Topik diikuti
Pergi ke BHkuVivian: S’pura siap pakej bantuan kemanusiaan ke Nepal
Hantar pasukan respons konsular bagi bantuan tambahan di lokasi banjir
Pemerintah Singapura sedang menyiapkan pakej bantuan kemanusiaan bagi menyokong usaha penyaluran bantuan di Nepal, serta menangani keperluan segera masyarakat yang terjejas, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Dr Balakrishnan menambah bahawa Suruhanjaya Tinggi Singapura di New Delhi, India sedang menghantar pasukan respons konsular ke Nepal untuk hulurkan bantuan tambahan di lokasi kejadian.
Dalam satu hantaran Facebook pada 27 Ogos, Dr Balakrishnan menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan bahawa Kementerian Ehwal Luar (MFA) sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal dan China bagi menyediakan bantuan konsular kepada rakyat Singapura yang terjejas.
MFA juga sedang berhubung dengan waris mereka, kata Dr Balakrishanan.
“Salam takziah dan simpati saya kepada semua yang terjejas akibat banjir teruk di sepanjang sempadan Nepal-China.
“Singapura berdiri teguh bersama rakyat Nepal dan China dalam menghadapi masa yang sukar ini.
“Pemerintah Singapura sedang menyiapkan pakej bantuan kemanusiaan bagi menyokong usaha bantuan di Nepal serta menangani keperluan segera masyarakat yang terjejas,” ujar Dr Balakrishnan.
Sementara itu, beliau turut menggesa rakyat Singapura yang berada di kawasan terjejas untuk mengutamakan keselamatan dan sentiasa berwaspada.
“Ikuti perkembangan tempatan dengan teliti serta patuhi nasihat pihak berkuasa setempat,” tambah Dr Balakrishnan.
Seramai sembilan rakyat Singapura telah dilaporkan hilang mengikut kemas kini situasi rasmi yang dimuat naik di laman web Lembaga Pelancongan Nepal pada 27 Ogos.
Ini menyusuli banjir besar di Nepal pada 26 Ogos yang dipercayai tercetus apabila sebahagian besar glasier runtuh dari kawasan pergunungan Himalaya, lalu menghasilkan arus deras air, ais dan batu yang membadai kawasan di hilir tanpa amaran.
Secara berasingan, MFA telah mengeluarkan nasihat perjalanan pada 27 Ogos yang menggesa rakyat Singapura agar mengelakkan kawasan terjejas banjir di Rasuwa, Nuwakot, Dhading, Gorkha, dan Chitwan.
Mereka juga perlu menjauhi sungai, tebing sungai, jambatan dan kawasan rendah.
MFA berkata mungkin terdapat gangguan kepada jalan raya, pengangkutan, komunikasi dan perkhidmatan penting di kawasan yang terjejas.
Pelancong perlu menyemak keadaan jalan raya dan cuaca tempatan sebelum memulakan perjalanan, tambahnya.
MFA berkata warga Singapura yang membuat perjalanan ke atau menetap di Nepal amat digalakkan untuk mendaftar melalui eRegister dengan kementerian itu, membeli insurans perjalanan yang menyeluruh, dan sentiasa berhubung dengan keluarga, hotel, agensi kembara, pemandu pelancong atau pengendali pelancongan tempatan mereka.
Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Singapura di New Delhi atau Pejabat Bertugas Kementerian Ehwal Luar yang beroperasi 24 jam.
Selain itu, Palang Merah Singapura (SRC) telah berikrar untuk menyumbang sebanyak $50,000 dalam bentuk bantuan kemanusiaan.
Dalam satu kenyataan pada 27 Ogos, SRC menyatakan bahawa usaha bantuan itu merangkumi pengagihan air minuman dan bekalan kecemasan, seperti kanvas tarpaulin (kain kalis air), selimut, tikar tidur, kit pertolongan cemas, dan beg mayat.
