Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua dekad raikan inovasi, rekaan ikonik di S’pura
Rekaan pemenang Anugerah Presiden bagi Reka Bentuk turut bawa impak positif kepada kehidupan masyarakat
Dua dekad raikan inovasi, rekaan ikonik di S’pura
Anugerah Presiden bagi Reka Bentuk (PDA) yang diangugerahkan Presiden Singapura sejak 2006, merupakan penghormatan tertinggi negara bagi pereka bentuk dan rekaan merentas pelbagai disiplin.
Ia mengiktiraf kedua-dua individu dan projek yang memberi kesan positif kepada kehidupan rakyat Singapura serta masyarakat sejagat.
Berikut merupakan antara produk dan bangunan yang pernah meraih anugerah ini sejak penganjuran sulungnya dua dekad lalu.
PERPUSTAKAAN AWAM BISHAN (2007)
Bangunan ini direka oleh pasukan daripada Look Architects yang dipimpin oleh pengasas bersama, Look Boon Gee.
Ciri paling menyerlah pada bangunan ini ialah ruangan kaca terjulur keluar, menyerupai buku yang ditarik dari rak.
Ruang-ruang khas ini menyediakan sudut bacaan yang tenang dan separa peribadi buat para pengunjung.
MAKTAB SENI LASALLE (2008)
Siap dibina pada 2008, kampus Maktab Seni Lasalle yang kini terletak di kawasan Bras Basah diilhamkan daripada konsep ‘kampus tanpa sempadan’.
Kampus yang terdiri daripada enam bangunan tujuh tingkat dengan bentuk unik dan muka bangunan kaca pelbagai segi berbingkai hitam itu dihubungkan melalui jambatan sky bridge dan laluan halaman terbuka.
Laluan-laluan ini boleh digunakan oleh orang ramai sebagai laluan yang menghubungkan stesen MRT Rochor ke kawasan Bencoolen dan Bras Basah.
Konsep mesra awam ini secara tidak langsung mengalu-alukan orang ramai untuk menikmati ruang kampus yang unik, serta tidak mengehadkannya kepada para penuntut dan kakitangan maktab seni itu sahaja.
KERUSI PAPER FOLD (2009)
Kerusi Paper Fold mungkin kelihatan biasa dari segi reka bentuknya, namun ciri itulah yang menjadi cabaran kejuruteraan utama ketika menghasilkan perabot berkenaan.
Selepas prototaip awal berasaskan logam didapati terlalu berat, model saiz sebenar yang terakhir dibina menggunakan kaca gentian bagi menghasilkan kerusi yang lebih nipis dan ringan.
Selain mempunyai fungsi kerusi biasa, ia juga boleh digunakan sebagai kerusi goyang.
Sewaktu ia menerima anugerah presiden berkenaan, kerusi Paper Fold telah dikilangkan, dipasarkan dan dijual oleh syarikat perabot Exit Design, selain turut dipamerkan di beberapa buah negara.
THE PINNACLE@DUXTON (2010)
Mencerminkan namanya yang gah, The Pinnacle@Duxton telah menjadi satu lambang mercu tanda bagi reka bentuk perumahan awam tempatan.
Tujuh blok menara 50 tingkat ini dihubungkan oleh dua taman sky garden berbeza – satu di pertengahan bangunan iaitu di tingkat 26, dan satu lagi di tingkat 50.
SPOTTED NYONYA (2012)
Pemenang anugerah rekaan sebanyak tiga kali, Hans Tan, menyuntik elemen moden pada barangan porselin tradisional Peranakan menerusi corak bintik polka berwarna-warni menerusi koleksi Spotted Nyonya beliau.
Kesan tekstur yang unik ini dihasilkan menggunakan teknik pelitupan dan semburan pasir.
Koleksi tersebut turut merangkul anugerah Les Decouvertes (Anugerah Penemuan) bagi kategori produk terbaik di pameran reka bentuk terbesar di Eropah, Maison et Objet, pada 2011.
SINGAPORE ICONS (2013)
Bolehkah pemandangan harian biasa di Singapura diubah menjadi objek yang membuatkan orang ramai benar-benar ingin menyimpan dan menggunakannya di rumah?
Itulah persoalan yang cuba dijawab oleh jenama reka bentuk, Supermama, menerusi siri Ikon Singapura, koleksi yang terus popular dan laris dalam kalangan pelanggannya, meskipun telah dilancarkan sejak lebih sedekad lalu.
Antara corak yang ditampilkan pada koleksi pinggannya termasuk panorama bandar, Jewel Lapangan Terbang Changi, Sungai Singapura, serta corak paling unik iaitu pemandangan luar flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
SANDCRAWLER (2014)
Sentuhan dunia fantasi francais filem angkasa lepas, Star Wars, turut dapat dirasai di Singapura menerusi bangunan Sandcrawler yang terletak di Fusionopolis, One-North.
Kemudahan seluas 22,000 meter persegi ini pada asalnya dibina sebagai ibu pejabat Asia-Pasifik bagi studio filem Lucasfilm Singapore.
Ciri-ciri seni bina khas seperti kanopi bertirai dan taman bertingkat turut melengkapi rekaan bangunan tersebut bagi memastikan ia cekap tenaga.
GALERI NASIONAL S’PURA (2015)
Pada 2015, bangunan lama City Hall dan Mahkamah Agung telah dibangunkan semula sebagai Galeri Nasional Singapura.
Gabungan seni bina ini diilhamkan oleh syarikat studioMilou Singapore dan CPG Consultants.
Keunikan utama pada reka bentuk bangunan ini ialah tirai logam bercorak halus yang menyatukan kedua-dua bangunan di bawah satu bumbung, di samping membenarkan cahaya semula jadi menyinari ruang tersebut secara terkawal.
SAFETICET (2016)
Dihasilkan oleh pengilang kontrak NSP Tech, Safeticet, merupakan jarum lanset perubatan yang direka khas bagi mengurangkan rasa sakit apabila dicucuk berbanding jarum biasa.
Ia berukuran 4.5 sentimeter panjang, lebih kurang saiz pemacu kilat USB.
Lanset ini dilengkapi mekanisme picu berputar yang mengeluarkan jarum secara automatik sebaik sahaja ia mengesan tekanan pada permukaan kulit.
Fungsi tersebut menjadikannya mesra pengguna dan mudah dikendalikan oleh sesiapa sahaja.
OASIA HOTEL DOWNTOWN (2018)
Dikenali menerusi bangunan berwarna merah dan hijau, Oasia Hotel Downtown di Tanjong Pagar, tampil menyerlah meskipun terletak di kawasan pusat bandar (CBD) yang penuh dengan pencakar langit moden dan unik.
Bangunan 27 tingkat rekaan Woha Architects ini menerapkan ciri-ciri pengudaraan silang serta taman berbumbung yang menyuntik elemen kehijauan kepada ruang tersebut, meskipun pemandangan di luar tingkap agak terhad memandangkan lokasinya yang terletak di tengah-tengah pusat bandar.
PCF SPARKLETOTS @ PUNGGOL SHORE (2020)
Reka bentuk yang praktikal dan terancang tidak sepatutnya dihadkan kepada ruang untuk golongan dewasa semata-mata, kerana kanak-kanak juga berhak menikmati manfaat sedemikian.
Seni bina berbentuk bulat pada kampus ini – hasil rekaan Laud Architects – mewujudkan suasana yang selamat dan terlindung, di samping menyediakan persekitaran yang luas serta terjamin untuk kanak-kanak meneroka kawasan sekeliling mereka.
CAPITASPRING (2023)
Dengan ketinggian 280 meter, CapitaSpring merupakan bangunan kedua tertinggi di Singapura – iaitu kedudukan yang dikongsi bersama One Raffles Place, UOB Plaza 1 dan Republic Plaza.
Ia direka oleh Bjarke Ingels Group dengan kerjasama RSP Architects Planners & Engineers serta Carlo Ratti Associati.
Terletak di 88 Market Street, Raffles Place, bangunan ini mencerminkan elemen musim bunga menerusi sebuah taman menghijau setinggi 35 meter yang menyerupai hutan hujan terletak di tingkat 17 hingga 20.
Di bahagian bumbung bangunan 51 tingkat ini pula terletak taman yang dibuka kepada awam, serta sebuah ladang bandar seluas 10,000 kaki persegi.