Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian: S’pura mahu keganasan, peluas petempatan dihenti, sokong penyelesaian dua negara Israel-Palestin

Keutamaan bersandar usaha kekal perpaduan S’pura, lindungi keselamatan negara dan patuhi undang-undang antarabangsa
Sep 23, 2025 | 6:31 PM
Singapura, Palestine, Parliament, Parlimen, Vivian Balakrishnan,
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, menyampaikan ucapan di Parlimen pada 22 September, yang mperincikan kedudukan Singapura mengenai pengiktirafan negara Palestin.  - Foto MDDI

Tindakan Israel dalam peperangan di Gaza telah mendorong masyarakat antarabangsa memperbaharui usaha bagi mendesak Israel mengubah pendekatan mereka. 

Baru-baru ini, Singapura bersama sebilangan besar negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Perhimpunan Agung telah mengundi bagi menyokong satu resolusi yang mengesahkan Deklarasi New York bagi menyokong penyelesaian dua negara.

Resolusi tersebut mencerminkan kebimbangan meluas bahawa penyelesaian dua negara sedang terjejas akibat tindakan Israel.

Sekitar lapan negara dijangka mengumumkan pengiktirafan Negara Palestin di PBB lewat hari ini (22 September). 

Bagi sesetengah negara, pengiktirafan itu adalah bersyarat, bergantung pada komitmen Pihak Berkuasa Palestin untuk menolak pengganasan serta melaksanakan pembaharuan pada pentadbiran.

Mereka turut mengharapkan agar Hamas melucutkan senjata dan membebaskan kesemua tebusan.

Saya akan memperincikan kedudukan Singapura mengenai pengiktirafan negara Palestin. 

Saya mulakan dengan menyatakan kepentingan negara kita.

Kepentingan Negara Kita

Singapura adalah sebuah negara bandar berbilang kaum dan berbilang agama di tengah-tengah Asia Tenggara. 

Dalam konteks keadaan kita, tiga perkara ini menjadi tumpuan utama.

Pertama, mengekalkan perpaduan negara. 

Tragedi Israel-Palestin yang berlarutan dan rumit menimbulkan reaksi yang kuat dan bercampur dalam kalangan rakyat Singapura. Perkara ini amat difahami. 

Namun, kita mesti menyuarakan pandangan berbeza ini dengan penuh hormat. Kita tidak boleh membiarkan keadaan serta pihak luar menimbulkan perpecahan dalam masyarakat kita.

Dasar negara, terutama dasar luar, mesti berasaskan kepentingan Singapura, dan bukan perspektif masyarakat atau agama.

Kita juga tidak boleh membenarkan pihak luar mengeksploitasi potensi perpecahan dalam masyarakat kita.

Kedua, melindungi keselamatan Singapura.

Kita tidak boleh bersikap sambil lewa terhadap ancaman keganasan dan konflik ketenteraan.

Sebagai sebuah negara kecil dan terbuka, kita tidak boleh membiarkan keganasan dalam apa jua bentuk.

Kita tidak akan sekali-kali menerima sebarang alasan yang kuat bagi pembunuhan orang awam yang tidak bersalah serta penculikan tebusan.

Inilah sebabnya kita menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri selepas serangan pada 7 Oktober.

Jika kejadian serupa berlaku di Singapura, kita pasti akan menegakkan hak mempertahankan diri yang sama.

Kita juga perlu mengekalkan kerjasama dengan rakan antarabangsa untuk meningkatkan keupayaan pertahanan dan keselamatan serta memastikan keselamatan Singapura terpelihara.

Israel telah membantu kita membangunkan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada peringkat awal kemerdekaan negara, di kala kita berada dalam keadaan paling terdedah.

Hubungan keselamatan yang unik ini sangat bernilai bagi kita.

Namun, hubungan ini tidak menghalang kita daripada menyuarakan pandangan kita secara langsung kepada pemerintah Israel, dengan jelas dan penuh hormat, apabila kita tidak bersetuju dengan tindakan mereka.

