Singapura perlu menyokong dasar keamanan berasaskan peraturan dengan penuh hormat terhadap undang-undang antarabangsa, kerana tanpanya, risiko bagi negara-negara kecil seperti Singapura adalah tinggi.
Sehubungan itu, Singapura perlu terus bersuara bila-bila masa dan di mana-mana sahaja terdapat pelanggaran undang-undang antarabangsa, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan di Parlimen pada 10 September.
Beliau berkata demikian bagi menjawab usul penangguhan oleh Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Alhabsyi yang telah mengemukakan beberapa cadangan berkenaan dasar ehwal luar negara.
Antaranya, Dr Syed Harun berkata Singapura mesti menggandakan dan terus mempunyai nilai dan pandangan berprinsip apabila ia membuat pendiriannya mengenai apa yang berlaku di seluruh dunia.
Ini, kata Dr Syed Harun, adalah penting agar Singapura dapat terus kekal sebagai sebuah negara kecil dan untuk menyokong perintah dunia berasaskan peraturan.
Setuju dengannya, Dr Balakrishnan berkata Singapura cuba sedaya upaya untuk membentuk norma global dengan meneroka tujuan bersama dengan seberapa ramai rakan kongsi berdasarkan prinsip kesaksamaan, saling menghormati dan manfaat bersama.
“Kami tidak berpihak, kami berpegang pada prinsip, dan kami melakukannya secara konsisten, walaupun itu bermakna dari semasa ke semasa kita terpaksa berkata tidak kepada negara besar.
“Atau untuk mengatakan tidak kepada kawan lama. Penerapan prinsip ini yang konsisten telah membolehkan kita mengekalkan kredibiliti dengan negara besar, negara sederhana dan negara jiran kita,” kata Dr Balakrishnan.
Dr Balakrishnan berkata keperluan Singapura untuk kekal terbuka adalah suatu “keperluan yang wujud” dan Singapura perlu menjadi luar biasa, lebih bijak, lebih lincah, lebih teratur, lebih dipercayai dan lebih jujur berbanding negara lain untuk terus kekal relevan.
Beliau menambah dasar luar Singapura mempunyai beberapa objektif asas untuk dipenuhi, termasuk melindungi kemerdekaan, kedaulatan dan integriti wilayahnya; dan untuk mendapatkan akses kepada bekalan penting seperti air, tenaga, dan makanan.
Ia juga termasuk memperluaskan peluang ekonomi untuk rakyat Singapura dan mengekalkan perhubungan Singapura kepada dunia sebagai sebuah negera kecil.
Semasa ucapannya, Dr Syed Harun turut menyeru pemerintah supaya melibatkan rakyat dengan lebih luas dalam melaksanakan dasar luar Singapura kerana lebih ramai rakyat kini lebih terdedah kepada dunia.
Bersetuju dengan Dr Syed Harun, Dr Balakrishnan berkata dasar luar negara bermula di dalam negara, dan perpaduan dan muafakat adalah penting dalam menjalankan dasar luar yang berkesan.
“Saya bersetuju dengan Dr Syed Harun, kita perlu mendekati lebih luas bersama rakyat Singapura. Kita tidak boleh menganggap dasar luar sebagai sesuatu yang esoterik dan elit.
“Ia adalah satu latihan yang setiap warganegara mempunyai hak untuk mendapatkan akses kepada persefahaman dan mengambil bahagian dalam perbincangan di ruang awam tetapi kita juga perlu mencapai kedudukan yang sama.
“Oleh kerana Singapura, yang pelbagai dan terdedah, akan sentiasa terdedah kepada pengaruh asing,” kata Dr Balakrishnan.
Beliau menambah setiap rakyat Singapura perlu tahu mengapa pemerintah mengambil pendirian tertentu di dunia, dan setiap rakyat Singapura mempunyai peranan untuk dimainkan sebagai ‘wakil’ atau ‘duta’ untuk mewakili pendirian dan dasar luar Singapura.
Dr Balakrishnan memberi contoh pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan konflik Israel-Hamas yang berterusan, di mana Singapura terpaksa menyatakan dan menjelaskan kedudukannya kepada rakyat Singapura walaupun terdapat beberapa pandangan berbeza di kalangan rakyat.
“Kami terpaksa mengambil pendirian yang tegas mengenai pencerobohan Russia ke atas Ukraine. Ia jelas melanggar Piagam PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).
“Baru-baru ini, tragedi kemanusiaan yang mengerikan dalam konflik Hamas Israel, yang telah menimbulkan kejutan, kengerian, kemarahan dalam diri kita semua, kita terpaksa mengambil sikap tegas terhadap tindakan keganasan yang dilakukan pada 7 Oktober.
“Kita juga memberitahu Israel… tindak balas ketenteraan mereka telah melampaui batas, dan kita memerlukan gencatan senjata kemanusiaan segera, dan kita memerlukan pembebasan selamat dan segera serta tanpa syarat semua tebusan,” kata Dr Balakrishnan.
Melangkah ke hadapan, Dr Balakrishnan berkata Singapura perlu bersedia secara psikologi untuk isu dasar luar yang lebih sensitif, berduri dan kontroversi, dan untuk menerima hakikat bahawa rakyat Singapura akan mempunyai pendapat yang berbeza.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa Singapura perlu mencari kata sepakat dan jalan tengah, dan menyatakan pendiriannya secara kredibel ke peringkat global.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg