Villa Haji Kahar, sebuah vila langka di Kampung Bedok telah diwartakan untuk pemuliharaan pada Oktober 2026.

Vila tersebut yang mempunyai ciri unik dengan gabungan reka bentuk seni bina tradisional dan antarabangsa merupakan salah satu bangunan yang diberi perhatian oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat pada 10 November sewaktu berucap di majlis Anugerah Seni Bina Warisan di The URA Centre yang terletak di Maxwell Road.

Menurut kenyataan media oleh Pembangunan Semula Bandar (URA), Villa Haji Kahar yang dibina pada 1920 dan terletak di 1 Bedok Avenue berdekatan Bedok Food Centre itu cukup terkait rapat dengan kehidupan sosial dan budaya di sekitar Kampung Bedok.

Vila itu dibangunkan oleh seorang tokoh usahawan dan pemilik tanah, Haji Kahar Abdul Ghani dan kemudiannya diambil alih oleh doktor wanita pertama di Singapura iaitu Dr Lee Choo Neo.

Saban tahun, vila itu berperanan sebagai ruang bagi kegiatan masyarakat dan budaya. Hingga hari ini, vila tersebut tetap berdiri teguh dan dijaga dengan baik.

Dua lagi bangunan yang akan dipulihara iaitu gereja Orchard Road Presbyterian Church dan 319 Pasir Panjang Road (Starpoint) telah juga disebut oleh Encik Chee sewaktu majlis tersebut bagi mengucapkan penghargaan kepada pemiliknya atas komitmen dan sokongan padu dalam memulihara hartanah mereka.

“Saya berbesar hati ramai pemilik bangunan telah tampil ke hadapan untuk bekerjasama dengan kami demi memulihara bangunan mereka.

“Ini mencerminkan penghargaan yang semakin membesar terhadap peranan penting yang dimainkan bangunan-bangunan ini dalam memelihara warisan Singapura,” kata beliau.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan