Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian: S’pura tidak berpihak, harus pegang teguh pada prinsip

Aug 28, 2024 | 7:41 PM
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata Singapura harus bertindak dengan cara yang berprinsip dan konsisten berdasarkan kepentingan  jangka panjang negara.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata Singapura harus bertindak dengan cara yang berprinsip dan konsisten berdasarkan kepentingan jangka panjang negara. - Foto PERSATUAN POLITIK PELAJAR NUS

Pendekatan dasar luar Singapura bukan untuk berkecuali, tetapi bertindak dengan cara yang berprinsip dan konsisten berdasarkan kepentingan jangka panjang negara, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Bercakap kepada sekitar 250 hadirin di Forum Menteri Kent Ridge 2024 pada 27 Ogos, Dr Balakrishnan berkata Singapura perlu menjadi rakan kongsi yang boleh dipercayai dan boleh diharap kepada semua dalam mempromosikan hubungan mesra memajukan kepentingan nasional Singapura.

“Kami tidak berpihak. Kami memegang pada prinsip. Saya mendapati bahawa dengan bersikap konsisten, mematuhi peraturan dan menegakkan prinsip, saya mendapat kurang tekanan.

“Ia membolehkan saya, sama ada saya pergi ke Washington atau Beijing, untuk mengatakan perkara yang sama,” kata Dr Balakrishnan.

Tambahnya, adakalanya negara-negara lain gembira kerana Singapura seolah-olah menyebelahi mereka, manakala pada masa lain, sebaliknya berlaku.

Dr Balakrishnan berkata demikian semasa menghadiri forum bertajuk, ‘Majulah: Navigating The Next Chapter Of Singapore’s Story’ (Majulah: Mengemudi Bab Seterusnya Dalam Kisah Singapura), yang diadakan di auditorium Rumah Alumni Yayasan Shaw di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Dianjurkan oleh Persatuan Politik Pelajar NUS (NUSPA), forum tahunan itu memberi peluang kepada ahli akademik dan pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi berdialog dengan pemimpin politik kanan di Singapura.

Dalam ucapannya, Dr Balakrishnan berkata ia “bukan kedudukan senang-senang berubah”, yang mana jika sesebuah negara memberikan tekanan yang cukup kepada Singapura, maka Singapura akan mengubah fikirannya.

“Apabila kita berkata ya, ia adalah berharga. Itulah maksudnya. Kami tidak mempunyai tujuan berkecuali, kami tidak memilih pihak, kami menegakkan prinsip kita.

“Mempunyai hubungan mesra dengan orang yang duduk di seberang meja, sekurang-kurangnya, memastikan kita tidak tersalah berkomunikasi.

“Sebaik-baiknya, menjalinkan hubungan mesra juga membolehkan kita mencari kompromi, huraian bersama, adakala kita boleh menang, kalah, atau lebih baik lagi jika ada huraian yang membawa kepada kemenangan bagi semua pihak,” katanya.

Semasa ucapannya, Dr Balakrishnan juga menekankan bahawa Singapura perlu kekal sebagai ekonomi terbuka kerana ia tidak mempunyai pasaran domestik atau serantau yang besar.

Beliau menambah, adalah penting bagi Singapura menjadi luar biasa di persada dunia sambil menjadi penyokong teguh yang konsisten untuk pemerintahan dunia berasaskan peraturan dan undang-undang antarabangsa.

“Kerana kita kecil, dan jika kita tidak beroperasi mengikut peraturan, undang-undang rimba akan menguasai diplomasi, apabila negara yang lebih kuat dipandang betul, manakala negara yang lebih besar itu fikir mereka lebih berkuasa,” kata Dr Balakrishnan.

Dalam praktiknya, Dr Balakrishnan berkata ini bermakna Singapura mesti bersedia menyatakan pendiriannya terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa, pelanggaran Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), atau yang mana terdapat prinsip asas yang berisiko.

Menggunakan pendirian Singapura terhadap perang Israel-Hamas sebagai contoh, beliau berkata apabila Hamas melakukan serbuan dan mengambil tebusan pada 7 Oktober 2023, Singapura telah mengutuk serangan tersebut sebagai satu tindakan keganasan sambil menegaskan bahawa Israel mempunyai hak untuk melakukan tindakan pertahanan sendiri.

“Apa yang saya benar-benar fikirkan adalah jika seseorang telah melepaskan 1,000 roket ke Bukit Panjang, jika sebuah pasukan pemberontak telah masuk ke Woodlands.

“Sekiranya situasi yang sama berlaku di sini, kita perlu melakukan apa yang perlu kita lakukan – untuk menghalang dan menyelamatkan keadaan dan membawa rakyat kita pulang,” kata Dr Balakrishnan.

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa tindak balas Israel terhadap serangan tersebut masih perlu mematuhi undang-undang antarabangsa dan apabila tindak balas Israel di Gaza telah melampaui batas, Singapura telah menyatakan keprihatinannya secara terbuka.

“Maksud yang saya cuba sampaikan adalah anda perlu mengambil langkah berdasarkan prinsip untuk mempertahankan undang-undang antarabangsa, tetapi kita melakukannya, bukan dalam pengertian ideologi tetapi secara praktikal.

“Kerana setiap kali sesuatu berlaku, saya memikirkan tentang Singapura dan rakyat Singapura, dan apa yang perlu kita lakukan dalam keadaan itu,” kata Dr Balakrishnan, yang menekankan bahawa dasar luar negara bermula di dalam negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg