Topik diikuti
Pergi ke BHkuVivian: Keselamatan negara termasuk tangani rasa tidak puas hati domestik, bina perpaduan
Vivian: Keselamatan negara termasuk tangani rasa tidak puas hati domestik, bina perpaduan
Vivian: Keselamatan negara termasuk tangani rasa tidak puas hati domestik, bina perpaduan
Keresahan politik domestik telah menyebabkan banyak negara menolak globalisasi, mula bersikap tertutup, serta menjadikan keadaan saling kebergantungan sebagai senjata, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Berucap pada majlis perasmian Program Asia-Pasifik bagi Pegawai Kanan Keselamatan Negara pada 21 April, beliau menyatakan bahawa kemajuan teknologi dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital telah memburukkan lagi perkembangan tersebut.
Dalam keadaan sedemikian, pemerintah perlu melangkaui tumpuan tradisional terhadap pertahanan konvensional bagi menjamin keselamatan negara, dan perlu mengurus risiko merentasi pelbagai bidang.
Ini melibatkan usaha membina daya tahan merentasi aspek dalaman, luaran, dan institusi, tambahnya.
Dr Balakrishnan berucap kepada lebih 70 pegawai keselamatan negara, pakar, dan ahli akademik daripada 21 negara dalam persidangan tersebut, yang berlangsung sehingga 24 April di hotel Paradox Singapore di Clarke Quay.
Acara itu dianjurkan setiap tahun oleh Pusat Kecemerlangan bagi Keselamatan Negara di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).
Dr Balakrishnan berkata tugas dalam bidang keselamatan negara akan terus berkembang, seperti yang ditonjolkan melalui pandemik Covid-19.
“Kita harus mengelak daripada terperangkap dalam kitaran buruk. Kita perlu melihat konsep keselamatan negara dalam skop yang jauh lebih luas, bekerjasama secara bersepadu, serta memahami politik, ekonomi, teknologi, dan pertahanan dalam erti kata lebih luas,” ujarnya.
Langkah menangani ancaman daripada pelbagai bidang juga memerlukan pemansuhan budaya kerja berasingan dalam institusi, dan pemerintah juga perlu memupuk penyelarasan lebih erat antara pelbagai jabatan, tambah beliau.
Dr Balakrishnan berkata perang yang sedang berlaku di Iran ketika ini jelas menunjukkan bahawa cabaran keselamatan melangkaui bidang ketenteraan dan politik, sekali gus mendedahkan “kerapuhan ekonomi global serta kebergantungan kita kepada laluan sempit yang kritikal”.
Konflik yang kini memasuki minggu kelapan itu telah menyebabkan penutupan laluan perkapalan Selat Hormuz yang menyalurkan sekitar satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia, seterusnya mengakibatkan krisis tenaga dan rantaian bekalan global.
Gangguan ekonomi yang terhasil daripada penutupan selat tersebut akan berlarutan selepas fasa utama konflik itu berakhir.
Ini seterusnya memberi tekanan kepada beberapa negara yang sedia terbeban dan terus mengancam perpaduan sosial dalam negara, tambah Dr Balakrishnan.
“Hakikatnya, anda sedang menyaksikan satu kitaran buruk kerana kesan buruk global ini akan meretakkan lagi perpaduan domestik serta daya tahan masyarakat kita... Jika kita gagal memasang ‘pemutus litar’, kitaran buruk ini akan menjadi lebih cepat,” kata Dr Balakrishnan.
Bagi melindungi negara daripada ancaman ini, beliau berkata setiap negara perlu membina daya tahan dalaman dengan menangani keresahan domestik, keselamatan sosial, pendidikan, pekerjaan, serta ketidaksamaan.
Di Singapura yang berbilang kaum dan agama, perkara ini memerlukan pengurusan kepelbagaian secara teliti dan aktif supaya ia dapat terus menjadi satu kekuatan, tambah beliau.
Ini bermakna usaha penyepaduan bagi pendatang baru perlu dipertingkatkan, dengan mewujudkan peluang bermakna bagi rakyat untuk menyelesaikan masalah bersama, serta bagi golongan pendatang membina kefahaman dan kepercayaan dengan masyarakat tempatan.
Di Singapura, usaha ini tidak diserahkan begitu sahaja kepada kuasa pasaran bebas, memandangkan pihak asing boleh mengambil kesempatan ke atas isu-isu sensitif untuk memesongkan pandangan rakyat serta memberi tekanan kepada pemerintah, jelas Dr Balakrishnan.
Menurut beliau, perkembangan global berpotensi membangkitkan perasaan dan menjejas perpaduan sosial, yang membawa kepada polarisasi dalam masyarakat, radikalisasi, serta serangan pengganas.
“Satu insiden sahaja boleh menyebabkan kita terjerumus ke dalam krisis. Kita perlu memperkukuh kesedaran dan tekad rakyat kita untuk menangani ancaman sedemikian,” katanya.