Kita telah berbuat demikian dan akan terus melakukannya.

Ketiga, menggalak penghormatan serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa. 

Kita bergantung kepada peraturan dan norma yang jelas untuk menjaga kedaulatan kita. 

Dunia yang berpandukan prinsip ‘kuasa menentukan hak’, secara asasnya, bertentangan dengan kepentingan negara kecil. 

Justeru, Singapura mesti mematuhi dan menegakkan undang-undang antarabangsa.

Tindakan Israel di Gaza

Ketiga-tiga keutamaan ini telah membentuk pendekatan kita terhadap konflik Gaza. 

Pada 7 Oktober 2023, Singapura serta-merta mengecam serangan ke atas Israel oleh Hamas dan mengiktiraf hak Israel untuk mempertahankan diri selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.

Kita sentiasa dan berulang kali menyeru supaya semua tebusan dilepaskan dengan segera dan tanpa syarat.

Namun, dalam melaksanakan haknya untuk mempertahankan diri, Israel mesti mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Ia termasuk prinsip bertindak secara berkadar dalam peperangan.

Namun, tindakan Israel di Gaza telah melampaui batas dan berlarutan terlalu lama. 

Operasi ketenteraan Israel, yang baru-baru ini semakin meruncing di Bandar Gaza, telah memburukkan penderitaan panjang dan genting (bagi) rakyat yang tidak bersalah.

Perkara ini tidak dapat diterima.

Skala kematian orang awam amat menyayat hati. Lebih 60,000 orang dilaporkan terbunuh- sepertiga daripada mereka adalah kanak-kanak.

Singapura mengecam pembunuhan rakyat awam yang tidak bersalah.

Keadaan kemanusiaan di Gaza amat membimbangkan.

Dianggarkan 90 peratus rumah telah musnah atau rosak. Sekolah, hospital, dan tempat ibadat turut terjejas.

Sekitar 1.9 juta orang atau 90 peratus penduduk Gaza terpaksa berpindah.

Perkhidmatan perubatan tidak dapat berfungsi dengan baik dan terlalu terbeban.

Gaza kini berada pada tahap kebuluran yang membimbangkan-sesuatu yang sebenarnya boleh dielakkan sepenuhnya. 

Penafian bantuan kemanusiaan secara sengaja dan tidak sah terhadap penduduk awam adalah sama sekali tidak boleh diterima.

Pada pandangan kita, tindakan melampau Israel mungkin juga melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Suruhanjaya Penyiasatan Antarabangsa Bebas (IICI) PBB baru-baru ini menyimpulkan bahawa Israel sedang melakukan genosid di Gaza.

Isu tersebut kini dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), iaitu forum yang sesuai untuk menilai perkara serius sebegini.

Bantuan Kemanusiaan

Singapura akan terus melakukan apa yang termampu untuk menyumbang kepada usaha antarabangsa bagi meringankan penderitaan rakyat di Gaza.

Setakat ini, pemerintah dan rakyat Singapura telah menyalurkan 10 pakej bantuan kemanusiaan.

Ini termasuk sumbangan terkini daripada Palang Merah Singapura sebanyak kira-kira $1.2 juta melalui Bulan Sabit Merah Mesir, yang diumumkan semasa Lawatan Rasmi Presiden Tharman Shanmugaratnam ke Mesir.

Pada Ogos, SAF menjalankan operasi menggugurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, dalam operasi kedua seumpamanya.

Singapura akan melakukan lebih lagi. Di bawah pakej bantuan ke-10, kita akan menyokong:

Pertama, hospital-hospital Mesir dalam merawat rakyat Palestin yang cedera.

Sekumpulan doktor Singapura kini berada di Kahirah untuk menyokong Institut Nasser dalam konsultasi kes perubatan.

SAF telah menempatkan dua pegawai perhubungan di Kahirah untuk menyelaras bantuan Singapura di lapangan. 

Kita juga sedang berusaha menempatkan satu lagi pasukan perubatan ke Mesir untuk membantu merawat lebih ramai pesakit dari Gaza apabila keadaan mengizinkan.

Kedua, di bawah projek ‘Restoring Hope Initiative for Gaza’, kita akan menyediakan bekalan prostetik (kaki dan tangan palsu) untuk kira-kira 100 rakyat Palestin yang mengalami amputasi (dipotong kaki dan tangannya) dan sedang dirawat di Jordan serta di hospital lapangan Jordan di Gaza.

Ketiga, kita turut mengambil bahagian dalam usaha Program Makanan Sedunia (WFP) bagi membanteras kebuluran di Gaza melalui sumbangan sebanyak AS$500,000 ($641,650).

Jumlah keseluruhan bantuan kemanusiaan Singapura untuk Gaza melebihi $24 juta.

Kedudukan Singapura mengenai Pengiktirafan Negara Palestin

Singapura telah menjelaskan kedudukannya – kita akan mengiktiraf Negara Palestin apabila ia mempunyai pemerintah yang berkesan, menerima hak Israel untuk wujud, dan menolak keganasan secara tegas.

Dua perkara ini jelas.

Pertama, walaupun Pihak Berkuasa Palestin menguruskan Wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat, ia tidak mengawal Gaza.

Sekurang-kurangnya sejak 18 tahun lalu, tiada pemerintahan Palestin yang bersatu dan mempunyai kawalan penuh ke atas kedua-dua Tebing Barat dan Gaza.

Apa yang akan berlaku di Gaza selepas gencatan senjata masih tidak jelas.

Kedua, Hamas secara konsisten menolak hak Israel untuk wujud. Ia masih belum menolak pengganasan atau bersetuju untuk melucutkan senjata. 

Kita mempunyai hubungan baik dengan Pihak Berkuasa Palestin. Kita mengalu-alukan komitmennya untuk menolak pengganasan, melaksanakan pembaharuan, dan melucutkan senjata Hamas, seperti yang dinyatakan oleh Presiden Mahmoud Abbas dalam suratnya kepada Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron pada Jun. 

Namun, masih belum dapat dipastikan sama ada Pihak Berkuasa Palestin benar-benar mampu melucutkan senjata dan menyingkirkan Hamas dari Gaza. 

Kita akan memantau dengan teliti bagaimana Pihak Berkuasa Palestin memenuhi komitmen tersebut.

Bagi menyelesaikan konflik yang telah lama berlarutan ini secara menyeluruh, adil dan mampan, mesti ada penyelesaian melalui perundingan dua negara-Israel dan Palestin – dengan rakyat masing-masing hidup di samping satu sama lain dalam keamanan, keselamatan dan bermaruah.

Walaupun ia nampak sukar dan masih jauh pada masa ini, inilah satu-satunya jalan yang wajar ke arah keamanan yang berkekalan. 

Singapura akan terus menyokong sebarang daya usaha untuk menyambung perundingan antara pihak-pihak yang terlibat bagi mencapai matlamat ini.

Pendirian kita tidak sepatutnya mengejutkan Dewan (Parlimen) ini. Singapura telah secara konsisten menegaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan memiliki negara mereka sendiri.

Rekod pengundian kita di PBB sentiasa mencerminkan hal ini.

Pada 2024, kita menyokong beberapa resolusi yang menyatakan sokongan terhadap kemasukan Palestin sebagai anggota PBB, serta menegaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

Kita juga telah menyokong hak Palestin untuk menjadi ‘negara pemerhati bukan anggota’ dalam pelbagai pertubuhan antarabangsa, termasuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Kesatuan Pos Sejagat (UPU).

Harapan untuk Penyelesaian Dua Negara

Malangnya, unsur ekstremis di kedua-dua pihak terus menjejas harapan bagi penyelesaian dua negara.

Hamas secara konsisten menolak penyelesaian dua negara.

Pada masa yang sama, penduduk penempatan Israel terus memaksa rakyat Palestin di Tebing Barat berpindah dari rumah mereka sendiri. 

Beberapa ahli politik Israel juga telah menyuarakan mengenai kemungkinan memiliki secara paksa sebahagian Tebing Barat atau Gaza.

Baru-baru ini, pemerintah Israel menandatangani perjanjian untuk meneruskan projek petempatan E1 di Tebing Barat. 

Ini akan memecahbelahkan Tebing Barat dan mengancam bandar-bandar Arab di Wilayah Palestin yang diduduki.

Izinkan saya jelaskan – Singapura secara konsisten berpendirian bahawa petempatan Israel adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa.

Kita telah mengundi menyokong resolusi PBB yang menolak kegiatan petempatan Israel dan menyeru Israel agar membatalkan semua langkah yang berusaha mengubah status Baitulmakdis.

Kita menyeru pemerintah Israel agar menghentikan pembinaan dan peluasan petempatan mereka.

Sehubungan itu, Singapura akan mengenakan sekatan bersasar ke atas pemimpin kumpulan atau pertubuhan penempatan sayap kanan radikal yang bertanggungjawab terhadap keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.

Butiran lanjut akan diumumkan kemudian.

Pendekatan Singapura selari dengan pandangan banyak negara yang melihat pengiktirafan sebagai langkah bermakna ke arah matlamat akhir penyelesaian dua negara melalui rundingan.

Namun, beberapa negara telah memilih untuk mengiktiraf Negara Palestin sekarang, walaupun prospek kewujudan sebuah negara yang berfungsi menjadi semakin jauh. 

Mereka berbuat demikian untuk melahirkan kebimbangan serius terhadap keadaan semasa dan berharap ia dapat menyukarkan Israel untuk memadamkan penyelesaian dua negara sepenuhnya.

Setakat ini, Singapura mengekalkan pendirian kita, sambil melakukan sebaik mungkin untuk membantu Pihak Berkuasa Palestin meningkatkan keupayaan mereka. 

Sokongan Singapura terhadap penyelesaian dua negara bermakna kita akan menentang sebarang langkah Israel untuk menamatkan atau menghalang penyelesaian sedemikian. 

Singapura tidak boleh mengiktiraf sebarang pemilikan paksa satu hala terhadap wilayah yang diduduki kerana ini merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.

Kita akan terus memantau perkembangan dengan teliti.

Jika keadaan menjadi lebih teruk, atau jika Israel mengambil langkah selanjutnya untuk menamatkan penyelesaian dua negara, kita akan mempertimbangkan semula kedudukan kita mengenai pengiktirafan Negara Palestin.

Suarakan pandangan berbeza dengan hormat

“Tragedi Israel-Palestin yang berlarutan dan rumit menimbulkan reaksi yang kuat dan bercampur dalam kalangan rakyat Singapura. Perkara ini amat difahami.  Namun, kita mesti menyuarakan pandangan berbeza ini dengan penuh hormat. Kita tidak boleh membiarkan keadaan serta pihak luar menimbulkan perpecahan dalam masyarakat kita.
Bantuan S’pura kepada Gaza

“Singapura akan terus melakukan apa yang termampu untuk menyumbang kepada usaha antarabangsa bagi meringankan penderitaan rakyat di Gaza. Setakat ini, pemerintah dan rakyat Singapura telah menyalurkan 10 pakej bantuan kemanusiaan. Ini termasuk sumbangan terkini daripada Palang Merah Singapura sebanyak kira-kira $1.2 juta melalui Bulan Sabit Merah Mesir, yang diumumkan semasa Lawatan Rasmi Presiden Tharman Shanmugaratnam ke Mesir.”
Sokongan terhadap penyelesaian dua negara

Setakat ini, Singapura mengekalkan pendirian kita, sambil melakukan sebaik mungkin untuk membantu Pihak Berkuasa Palestin meningkatkan keupayaan mereka.  Sokongan Singapura terhadap penyelesaian dua negara bermakna kita akan menentang sebarang langkah Israel untuk menamatkan atau menghalang penyelesaian sedemikian.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg