Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Terpedaya ‘pegawai polis’ palsu, penerbit podcast rugi $9,000

Dec 22, 2023 | 2:19 PM
TERPEDAYA: Pengguna Tiktok yang dikenali sebagai Chanda menjelaskan beliau menjadi mangsa kepada skim penipuan samaran dan rugi $9,000.
TERPEDAYA: Pengguna Tiktok yang dikenali sebagai Chanda menjelaskan beliau menjadi mangsa kepada skim penipuan samaran dan rugi $9,000. - Foto TIKTOK CHANDADDYYYY

Seorang warga Singapura, Encik Chanda Dalip, menjadi mangsa penipuan seseorang yang menyamar sebagai pegawai polis dan akibatnya rugi $9,000.

Dalam video yang dimuat naik di akaun Tiktok beliau pada 19 Disember, Encik Chanda mendakwa telah termakan helah ‘pegawai polis’ yang menghubunginya.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH), jejaka berusia 29 tahun itu mendakwa mendapat panggilan daripada seorang ‘pegawai perbankan’ yang mengatakan adanya transaksi mencurigakan di akaun beliau.

Panggilan tersebut kemudian dialihkan kepada seorang ‘pegawai polis’, yang mendakwa Encik Chanda ialah salah satu ‘suspek’ dalam satu siasatan.

“Kejadian itu berlaku sekitar 3 hingga 4 petang pada 15 Disember. Pada waktu itu, saya sedang rehat di atas katil.

“Saya sifatkan diri saya sebagai seorang yang amat berwaspada dan tidak pernah angkat panggilan daripada nombor yang tidak dikenali,” ujarnya.

Beliau menambah ia memerlukan hanya satu detik kelemahan untuk menjadi mangsa kepada penipuan.

Dalam video yang dimuat naik beliau, skim penipuan itu amat terperinci dan beliau termakan helah si penipu kerana rasa gerun dengan cara penipu mengutarakan kata-kata.

Akibat tipu helah itu, Encik Chanda kerugian $9,000 – wang simpanan bagi kegunaan harian kerana beliau kini sedang tertumpu pada penerbitan podcast The All Good terbitan beliau, katanya.

View post on TikTok

Dalam video susulan, beliau menasihatkan agar orang ramai berpada-pada dengan nombor panggilan yang tidak dikenali.

Beliau memberi nasihat agar orang ramai mengesahkan panggilan daripada nombor tidak dikenali kepada pihak berkuasa atau saluran rasmi sesebuah pertubuhan.

“Jangan angkat panggilan dan beri peluang kepada penipu sedemikian. Sentiasa semak dan sahkan,” jelasnya.

Sebagai respons kepada BH, pihak polis mengesahkan laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.

Dalam laporan Penipuan dan Jenayah Siber Pasukan Polis Singapura (SPF), jumlah penipuan menyamar sebagai pegawai pemerintah meningkat sekitar 13 peratus kepada 369 dari Januari hingga Jun 2023 berbanding 320 bagi tempoh sama pada 2022.

Laporan itu menambah jumlah keseluruhan yang dilaporkan daripada jenis penipuan sedemikian adalah $42.8 juta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg