Golongan asatizah perlu memelihara kepercayaan yang diberikan masyarakat kepada mereka, apatah lagi kepercayaan tersebut amat dihargai ramai, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

Pada masa yang sama, Encik Zaqy turut menggesa asatizah agar mendakap kecerdasan buatan (AI) dan media sosial dengan sebaik-baiknya, bagi “mendekati golongan muda di mana mereka berada”.

Menyatakan demikian semasa Majlis Anugerah Guru Madrasah dan Tamat Pengajian (MTAGC) yang dianjurkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) buat julung kalinya di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec pada 26 Ogos, Encik Zaqy yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan) berkata:

“Seorang pelajar mungkin bertanya, “Ustaz, boleh saya bertanya sesuatu?” atau, “Ustazah, saya terjumpa perkara ini dalam talian. Apakah pandangan Ustazah?”

“Apabila seseorang anak muda datang kepada anda dengan satu pertanyaan, ia membawa satu makna yang penting iaitu mereka menaruh kepercayaan kepada anda.

“Kepercayaan itu telah dibina oleh asatizah generasi demi generasi.

“Ia merupakan sesuatu yang amat dihargai oleh masyarakat kita, dan sesuatu yang mesti kita terus pelihara dengan penuh tanggungjawab.”

Sebanyak 122 anugerah telah disampaikan kepada asatizah, termasuk Anugerah Khidmat Kepimpinan Madrasah, Anugerah Khidmat Setia Madrasah, Anugerah Legasi Khidmat Madrasah bagi pesara, Anugerah Penghargaan Madrasah (Anumerta), dan Anugerah Penajaan Pengajian Pascasiswazah Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Sekitar 400 hadirin turut hadir di acara tersebut bagi meraikan asatizah yang telah menyumbang kepada dunia pendidikan Islam tempatan.

Antara penerima anugerah di acara tersebut ialah Ustazah Tapsirah Hassan, 67 tahun, yang telah berkhidmat dalam sektor madrasah selama hampir 40 tahun.

Dalam ucapan beliau, Encik Zaqy menambah golongan muda kini terdedah kepada pelbagai maklumat menerusi Google, YouTube, media sosial, dan kini AI, sekali gus membolehkan mereka memperoleh maklumat daripada perspektif yang berbeza-beza hampir serta-merta.

Lantas ia penting bagi asatizah mendekati golongan tersebut, katanya.

“Mendapatkan maklumat itu mudah. Namun, memahami serta menilai maklumat itu susah dan mengkontekstualisasikan maklumat tersebut dengan tepat adalah lebih sukar.

“Mereka mungkin mempelajari satu perkara di dalam kelas, melihat pandangan yang berbeza dalam talian, dan kemudiannya menerima video yang berbeza daripada seorang rakan pada hari yang sama.

“Inilah sebabnya peranan anda (asatizah) kekal penting.

“Teknologi boleh memberikan jawapan dalam masa beberapa saat.

“Namun, teknologi tidak dapat menggantikan pertimbangan, kebijaksanaan dan hubungan kemanusiaan yang dimiliki oleh seorang pendidik yang dipercayai.

“Pada masa yang sama, kita harus memanfaatkan teknologi ini.

“Kita perlu melengkapkan para asatizah dengan kemahiran untuk menggunakan AI dan media sosial dengan baik, serta mendekati golongan muda di mana mereka berada,” ujarnya.