Saat melangkah kaki keluar rumah untuk ke madrasah, terlafaz niat dalam hati “sahaja aku keluar rumah untuk ke taman syurga”.

Begitulah yang diamalkan Ustazah Tapsirah Hassan, 67 tahun, setiap kali membuat perjalanan ke madrasah, bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ustazah.

Amalan itu bertitik daripada jiwanya yang mencintai madrasah sebagai tempat membentuk diri dan budi pekerti para pelajarnya.

Menjelaskan amalan itu sebagai pendorong hidupnya, Ustazah Tapsirah, sambil menahan sebak, berkata:

“Apabila kita niat untuk ke ‘taman syurga’, ada semacam jiwa dan semangat untuk ke madrasah sebab saya akan bertemu bakal ‘ahli-ahli syurga’ iaitu pelajar saya.

“Jadi, bayangkan kalau tiap kali saya kata saya nak ke ‘taman syurga’, pastinya akan ada satu dorongan murni.

“Maka, itu yang membakar semangat saya sepanjang hampir 40 tahun berkhidmat, semangat nak bangun pagi dan semangat nak mengajar serta berjumpa dengan pelajar.”

Mengimbau pengalaman silamnya pada 1987 di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, sewaktu madrasah itu baru sahaja menerima kemasukan murid Darjah 1, Ustazah Tapsirah berkata beliau merupakan antara asatizah perintis yang mengajar peringkat tersebut.

Menurutnya, pada waktu itu, kemasukan murid Darjah 1 merupakan sesuatu yang baharu di madrasah tersebut.

Maka, tiada bahan pembelajaran yang tersedia untuk digunakan dalam kelas.

Selaku guru mata pelajaran bahasa Arab, Tarbiyah (Akhlak) dan Al-Quran, Ustazah Tapsirah dan teman-teman asatizah dengan sendirinya mencipta buku dan bahan pembelajaran untuk diajar kepada pelajar.

Justeru, berkat kesungguhan dan kesetiaannya berkhidmat di madrasah, beliau telah menerima Anugerah Khidmat Setia Madrasah sewaktu acara Majlis Anugerah Guru Madrasah dan Tamat Pengajian (MTAGC) yang diadakan buat julung-julung kalinya, anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) di Pusat Konvensyen Suntec City, pada 26 Ogos.

Beliau, yang kini berkhidmat sebagai guru Al-Quran di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, merupakan salah seorang daripada 27 asatizah yang telah menerima anugerah tersebut.

Sebanyak 122 anugerah telah disampaikan kepada golongan asatizah, termasuk Anugerah Khidmat Kepimpinan Madrasah, Anugerah Legasi Khidmat Madrasah bagi pesara, Anugerah Penghargaan Madrasah (Anumerta), dan Anugerah Penajaan Pengajian Possiswazah Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Anugerah disampaikan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.

Sekitar 400 hadirin turut hadir di acara tersebut bagi meraikan asatizah yang telah menyumbang kepada dunia pendidikan Islam tempatan.

Saban tahun memerah keringat dan waktu sebagai seorang tenaga pengajar, Ustazah Tapsirah tidak dapat mengelakkan diri daripada berdepan dengan cabaran yang kian berubah-ubah.

Menurut Ustazah Tapsirah, dengan kecenderungan pelajar dan ibu bapa yang ingin lebih menguasai bidang akademik, beliau melihat dirinya tidak dapat menyumbang secara langsung kerana ‘tidak terlatih’ dalam bidang tersebut.

Namun, sebagai guru Al-Quran, beliau percaya pengajaran Al-Quran itu sendiri dapat bantu meningkatkan kerohanian pelajar dan secara tidak langsung, menyumbang kepada kejayaan mereka secara menyeluruh.

Malah, melihat madrasah itu sebagai tempat pembangunan jiwa, ibu tunggal kepada lima orang anak itu berpegang bahawa sebagai guru, beliau menyayangi anak murid seperti menyayangi anak sendiri.

“Apabila, saya mendidik khususnya mengajar Al-Quran itu, saya bukan sahaja mengajar, malah, saya rasa bertanggungjawab untuk membina jiwa mereka.

“Jadi, saya bersyukur melihat bekas pelajar saya yang kini menjadi pemimpin agama dan dapat terus meninggalkan kesan kepada orang lain,” tambah Ustazah Tapsirah.