KATHMANDU: Ratusan keluarga yang cemas memenuhi hospital dan pusat bantuan polis di Kathmandu pada 27 Ogos untuk mencari anggota keluarga mereka yang masih hilang selepas banjir dahsyat di sempadan Nepal-Tibet meragut sekurang-kurangnya 165 nyawa.

Lebih 1,300 orang dilaporkan masih belum dapat dihubungi di Nepal dan Tibet, termasuk ratusan pelancong asing, selepas gelombang besar air, lumpur dan serpihan melanda kawasan sepanjang Sungai Bhote Koshi dan Trishuli pada 26 Ogos.

Di Hospital Bir di Kathmandu, Encik Subash Khatani antara mereka yang memeriksa senarai mangsa dan bertanya kepada pegawai mengenai abangnya, Encik Ram Sharan Rasaili, yang hilang di daerah Rasuwa.

Abang saya Ram Sharan Rasaili antara mereka yang hilang di Rasuwa. Sebab itulah kami keluar mencarinya,” katanya.

Seorang lagi, Encik Chitra Bahadur Nepali, 52 tahun, mencari anak saudaranya, Encik Yubraj Sewak, seorang pemandu yang sedang menuju ke Rasuwa sebelum hubungan dengannya terputus.

“Anak saudara saya dalam perjalanan ke Rasuwa dan masih berhubung dengan kakak saya sehingga kira-kira 8 pagi semalam.

“Kami tidak mendengar khabar daripadanya sejak banjir berlaku. Namanya tiada dalam mana-mana senarai yang kami lihat dan seorang lagi anggota keluarga kami turut hilang,” katanya sambil menunjukkan gambar anak saudaranya melalui telefon.

Hospital Bir mengumumkan semua mangsa banjir akan dirawat secara percuma dan berkata ia bersedia menerima pertambahan pesakit.

Banjir itu bermula di Rasuwa, utara Nepal, sebelum arus deras bergerak lebih 160 kilometer ke selatan. Kematian dilaporkan di tujuh daerah sehingga Chitwan, berhampiran sempadan India.

Polis Nepal berkata 162 mayat telah ditemukan di negara itu, sementara China melaporkan tiga kematian di Tibet.

Angka korban dijangka terus meningkat apabila operasi mencari dan menyelamat diperluas.

“Jumlah ini akan meningkat kerana kami telah menyambung semula pencarian dan lebih banyak mayat dijangka ditemukan,” kata jurucakap polis Nepal, Encik Abi Narayan Kafle.

Di Nepal, lebih 820 orang masih belum dapat dihubungi, termasuk hampir 500 warga asing.

Menurut pihak berkuasa, 579 daripada mereka yang belum dapat dihubungi adalah pelancong Nepal dan asing.

Antara pelancong asing yang hilang ialah sembilan warga Singapura, 177 warga India, 63 warga Amerika Syarikat, 34 warga Australia, 33 warga Britain dan 25 warga Canada.

Kementerian Luar Malaysia pula berkata 55 rakyatnya masih belum dapat dihubungi, tetapi setakat ini tiada pengesahan rasmi mengenai korban dalam kalangan mereka.

Di daerah Gyirong di Tibet, seramai 558 orang masih hilang, termasuk 260 warga asing, menurut penyiar pemerintah China, CCTV.

Rakaman video menunjukkan arus besar air, lumpur dan serpihan menyapu manusia serta memusnahkan bangunan dan kenderaan di kawasan sempadan sebelum bergerak ke hilir memasuki Nepal.

Seorang mangsa terselamat, Encik Keshav Prasad Baral, 68 tahun, berkata beliau melihat arus lumpur yang besar menuju terus ke rumahnya.

“Ia adalah arus lumpur yang sangat besar yang datang terus ke arah kami. Semakin dekat, ia menjadi semakin tinggi,” katanya dari sebuah hospital di Nepal.

Apabila lumpur memasuki rumah, beliau cuba memegang tangan isterinya dan membawanya ke bahagian atas bangunan.

Namun, isterinya dihanyutkan arus.

“Isteri saya masih berada di suatu tempat di bawah lumpur. Dia sudah tiada,” katanya.

Encik Baral sendiri diselamatkan dengan helikopter kira-kira empat jam kemudian.

Seorang lagi mangsa terselamat berkata beliau menyelamatkan diri dengan berpaut pada pokok mangga ketika menyaksikan rumah tempatnya bekerja dihanyutkan.

Lebih 5,000 anggota tentera dan polis dikerahkan dalam operasi mencari dan menyelamat.

Tentera Nepal berkata 125 orang berjaya diselamatkan pada 27 Ogos, termasuk 20 warga asing.

Helikopter digunakan untuk mencari mangsa serta menghantar khemah, makanan dan bekalan kecemasan kepada ribuan penduduk yang terputus hubungan selepas jalan raya, jambatan dan prasarana lain musnah.

India turut menghantar bekalan kecemasan bagi membantu operasi bantuan.

Perdana Menteri Nepal, Encik Balendra Shah, pula menuju ke Nuwakot untuk meninjau sendiri keadaan di antara daerah yang paling teruk terjejas.

Punca sebenar bencana masih disiasat, tetapi penilaian awal menunjukkan runtuhan besar ais dan batu dari glasier kemungkinan mencetuskan banjir tersebut.

Kajian awal imej satelit Planet Labs menunjukkan runtuhan ais dan batu menghasilkan arus besar yang membawa serpihan ke Sungai Lhende, kira-kira 20 kilometer ke timur laut pintu sempadan Rasuwagadhi antara Nepal dengan China.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata gegaran yang pada awalnya disangka gempa bumi 4.4 magnitud sebenarnya merupakan tenaga seismik yang dihasilkan oleh runtuhan batu dan ais glasier, sebelum bertukar menjadi aliran serpihan.

Pihak berkuasa China turut mengenal pasti risiko daripada sebuah tasik yang masih terbendung di Gyirong, di bahagian hulu kawasan bencana. Keadaan itu dikhuatiri boleh menyukarkan operasi menyelamat, terutama dengan hujan diramalkan berlaku.

Ramai mangsa merupakan jemaah yang dalam perjalanan ke Kailash Mansarovar di Tibet, kawasan pergunungan tinggi yang dianggap suci oleh penganut Hindu dan Buddha.

Ketua sebuah syarikat pelancongan Himalaya, Encik Sagar Pandey, berkata 15 warga India-Australia yang mengikuti perjalanan keagamaan bersama syarikatnya masih hilang.

Selepas meninjau kawasan bencana dengan helikopter, beliau menggambarkan kemusnahan sebagai hampir menyeluruh.

“Tiada lagi binaan manusia, tiada penempatan yang tinggal. Semuanya sudah rata,” katanya.

Amerika Syarikat mengumumkan penghantaran seorang penasihat tindak balas bencana dan bantuan bernilai AS$500,000 ($640,000), manakala pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama rakan kemanusiaan turut menghantar bekalan dan kakitangan ke Nepal.

Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, berkata bantuan sedang disalurkan untuk menyokong masyarakat yang terjejas.

Di kawasan bencana, lumpur setebal beberapa meter menimbus rumah, pokok dan kenderaan, sementara helikopter berulang-alik membawa mangsa terselamat ke tempat selamat.

“Ke mana sahaja kami melihat, semuanya musnah,” kata seorang petugas kesihatan di Rasuwa, Encik Tula Bahadur BK.

“Penempatan di tepi sungai dihanyutkan sepenuhnya. Lima anggota keluarga saya sendiri masih hilang.” - Agensi berita