Virus Nipah: Lapangan terbang S’pura akan saring pelawat dari tempat terjejas

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Virus Nipah: Lapangan terbang S’pura akan saring pelawat dari tempat terjejas

Tiada kes dikesan di sini; Pemantauan terhadap pekerja migran yang tiba dari Asia Selatan juga akan dipertingkat
Jan 28, 2026 | 7:22 PM

Virus Nipah: Lapangan terbang S’pura akan saring pelawat dari tempat terjejas

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Langkah lain yang bakal dilaksanakan di Singapura termasuk mengeluarkan panduan kesihatan kepada pelawat di pintu masuk negara.
Langkah lain yang bakal dilaksanakan di Singapura termasuk mengeluarkan panduan kesihatan kepada pelawat di pintu masuk negara. - Foto fail

Pemeriksaan suhu badan akan dilaksanakan di lapangan terbang Singapura bagi penerbangan yang tiba dari kawasan terjejas oleh virus Nipah.

Pemantauan terhadap pekerja migran yang tiba dari Asia Selatan juga akan dipertingkat, menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) pada 28 Januari, ketika mengumumkan langkah yang diperketat bagi memantau penularan virus berkenaan.

Agensi itu menambah bahawa setakat ini, tiada kes virus Nipah dikesan di Singapura.

Virus berkenaan – yang tidak mempunyai vaksin diluluskan atau penawar yang diketahui – telah dikesan dalam dua individu di Bengal Barat, India, pada awal Januari.

Salah seorang daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. Menurut CDA, ini merupakan wabak virus Nipah ketujuh di India sejak 2001.

Langkah lain yang bakal dilaksanakan di Singapura termasuk mengeluarkan panduan kesihatan kepada pelawat di pintu masuk negara.

Panduan itu akan disertakan dengan langkah pencegahan kesihatan, serta arahan untuk mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mereka berasa kurang sihat.

CDA menambah bahawa ia sedang berhubung dengan rakan sejawat di Asia Selatan untuk memahami situasi di sana dengan lebih baik.

Usaha untuk menubuhkan wadah global bagi negara-negara melaporkan susun atur genom kes yang dikesan juga sedang dijalankan, kata CDA.

Penjujukan genom, atau genome sequencing, merupakan kaedah makmal yang digunakan untuk mengenal pasti keseluruhan susun atur genetik sesuatu organisma atau jenis sel.

Hospital tempatan juga telah dimaklumkan supaya peka terhadap pesakit yang menunjukkan simptom virus Nipah dan mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan terjejas, menurut CDA.

Langkah kesihatan awam tambahan juga mungkin diperkenalkan sekiranya ia menimbulkan risiko meningkat kepada negara ini, tambah CDA.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata dalam satu hantaran Facebook pada 28 Januari:

“Kita perlu sentiasa berwaspada kerana wabak maut boleh berlaku dari semasa ke semasa di mana-mana bahagian dunia.”

“Perkara utama yang perlu dipantau dalam wabak seperti ini ialah penularan dari manusia ke manusia yang berterusan.”

Jika penularan hanya berlaku antara haiwan dan manusia, atau daripada manusia kepada manusia dalam persekitaran sangat terhad seperti kontak dengan cecair badan, ia kurang membimbangkan kerana virus itu tidak akan merebak secara meluas seperti Sars atau Covid-19, jelas Encik Ong.

“Rakyat Singapura boleh berasa yakin bahawa kami sentiasa berjaga-jaga dan akan bertindak segera untuk melindungi penduduk kita,” tambah beliau.

Menurut pakar, virus ini tidak mudah berjangkit, namun ia boleh merebak daripada haiwan kepada manusia, melalui kontak rapat dengan manusia, dan melalui makanan tercemar.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berdasarkan wabak sebelum ini, virus Nipah mempunyai kadar kematian antara 40 dengan 75 peratus.

Simptom virus ini termasuk daripada tiada simptom atau jangkitan ringan, sehingga penyakit pernafasan akut dan radang otak yang membawa maut.

Pakar penyakit berjangkit, Dr Leong Hoe Nam, berkata penyakit ini boleh merebak melalui sentuhan terus dengan haiwan yang dijangkiti serta cecair badannya.

Ia juga boleh merebak melalui kontak rapat dengan individu yang dijangkiti atau cecair badan individu tersebut.

“Penularan dari manusia ke manusia jarang berlaku,” kata mantan presiden Persatuan Asia-Pasifik bagi Mikrobiologi Klinikal dan Jangkitan (APSCMI), Profesor Paul Tambyah.

Dr Leong berkata bilangan jangkitan purata yang disebabkan oleh seorang individu adalah kurang daripada satu.

Kadar tersebut jauh lebih rendah berbanding penularan influenza, Covid-19 atau campak.

“Cabarannya ialah virus Nipah tiada rawatan,” kata Dr Leong.

Rawatan bagi virus ini terhad kepada penjagaan sokongan, seperti pemantauan neurologi supaya komplikasi seperti sawan atau koma dapat dikesan dan dirawat bagi mengelakkan kematian pramatang, kata Profesor Tambyah.

Virus Nipah kali pertama dikenal pasti antara 1998 dengan 1999 semasa wabak dalam kalangan penternak babi di Malaysia dan Singapura, yang merekodkan hampir 300 kes dan lebih 100 kematian, menurut laporan arkib.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg