Video Raya Mendaki ingatkan pentingnya utuh ikatan keluarga di era digital
Video Raya Mendaki ingatkan pentingnya utuh ikatan keluarga di era digital
Filem pendek judul ‘Remy Saves Raya’ dimuat naik pada 18 Mac, rakam realiti kehidupan moden
Keyakinan diri yang utuh, sikap proaktif dalam menempuh cabaran, serta kepentingan memelihara keutuhan ikatan keluarga merupakan antara initipati utama yang ingin disampaikan oleh Yayasan Mendaki menerusi video pendek terbaharu mereka sempena Aidilfitri.
Diterbitkan oleh Pengarah Kreatif Kartini Deffahry, Pengarah Eysham Ali, dan Penerbit Eksekutif Amin Suwari dari Visual Militia, video ini mengetengahkan betapa pentingnya mencipta detik-detik berharga dan mengeratkan hubungan keluarga di musim perayaan.
Ia mengisahkan seorang kanak-kanak, Remy, yang dilakonkan oleh Idris Muhammad Khidir, pelajar cemerlang Program Pencapaian Mendaki (MAP). Remy amat merindui saat berbuka puasa bersama keluarganya.
Namun, hasratnya itu seakan terpinggir. Si ibu (Lydia Izzati), si bapa (Haizad Imran), dan kakak sulung (Iva Haney) masing-masing tenggelam dalam urusan sendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Feroz Akber, berkata video itu menyentuh tentang jurang emosi senyap yang kadangkala wujud dalam keluarga, biarpun setiap ahli amat mengambil berat antara satu sama lain.
“Melalui kisah Remy, kita melihat bagaimana keberanian dan empati – walaupun daripada yang paling muda dalam kalangan kita – boleh mengambil langkah pertama dalam menyatukan semula keluarga.
“Pada Hari Raya Aidilfitri ini, kami berharap ia menggalakkan lebih ramai daripada kita untuk yakin, merapatkan jurang tersebut, dan mengukuhkan ikatan yang benar-benar penting,” kata Encik Feroz.
Dalam video berdurasi hampir tiga minit itu, si ibu kelihatan sibuk dengan siaran langsung jualan produk dalam talian, si kakak sibuk merakam pengalamannya di bazar Ramadan, manakala si bapa pula sibuk menghadiri mesyuarat kerja.
Namun, di sebalik kekecewaan itu, Remy mendapat suntikan inspirasi dan keyakinan diri daripada pesanan tutornya dari MAP.
“Bila kita yakin pada diri sendiri, kita bukan hanya mengubah hidup kita, kita dapat merubah dunia sekeliling kita,” kata tutornya.
Kata-kata mutiara itu membakar semangat Remy untuk bertindak dan tidak berputus asa, lalu mengambil inisiatif ‘menyelamatkan hari Raya’ bersama keluarganya.
Berbekal telefon pintar bapanya serta beberapa mainan dan kraftangan sebagai ‘prop’, Remy memulakan jualan ‘Live’ sendiri dan meniru gaya ibu dan kakaknya – kononnya untuk menjual produk dalam talian.
Namun, bezanya ‘Live’ ini, Remy menyerlahkan rakaman itu sebagai “episod berbuka puasa bersama Remy, ditaja oleh kesunyian”.
Ternyata pesanan itu tidak sia-sia kerana mesejnya sampai dengan nyata sekali kepada keluarganya apabila mereka menonton video itu setelah mendapat notifikasi menerusi peranti masing-masing.
Akhirnya, sikap proaktif dan perancangan strategik Remy tanpa bergantung kepada orang lain membuahkan hasil yang bermakna.
Beliau bukan sahaja dapat berbuka puasa bersama keluarga tersayang, malah berjaya mengembalikan keceriaan bagi menyambut ketibaan Aidilfitri.
Mengulas tentang pencapaiannya, Remy berkata: “Kalau Remy yakin, semua masalah boleh selesai. “Remy tak tahu jika saya boleh selamatkan dunia, tapi saya boleh selamatkan hari Raya.”
Video Raya Mendaki itu dimuat naik beberapa hari selepas Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) melancarkan video sempena Hari Raya Aidilfitri yang menekankan peri penting menghargai hubungan kekeluargaan dalam era digital sekarang.
Diterbitkan dengan kerjasama agensi DSTNCT, video itu menampilkan seorang gadis yang terlalu taksub dengan telefon pintar dan media sosial sehingga mencetuskan kekacauan sewaktu keluarganya sedang sibuk membuat persiapan raya.

