Sebarang keputusan untuk Singapura menyertai perkumpulan antarabangsa mesti dipertimbangkan dengan teliti dan ditakrifkan dengan jelas oleh kepentingan negara, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, pada 11 November.
Menyedari bahawa kumpulan-kumpulan sedemikian telah terbentuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau menambah bahawa ini adalah sebahagian daripada tindak balas kepada peralihan daripada dunia ekakutub (unipolar) dengan satu kuasa besar, kepada dunia berbilang kutub.
“Negara-negara melindungi diri melalui konfigurasi berbeza ini di tengah-tengah persekitaran dunia yang lebih berpecah-belah dan tidak menentu,” katanya. “Kita akan sentiasa berfikiran terbuka mengenai semua pembentukan baru ini, dan kita akan terus memerhati perkembangan ini dengan teliti untuk melihat sejauh mana kesannya ke atas Singapura.”
Dr Balakrishnan menekankan kumpulan-kumpulan baru yang telah muncul baru-baru ini.
Ini termasuk Quad (Dialog Keselamatan Sisi Empat) yang digerakkan semula pada 2017; Aukus (pakatan pertahanan tiga hala Australia, Britain dan Amerika Syarikat) yang diwujudkan pada 2021; Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik untuk Kemakmuran (IPEF) pada 2022; dan pengembangan Brics (kumpulan ekonomi pesat membangun), lapor The Straits Times.
Quad, Aukus dan IPEF kesemuanya termasuk Amerika Syarikat sebagai anggota utama, manakala kumpulan Brics ditubuhkan untuk mewujudkan pengimbang kepada pengaruh Barat.
Pada Oktober 2024, Brics mengumumkan empat anggota baru dan 13 negara rakan kongsi baru. Antara rakan kongsi barunya ialah Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam.
Apa yang penting bagi Singapura ialah pengaturan yang baru muncul, terutama bersilang dengan rantau ini, tidak menjejas Asean, kata Dr Balakrishnan.
Pengaturan sedemikian juga harus menyokong seni bina serantau yang terbuka dan inklusif, dan mempromosikan perintah berasaskan peraturan berdasarkan undang-undang antarabangsa.
“Khususnya, kita mahu Asean terus memainkan peranan berpusat yang penting, dan untuk rantau kita menjadi pusat graviti, yang membawa semua anggota utama bersama-sama mencari titik persamaan dan memanfaatkan potensi sepenuhnya ekonomi Asean,” kata beliau.
Beliau menjawab soalan Anggota Parlimen Parti Pekerja, Encik Gerald Giam (GRC Aljunied), di Parlimen tentang bagaimana Singapura menilai peningkatan penjajaran negara Asean dan Asia Pasifik dengan blok keselamatan dan ekonomi yang dikuasai oleh kuasa besar.
Encik Giam juga bertanya tentang pendekatan Singapura menyelaras blok-blok ini.
Dr Balakrishnan mengulangi bahawa Singapura tidak memihak kepada sesiapa tetapi menegakkan prinsip, walaupun ini bermakna ia perlu mengatakan tidak kepada rakan kongsi rapat atau kuasa-kuasa besar dari masa ke masa.
“Pendekatan dasar luar yang berpanjangan, konsisten dan berprinsip ini telah memberi manfaat kepada kita dan telah memberikan kita ruang gerak strategik,” tambah beliau.
Selaras prinsip ini, Singapura telah menyertai dan memainkan peranan pembimbing dalam kumpulan seperti Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec), IPEF dan Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP), kata Dr Balakrishnan.
Walaupun Singapura pada masa ini bukan anggota kumpulan tertentu, ia berkongsi hubungan sangat baik dengan anggota individu, katanya.
Encik Giam kemudian bertanya betapa mampan mengekalkan pendirian Singapura untuk tidak memilih pihak dalam landskap geopolitik semasa apabila lebih banyak negara serantau melakukan sebaliknya.
Beliau juga bertanya sama ada negara menjangkakan keperluan untuk menjalin hubungan lebih erat dengan blok tertentu untuk menjaga kepentingannya sambil mengelak daripada terlalu bergantung kepada mana-mana kuasa besar.
Dr Balakrishnan berkata sikap tidak memihak tetapi menegakkan prinsip adalah “kedudukan paling waras” bagi Singapura dan penting, memandangkan geografi dan peranan ekonomi dan strategik Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg