Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Apakah pentingnya undi S’pura sokong Palestin jadi anggota penuh PBB?

May 23, 2024 | 5:30 AM
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
Delegasi dari pelbagai negara hadir semasa undian menyokong ketetapan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menyokong keanggotaan penuh Palestin dalam pertubuhan dunia itu pada 10 Mei. - Foto REUTERS

DR JOEL NG

Undi Singapura menyokong keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) penting kerana Perhimpunan Agung PBB adalah suara dunia tentang bagaimana undang-undang antarabangsa harus ditafsir dan diguna pakai.

ULASAN

Pada 10 Mei, Singapura menyertai 142 negara lain, mengundi menyokong ketetapan Perhimpunan Agung PBB, yang menyokong keanggotaan penuh Palestin dalam pertubuhan dunia itu, yang akan mengangkatnya daripada status sekarang sebagai pemerhati.

Namun, ini tidak akan memihak kepada Palestin serta-merta, kerana ketetapan itu ditolak (veto) oleh Amerika Syarikat, pada 18 April.

Jadi, ada yang mungkin menolak keseluruhan proses itu dan menyifatkannya sebagai suatu pementasan, tanpa sesuatu yang penting untuk dibuktikan.

Adakah Singapura mengambil bahagian dalam proses yang hanya bersifat ‘simbolik’ tanpa kemungkinan berjaya?

Kuasa Perhimpunan Agung PBB

Perhimpunan Agung PBB sering disifatkan sebagai membuat tindakan ‘simbolik’ kerana keputusannya tidak mempunyai kuasa undang-undang ke atas 15 anggota Majlis Keselamatan itu, termasuk anggota tetap seperti Amerika.

Namun Perhimpunan Agung PBB mempunyai beberapa kuasa, terutamanya untuk membuat cadangan mengenai skop Piagam PBB.

Dalam erti kata lain, ia memainkan peranan penting dalam memberikan suara dunia tentang cara undang-undang antarabangsa harus ditafsir dan diguna pakai.

Salah satu tindakan Perhimpunan Agung PBB yang paling berkesan ialah menyifatkan aparteid sebagai suatu jenayah, iaitu dasar perkauman rejim kulit putih Afrika Selatan terhadap rakyat kulit hitam dan etnik minoriti di negara itu.

Pada 1966, Perhimpunan Agung PBB mengisytiharkan aparteid sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Pada 1973, Perhimpunan Agung PBB meluluskan Konvensyen mengenai Penindasan dan Hukuman Jenayah Aparteid, yang menghuraikan bagaimana aparteid melanggar undang-undang antarabangsa.

Piagam itu berkuat kuasa pada 1976, dan pengasingan rejim aparteid Afrika Selatan akhirnya menyebabkan kejatuhan rejim itu pada 1994.

Seseorang mungkin mengatakan, proses sedemikian amat perlahan. Pandangan itu tidak salah.

Tetapi tindakan mengajak dua pihak yang pada asasnya bertentangan, untuk melihatnya sebagai kepentingan terbaik mereka, untuk saling berunding dan mencari penyelesaian kekal yang aman, adalah proses semula jadi yang berlaku secara beransur-ansur.

Laluan ke penempatan kekal dalam konflik Gaza, juga amat berbeza daripada proses yang menamatkan aparteid di Afrika Selatan.

Keanggotaan PBB dan Penyelesaian Dua Negara

Singapura telah mengulangi bahawa undiannya memihak kepada keanggotaan Palestin adalah menyokong penyelesaian dua negara, kedudukan yang mendapat sokongan sejagat dan diberi mandat oleh resolusi PBB yang lalu.

Ini akan meletakkan rakyat Palestin pada kedudukan yang sama di meja rundingan. Ia adalah penting sekarang, kerana nampaknya sokongan orang ramai terhadap penyelesaian dua negara, telah berkurangan di Israel dan Palestin.

Tetapi pertimbangkan alternatif ini. Bagi mana-mana pihak untuk mendapatkan hasil yang tidak berkongsi tanah secara saksama, ia melibatkan penguasaan pihak lain.

Penentangan oleh pihak yang ditindas tidak dapat dielakkan. Malangnya, sejak 7 Oktober 2023, kededua pihak telah memberikan kami bukti tentang bagaimana kitaran keganasan ini akan berterusan.

Justeru itu, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, “Undi Singapura mencerminkan keinginan hasrat kami untuk melihat kededua pihak meneruskan rundingan bersemuka secara langsung dengan niat baik”.

Undian Perhimpunan Agung PBB adalah sebahagian daripada siri tindakan yang telah memulakan putaran roda, menentang unsur-unsur paling ekstrem di kededua pihak yang bertelagah, Israel-Palestin.

Peranannya dalam mengetengahkan apa yang diperkatakan oleh undang-undang antarabangsa mengenai tindakan pemerintah Israel dan kumpulan Hamas baru-baru ini, adalah penting.

Pemerhati di luar negara mempersoalkan kesahihan sokongan berterusan terhadap pemerintah Israel atau Hamas.

Pendirian Perhimpunan Agung PBB mengenai perkara ini akan berpengaruh, memandangkan peranannya dalam mentafsir Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.

Lumpuh di Majlis Keselamatan

Secara umumnya, Majlis Keselamatan PBB telah menjadi semakin buntu, dalam membuat keputusan mengenai keselamatan antarabangsa, kerana persaingan kuasa besar yang diperbaharui.

Sebelum Gaza, Russia menggunakan kuasa veto terhadap ketetapan berkaitan perang di Ukraine.

Pemikiran yang menyedihkan ialah apabila konflik baru tercetus, Majlis Keselamatan telah menjadi semakin lumpuh, walaupun tindakannya diperlukan lebih daripada sebelumnya.

Banyak konflik lain – yang telah memuncak sejak surutnya pandemik Covid-19 – hampir tidak mendapat perhatian atau tindak balas sejagat yang mencukupi.

Mungkin ada yang berpendapat PBB telah menjadi tidak relevan, dan sudah tiba masanya untuk negara mengambil tindakan sepihak.

Ini akan menjadi hasil yang paling buruk daripada kebuntuan, terutamanya bagi negara-negara kecil seperti Singapura.

Dunia yang menyaksikan golongan perkasa tidak perlu bertanggungjawab, adalah dunia apabila negara kecil akan menderita.

Dalam mengiktiraf masalah di PBB, adalah penting untuk menyedari bahawa bukan Majlis Keselamatan yang tidak mahu bergerak, tetapi negara individu tertentu di dalamnya.

Mereka perlu dipanggil jika tindakan yang mereka ambil bertentangan dengan keamanan.

Perhimpunan Agung PBB adalah pilihan paling sah bagi negara untuk menyatakan rasa jijik, dan mencadangkan cara untuk maju.

Tindakan kolektif di peringkat pelbagai hala, mesti kekal sebagai tindakan utama jika ketenteraman antarabangsa ingin dikekalkan dan relevan, demi kewujudan bersama secara aman.

Inilah sebabnya mengapa undian ke atas keanggotaan Palestin adalah sangat penting: Memandangkan terdapat unsur enggan bertolak ansur di kededua belah pihak, yang cuba untuk bertindak mengikut kemahuan sendiri.

Dunia perlu menyokong mereka yang mahu mencari penyelesaian secara aman.

Dr Joel Ng ialah Timbalan Ketua, Pusat Kajian Multilateralisme di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura. Ulasan ini versi yang disunting bagi artikel yang diterbitkan di Channel NewsAsia pada 14 Mei 2024. Ia diterbitkan semula di sini dengan kebenaran.

Tindakan kolektif di peringkat pelbagai hala, mesti kekal sebagai tindakan utama jika ketenteraman antarabangsa ingin dikekalkan dan relevan, demi kewujudan bersama secara aman. Inilah sebabnya mengapa undian ke atas keanggotaan Palestin adalah sangat penting: Memandangkan terdapat unsur enggan bertolak ansur di kededua belah pihak, yang cuba untuk bertindak mengikut kemahuan sendiri.
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg