Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Video palsu DPM Wong promosi pelaburan tersebar di media sosial

Dalam tipu ‘deepfake’ itu, pergerakan mulut Encik Wong diubah untuk selari dengan suara palsu promosikan pelaburan palsu
Dec 27, 2023 | 8:08 PM
UBAH VIDEO ASLI: Video ‘deepfake’  yang menunjukkan mulut Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Lawrence Wong diubah dengan ketara untuk bergerak selari dengan suara palsu yang mempromosikan  pelaburan yang tidak wujud.
UBAH VIDEO ASLI: Video ‘deepfake’ yang menunjukkan mulut Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Lawrence Wong diubah dengan ketara untuk bergerak selari dengan suara palsu yang mempromosikan pelaburan yang tidak wujud. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK

Sebuah video penipuan deepfake yang memaparkan Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Lawrence Wong, kononnya mempromosikan sebuah pelaburan kini tersebar di Internet, terutamanya di Facebook dan Instagram.

Deepfake ialah teknik merubah wajah seseorang pada gambar atau video menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah.

Dalam video itu, pergerakan mulut Encik Wong diubah dengan ketara untuk bergerak selari dengan suara palsu yang mempromosikan sebuah penipuan pelaburan.

Suara palsu itu meniru nada dan intonasi suara sebenar beliau.

Logo The Straits Times (ST) digunakan di sudut kanan atas video itu.

Video penipuan itu mengubah suai rakaman Encik Wong dalam satu wawancara media yang dirakam ST.

Jurucakap Media SPH berkata video berkenaan tidak dicipta atau diterbitkan oleh syarikat itu atau ST.

“Telah sampai ke perhatian kami bahawa terdapat video yang dikaitkan dengan ST, yang memaparkan Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong menyokong projek komersial, tersebar dalam talian,” kata jurucakap itu.

“Kami menggesa orang ramai supaya terus berwaspada dan tidak menyebarkan video yang sumbernya tidak diketahui.”

Menjawab pertanyaan ST, polis berkata sebuah laporan telah dibuat mengenai video tersebut.

Dalam satu catatan Facebook pada 11 Disember, Encik Wong berkata beliau menyedari tentang catatan dan mesej deepfake yang menunjukkan beliau menyokong produk, dan menyebarkan maklumat salah bahawa pemerintah sedang merancang untuk melaksanakan pemutus rantaian jangkitan Covid-19, atau circuit breaker.

“Ini semua adalah kepalsuan. Mari kita kekal waspada dan arif dalam talian,” kata Encik Wong.

Penggunaan teknologi deepfake dalam menyebarkan maklumat tidak betul atau menipu mangsa semakin menjadi perhatian.

Pada Jun, Profesor Madya, Encik Terence Sim dari Universiti Nasional Singapura (NUS), yang terlibat dalam kerja penyelidikan berkaitan deepfake dan imej lain yang diubah secara digital, memberitahu ST bahawa teknologi deepfake kini lebih mudah digunakan.

“Apa yang diperlukan penipu ialah beberapa gambar wajah mangsa, yang boleh diambil daripada media sosial, untuk mencipta deepfake. Ini menakutkan,” kata beliau, yang kemudian menambah bahawa deepfake yang menggunakan audio sahaja juga boleh digunakan untuk menipu mangsa.

“Klip video suara mangsa, yang boleh sesingkat 10 hingga 15 saat, boleh digunakan untuk mencipta audio deepfake.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg