pembela bahawa beliau tidak akan memberi perintah mahkamah untuk melindungi identiti saksi pembelaan sekarang, tetapi berkata pihak pembelaan boleh membuat permohonan yang sewajarnya pada masa yang berkaitan.

Polis dalam satu kenyataan sebelum ini berkata mereka mula menyiasat kes itu selepas Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) membuat laporan terhadap Razif pada 24 Ogos 2021.

Perbicaraan diteruskan pada pagi 25 Jun di hadapan Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan.

Jika disabit kesalahan menyebar ajaran bertentangan dengan undang-undang Islam, Razif boleh dipenjara sehingga 12 bulan, didenda sehingga S$2,000, atau kedua-duanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg