Singapura secara dasarnya bersedia untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan akan mengambil langkah untuk mengiktirafnya pada masa yang sesuai, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Bercakap di Parlimen pada 2 Julai, Dr Balakrishnan berkata, antara pertimbangan yang akan diambil adalah sama ada langkah sedemikian akan membantu kemajuan ke arah keamanan dan penyelesaian dua negara yang dirundingkan.
“Perlu ada pemerintahan Palestin yang berkesan, yang menerima hak Israel untuk wujud dan secara mutlak menolak keganasan.
“Kedua-dua pihak mempunyai hak yang sah, dan kedua-dua rakyat mempunyai hak untuk hidup dengan aman dan bermaruah dalam sempadan yang selamat.
“Kami menggesa kedua-dua pihak untuk mengambil kesempatan ini ke arah keamanan yang berpanjangan dan menamatkan penderitaan yang telah berlarutan terlalu lama,” kata Dr Balakrishnan.
Beliau menambah, Singapura juga telah mengundi untuk menyokong resolusi di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Mei yang menyokong keanggotaan Palestin dalam PBB.
“Kita mengundi menyokong resolusi ini selepas menimbangnya dengan teliti.
“Ini mencerminkan harapan kita untuk menggalak kedua-dua Israel dan Palestin menyambung semula rundingan terus ke arah penyelesaian dua negara, sedang prospek rundingan sedemikian semakin suram.
“Oleh itu, kita memutuskan untuk menyertai masyarakat antarabangsa dalam menyokong resolusi itu, yang juga selaras dengan sokongan lama kita terhadap prinsip undang-undang antarabangsa dan pelaksanaan semua resolusi Majlis Keselamatan yang berkaitan,” kata Dr Balakrishnan.
Beliau menambah Singapura secara konsisten menyokong hak rakyat Palestin untuk mempunyai negara sendiri dan pemerintah akan mengambil langkah seterusnya untuk mengiktiraf negara Palestin pada masa yang sesuai.
Beliau berkata, memandangkan Singapura berkawan dengan Israel and Palestin, Singapura akan terus memberikan galakan dan sokongan kepada kedua-dua rakyat Palestin dan Israel.
Singapura juga akan meneruskan penglibatannya dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan terus melaksanakan Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP) bernilai $10 juta untuk membantu PA membina kapasiti dan bersedia apabila ia menjadi sebuah negara.
Dr Balakrishnan berkata sehingga kini, lebih 750 pegawai Palestin telah dilatih dalam bidang seperti diplomasi, pengurusan air, pembangunan ekonomi dan perancangan bandar.
Tiga pegawai Palestin juga telah dianugerahkan biasiswa pada 2024 dalam bidang perakaunan, ekonomi politik antarabangsa dan keselamatan maklumat-komunikasi.
Singapura juga akan memberikan biasiswa yang dibiayai sepenuhnya untuk pegawai Palestin untuk melanjutkan pengajian pascasiswazah di universiti tempatan.
“Kami berharap peluang latihan ini akan membantu pegawai PA berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat Palestin, serta melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan apabila pembinaan semula Gaza bermula,” kata Dr Balakrishnan.
Menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Encik Faisal Manap (GRC Aljunied) mengenai latihan bagi pegawai Palestin untuk membantu pembinaan semula Gaza, beliau berkata Singapura akan menilai cara terbaik untuk membantu secara dua hala dan sebagai sebahagian daripada usaha pelbagai halanya.
“Saya tetap berhubung rapat dengan rakan sejawatan saya di Timur Tengah dalam isu ini.
“Kita bersedia untuk menyumbang, dengan mengambil kira keperluan Gaza dan sumber serta kepakaran kita, selepas pertempuran dihentikan.
“Walau bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan harus diberikan untuk mendapatkan gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza dan pembebasan semua tebusan,” kata Dr Balakrishnan.
Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai, juga bertanya sama ada Singapura telah membuat sebarang penjualan pertahanan kepada Israel, seperti senjata yang boleh menyebabkan sebarang bahaya kepada orang awam, sejak 7 Oktober 2023.
Dalam jawapannya, Dr Balakrishnan berkata Singapura mematuhi dengan ketat kewajipan antarabangsanya mengenai penjualan senjata antarabangsa serta sekatan PBB terhadap mana-mana negara termasuk menyerahkan laporan tetap kepada Daftar Senjata Konvensional PBB.
“Selain itu, adalah menjadi dasar pemerintah untuk tidak mendedahkan secara terbuka sebarang butiran penjualan pertahanan atas sebab keselamatan negara,” kata Dr Balakrishnan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg